
Kerajaan akan mengkaji semula subsidi bahan api sekiranya harga minyak mencecah antara AS$110 dan AS$120 setong, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim Siang Chai.
Semalam kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) buat masa ini.
"Kita tahu pada masa ini, banyak benda lain juga meningkat, termasuk harga makanan dan perumahan. Jadi kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan (harga bahan api)," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baru Standard Financial Planner Sdn Bhd di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata, jika harga minyak terus meningkat, kerajaan akan berbelanja lebih terhadap subsidi yang akan membawa kepada defisit lebih tinggi dan mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.
"Apabila kita (kerajaan) merancang belanjawan tahun ini, kita melihat pada harga minyak antara AS$85 dan AS$90 setong.
Walaupun, rakyat boleh terus menikmati subsidi bahan api, Lim menasihatkan mereka supaya berhemat.
Semasa ditanya sama ada terdapat kenaikan dalam kadar tarif elektrik, Lim berkata Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan bermesyuarat esok bagi membincangkan dan memutuskan isu tersebut.
Mengenai tinjauan masa depan ekonomi Malaysia pada suku kedua, Lim yakin negara akan dapat mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik pada 4.6 peratus dengan peningkatan pelaburan langsung asing. - MK
No comments:
Post a Comment