Monday, May 23, 2011

Semua mangsa tanah runtuh dapat bantuan: Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara akan memberi sumbangan RM1,500 kepada setiap mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa, Hulu Langat.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menyumbang RM300 seorang selain sumbangan dari Skuad Sayang.


Beliau berkata, kementerian juga akan memberi bantuan lain kepada semua mangsa termasuk khidmat kaunseling terutama tiga mangsa yang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Ampang.


"Mangsa di ICU ini perlu mendapat sokongan dan motivasi kerana kaki dua daripada mereka terpaksa dipotong sebelah manakala seorang lagi diberi rawatan rapi," katanya. 


Shahrizat berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Norainee Abdul Rahman, melawat sembilan mangsa tragedi itu di Hopital Ampang dekat sini hari ini. 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke lokasi kejadian tanah runtuh itu awal pagi ini sebelum ke Hospital Ampang untuk melawat mangsa yang dirawat di hospital itu. 

Sharizat berkata, jika perlu kementerian juga akan menawarkan tempat perlindungan kepada semua mangsa di Pusat Perkembangan Kemahiran di Serendah, Selangor. 

Ditanya mengenai isu status pendaftararan rumah anak yatim itu, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan minggu depan. 

Sementara itu, Pengarah Hospital Ampang, Datin Dr Aishah Ahmad Makinuddin, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata enam mangsa yang ditempatkan di wad biasa kini berada dalam keadaan stabil. 

"Tiga mangsa yang berada di ICU masih di bawah pengawasan teliti," katanya. - BERNAMA 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular