Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan amanat dan pengumuman penting kepada sejuta belia yang akan berhimpun pada pukul 5 petang, Sabtu ini sempena Sambutan Hari Belia 2011 di Putrajaya.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata amanat dan pengumuman itu pastinya memberi inspirasi dan pedoman kepada belia yang merupakan kumpulan terbesar dan terpenting di negara ini.
"Beberapa amanat dan pengumuman penting akan dibuat oleh Perdana Menteri. Saya pun tidak tahu, saya pun tertunggu-tunggu apa yang akan diumumkan," katanya.
Ahmad Shabery bercakap kepada pemberita selepas meninjau persediaan akhir sambutan Hari Belia yang bermula 27 hingga 29 Mei bersama kumpulan media dan pegawai kementerian dengan menaiki dua buah bas di sini, Selasa.
Bernama melaporkan, Menteri Belia dan Sukan berkata beliau berpuas hati dengan segala persiapan akhir yang menjanjikan lebih 200 acara menarik membabitkan 80 acara berbentuk pertandingan, 93 acara kerohanian dan keilmuan manakala bakinya membabitkan persembahan serta pertunjukan.
"Saya berpuas hati dengan persiapan sehingga sekarang dan kita lihat Putrajaya sedang berubah wajahnya dan ia memberi getaran baru membayangkan kekuatan tenaga orang muda yang akan berhimpun di sini," katanya.
Kira-kira sejuta pengunjung dijangka menghadiri sambutan Hari Belia 2011 bertemakan "Seribu Keriangan dan Sejuta Peluang" dari 27 hingga 29 Mei di Putrajaya berbanding 250,000 orang tahun lalu.
Sambutan tiga hari itu turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, keusahawanan, kewangan, perbankan dan bimbingan daripada teknorat serta pihak korporat.
Sebanyak 17 negara iaitu Asean+3 dan Negara-negara Komanwel di Asia turut serta dalam sambutan itu dengan mempamerkan produk-produk mereka.
Antara persembahan yang pastinya menarik golongan muda ialah kumpulan artis muda Korea, Super Junior, pertandingan Futsal, Cyber Games, Youth Got Talent, Animax Cosplay Rulez, G.I.G Dance, Cabaran Parkour, Pertandingan Inline Skating, YoyoSkeel Central Yoyo Contest, Skyrunner, Street Party, Sasuke Jaguh 1 Malaysia dan Karnival Jom Heboh.
Maklumat lanjut dan terkini berkaitan sambutan itu boleh didapati di Sekretariat Hari Belia Negara di talian 03-8871 3626/3632 atau layari laman web "www.haribelianegara.org.my atau www.kbs.gov.my.-24/5/2011. - AG
No comments:
Post a Comment