Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Pemuda UMNO) berasa amat terkejut dengan laporan tentang pendedahan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mengenai penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.
Bahkan, kejutan berganda menyusur dengan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), bahawa bahan-bahan tersebut dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai francais makanan Secret Recipe yang terkenal di Malaysia dengan langganan ramai dari masyarakat Islam.
Ini adalah lanjutan daripada beberapa kes lain seperti penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan kepada Lucky Food Processing Sdn Bhd yang mengeluarkan daging, sosej dan bebola daging
kerana terdapat DNA babi dalam produk mereka serta dakwaan kepada tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kedai minuman, Kluang Rail.
Rentetan insiden sebegini bukan sahaja memeranjat dan merisaukan, terutama bagi masyarakat beragama Islam, bahkan menimbulkan tanda tanya tentang proses pengeluaran sijil halal serta pemantauan yang dilaksanakan. Ini termasuklah bagaimanakah syarikat-syarikat terbabit mendapat sijil halal mereka pada mulanya dan bagaimanakah pula kekerapan dan keberkesanan sistem pemantauan pihak berkuasa terhadap pemegang-pemegang sijil halal.
Hal sebegini amatlah penting memandangkan lebih 60 peratus daripada penduduk negara adalah masyarakat beragama Islam yang pastinya berasa tertipu dengan sebarang sijil halal palsu ataupun pemegang sijil halal yang menjual produk makanan yang mempunyai najis berat seperti babi.
Jika itu berkenaan dengan masalah yang dihadapi berkenaan pihak yang mempunyai sijil, Pemuda UMNO juga gusar dengan sikap sebilangan pengusaha makanan yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di mana hanya 366 daripada lebih 2,000 hotel dan resort yang terdapat di negara ini memiliki sijil halal yang diiktiraf.
Ini semua amatlah memalukan bagi Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sentiasa mempelopori usaha ke arah penerokaan peluang industry pasaran makanan halal dunia, yang dianggarkan bernilai USD661 billon dan berkembang pada tahap 20 peratus setahun, tetapi menanggung masalah dalaman dari segi integriti dan pematuhan dalam isu pokok iaitu pensijilan halal.
Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO menggesa agar suatu tindakan yang tegas dan serius diambil di dalam perkara ini. Maka, kami menggesa agar kesemua proses permohonan sijil halal dibekukan sehingga suatu proses pengauditan yang komprehensif oleh sebuah badan audit bebas terhadap proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (JAKIM) serta kesemua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri selesai. Pada masa yang sama Pemuda UMNO juga menggesa agar Kerajaan mengkaji semula dan memantau kesemua 52 badan pensijilan halal diluar negara yang mana sekarang ini diiktiraf oleh JAKIM bagi mengeluarkan sijil halal. - Khairy Jamaluddin
No comments:
Post a Comment