Wednesday, May 25, 2011

Rasionalisasi subsidi jejas BN

MUHYIDDIN melayan pelbagai pertanyaan daripada penduduk ketika menghadiri majlis beramah mesra dan minum pagi bersama masyarakat Tionghua serta  warga pekan Pagoh di Taman Sri Pagoh, semalam.

Kerajaan pastikan rakyat tak hadapi beban berat walaupun tidak popular 



PAGOH: Kerajaan sedar usaha rasionalisasi subsidi negara, boleh membuatkan Barisan Nasional (BN) selaku parti pemerintah, tidak popular di kalangan rakyat, namun sebagai kerajaan yang bertanggungjawab ia perlu dilakukan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


“Apa saja yang menyebabkan kenaikan kos, siapa saja yang terbabit akan dianggap tidak bertimbang rasa dan tidak popular, tetapi kerajaan sudah sekian lama tanggung beban dengan kos yang cukup banyak.

“Sebagai sebuah kerajaan, BN mahu popular dan tak buat sesuatu yang membebankan rakyat, tetapi masa sama kita mahu jadi kerajaan yang bertanggungjawab dan mengurus dana negara dengan baik demi kebaikan rakyat jangka panjang. 


“Jika dana tidak diuruskan dengan betul, boleh bertukar menjadi beban lebih berat kepada rakyat seperti sesetengah negara yang bankrap. Kita mahu rakyat memahami dan bersama kerajaan dalam isu ini,” katanya selepas menghadiri majlis bersama rakyat dekat Kampung Sawah Tulang Gajah di sini, semalam. 

Beliau berkata, penggunaan hasil negara sebagai subsidi yang besar seperti dilaksanakan Malaysia tidak diamalkan mana-mana negara di dunia kerana ia tidak mungkin boleh dilestari untuk tempoh panjang berikutan kenaikan harga minyak dunia dan barangan lain. 

Muhyiddin berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini akan membincangkan isu itu serta usaha diambil kerajaan untuk menentukan inflasi tidak melambung dan kos barangan dikawal. 
“Kadar defisit negara ketika ini 5.4 peratus dianggap tinggi daripada sepatutnya dan Perdana Menteri mahu melihat ia turun kepada 5.2 peratus bagi memastikan ia tidak memberi kesan kepada rating negara dan persepsi pelabur. 

“Kita tidak pernah mengambil keputusan menghapuskan subsidi, sebaliknya kita teruskan subsidi bagi barangan dan khidmat diperlukan rakyat tetapi dibuat dengan strategi terbaik,” katanya. 

Mengulas rancangan parti pembangkang mengajak rakyat bangkit menentang kerajaan, Muhyiddin berkata, rakyat yang tidak memahami isu rasionalisasi subsidi mudah terikut dengan ajakan itu. 

Sementara itu, Muhyiddin berkata, BN perlu berusaha mencapai sasaran nisbah 60 hingga 70 peratus pengundi daripada ahli dan penyokongnya bagi memberi keselesaan kepada parti memasuki pilihan raya umum akan datang. 

Sasaran itu antara empat tumpuan yang digariskan beliau, termasuk menuntut perhatian kepemimpinan peringkat bahagian UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN) seluruh negara mulai sekarang menerusi gerak kerja yang dijalankan. 

Tiga lagi isu yang perlu diberi perhatian termasuk usaha mengukuhkan kedudukan UMNO dan komponen BN yang perlu dibuat di semua peringkat, selain terus mendaftar pengundi baru. 

Sebagai insentif dan galakkan kepada petugas, parti menyediakan imbuhan RM5 bagi setiap pengundi yang didaftarkan mereka. 

“Saya minta Pengerusi Perhubungan UMNO negeri teliti situasi setiap bahagian dan jika perlu mereka campur tangan. Ini tidak bermaksud campur urusan dalaman bahagian tetapi untuk bantu selesaikan masalah yang boleh menjadi penghalang kepada kelancaran gerakan parti,” katanya. 

Sementara itu, mengulas cadangan DAP untuk meletakkan calon Melayu pada PRU akan datang, Muhyiddin meminta orang Melayu supaya tidak terpedaya dengan parti yang disifatkannya beliau sebagai cauvinis. 

Ketika berucap merasmikan Kolokium Pengerusi Koperasi Sekolah, di Dewan Jubli Intan, Muhyiddin berkata cadangan untuk menubuhkan koperasi di peringkat sekolah rendah tidak perlu dilaksanakan secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan kajian terperinci menerusi perbincangan termasuk mengenai impak dan faktor usia murid yang masih muda. 

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan semua isu atau masalah berbangkit sama ada pada peringkat bahagian atau cawangan yang boleh menjadi penghalang kepada kelancaran gerakan parti diselesaikan segera. - BH 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular