Tuesday, May 24, 2011

Tarif elektrik mampu pada kadar rendah walau tanpa subsidi gas

Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa orang menteri berkaitan kemungkinan naiknya tarif elektrik dijangka pada bulan Jun 2011.

Isu kenaikan tarif elektrik di negara ini berkait rapat dengan perjanjian berat sebelah yang dipaksakan ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk dimetrai bersama dengan syarikat Pengeluar Tenaga Swasta/Bebas, terutamanya dengan Pengeluar Tenaga Swasta generasi pertama.


Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga yang terlalu mahal yang dikenakan oleh Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta ke atas TNB.  Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour), harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah harga yang lebih mahal dari harga yang dihasilkan sendiri oleh TNB.

Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya.  Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekaligus membolehkan Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) mengaut keuntungan yang besar lebih awal.

Perjanjian tersebut juga telah direka untuk memastikan IPP dilindungi dari sebarang risiko kenaikan harga bahan api seumpama gas asli, disel dan arang batu, manakala jika berlaku kenaikan harga pada bahan api tersebut makanya TNB lah yang terpaksa menanggungnya.  Akibat dari perjanjian ini, telah menyebabkan Petronas terpaksa mengeluarkan dan membeli gas asli pada harga yang lebih mahal dan kemudiannya menjualnya pula pada kadar harga subsidi yang tetap.  Hakikatnya kos subsidi gas ini telah melonjak kepada RM 22 billion setahun (jika dikira menurut kadar harga semasa minyak mentah serta gas asli).

Justeru dari perjanjian yang rumit dan berat sebelah inilah rakyat Malaysia terpaksa membayar tarif elektrik yang tinggi.  Kos harga tenaga elektrik yang terpaksa dibayar TNB kepada Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) dan pengambilan untung pada kadar masa yang cepat oleh IPP ternyata membebankan rakyat samada secara menaikkan tarif elektrik atau kerana kerugian kewangan akibat dari subsidi gas untuk TNB/IPP kononnya demi merendahkan tarif.

Malangnya, sedangkan negara kita yang sememangnya memberi subsidi kepada sektor pengeluar tenaga melalui gas asli yang murah, itupun jika dibandingkan dengan negara jiran seumpama Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa (pada masa ini harga semasa tersebut tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia).

Seorang pengguna yang memiliki rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna yang sama di Malaysia terpaksa membayar 22 sen untuk kadar yang sama.  Ini bermakna perbezaan harga tarif elektrik yang mencecah 22%.

Pengguna runcit di bawah kategori "tarif komersial untuk penggunaan voltan rendah" terpaksa membayar tarif yang lebih tinggi di Malaysia jika dibandingkan dengan Thailand.  Tarifnya di Malaysia ialah 37 sen per kWh, 48% lebih tinggi dari kadar di Thailand; pada kategori yang sama hanya berharga 25 sen per kWh.

Justeru, sudah sekian lama saya menegaskan sekitar RM 22 billion subsidi gas (RM 19 billion pada tahun 1999) yang diberi kepada IPP/ sektor menjana tenaga tidak memberi makna kepada rakyat.  Ianya hanya memberi keuntungan kepada ahli perniagaan serta kroni yang rapat dengan pemerintah.  Sudah sekian lama negara kita dirampok se jumlah wang yang besar yang mampu digunakan untuk membendung inflasi serta membangun model industri yang lebih baik untuk rakyat.
 
Berdasarkan perspektif inilah saya menggesa Kerajaan Persekutuan untuk berlaku adil dengan menyemak semula harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad, termasuklah menggugurkan elemen harga tetap seumpama harga kapasiti bersedia dan kapasiti tetap yang mengakibatkan kos elektrik meningkat.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kanan) selaku Ketua Pembangkang Parlimen. - Merdeka Review  

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular