MALAYSIA adalah antara negara yang memberi subsidi minyak petrol paling tinggi jika dibandingkan dengan negara serantau.
Pemberian subsidi petrol secara berterusan ini boleh menjerumuskan negara ke kancah hutang membabitkan berbilion ringgit. Hal ini kerana nilai tanggungan subsidi terus meningkat saban tahun.
Untuk rekod, pada tahun lalu saja, negara memperuntukkan RM8 bilion bagi menyalurkan subsidi ke atas minyak petrol saja. Angka ini dijangka meningkat sekali ganda pada tahun akan datang.
Sehubungan itu, kerajaan perlu memikirkan langkah proaktif bagi menangani masalah ini. Ini kerana, fungsi subsidi bertujuan membantu golongan sasar yang berpendapatan di bawah paras tertentu.
Oleh itu, saya berpendapat subsidi petrol wajar diperinci semula dengan mengekalkan subsidi RON95 dan RON97 untuk kenderaan berkapasiti 2000cc dan ke bawah.
Bagi kenderaan berkapasiti 2000cc ke atas, subsidi petrol itu wajar dikaji semula dan diselaraskan. Secara logiknya, kenderaan berkapasiti 2000cc ke atas boleh dikategorikan sebagai kenderaan mewah kerana kebanyakannya berharga RM100,000 ke atas.
Oleh itu, tidak menjadi masalah apabila subsidi itu dikaji semula. Jika diteliti, perincian semula subsidi minyak dapat menggalakkan aliran pembelian kereta tempatan yang berkapasiti 2000cc ke bawah.
Diharapkan cadangan ini dapat diperhalusi agar subsidi petrol dapat dinikmati mereka yang berpendapatan rendah.
MOHD SAIPUDDIN SULIMAN,
Shah Alam, Selangor.
No comments:
Post a Comment