Yangon: Sekurang-kurangnya 75 orang maut apabila satu gempa bumi kuat melanda Myanmar lewat kelmarin, kata para pegawai semalam, di tengah-tengah kebimbangan angka itu akan meningkat dengan berita yang mula datang dari kawasan terpencil.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berukuran 6.8 pada skala Richter.
Seorang pegawai Myanmar berkata 74 orang mati dan 110 cedera di lima kawasan dekat pusat gempa itu. Sebanyak 225 rumah dan sembilan bangunan pemerintah runtuh dalam kejadian itu.
'Kami masih cuba hubungi kawasan-kawasan terpencil. Tentera, polis dan pihak berkuasa tempatan sedang cuba mencari orang-orang cedera di kawasan- kawasan terjejas itu, tetapi jalan- jalan masih ditutup,' kata pegawai itu.
Di seberang sempadan, pihak berkuasa Thailand berkata seorang wanita berusia 52 tahun mati apabila sebuah tembok rumahnya roboh.
Di Yangon, pengarah Myanmar bagi badan kebajikan World Vision, Encik Chris Herink, berkata beberapa tempat terjejas di Kengtung dan Tachileik tetapi tidak nampak kerosakan besar prasarana, walaupun beberapa bangunan retak dan bekalan air terputus di beberapa tempat.
'Yang menjadi kebimbangan nyata ialah kawasan desa. Kawasan di sempadan Thailand dan Laos, atau Segitiga Emas, ialah kawasan berbukit-bukit. Ada banyak kegiatan niaga di situ,' kata Encik Herink.
World Vision membantu sara hidup sekitar 7,000 kanak-ka nak, yang ditaja oleh penderma dari luar negara, di tempat-tempat terjejas.
'Kami ingin memastikan mereka dan keluarga mereka selamat. Kami juga menawarkan bantuan kepada mereka dahulu, selain membantu orang lain di situ yang perlukan bantuan kemanusiaan,' tambahnya.
Gempa itu melanda 90 kilometer ke utara Chiang Rai dan 235 kilometer ke utara timur laut Chiang Mai.
Jabatan meteorologi Thailand berkata semalam ia telah merakam enam gegaran susulan kuat.
Penduduk di Chiang Rai lari dari rumah mereka lagi semalam apabila berlaku lagi gegaran susulan.
Gempa itu dirasakan di seluruh wilayah Yunnan di barat daya China namun tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan semalam, menurut China National Radio.
Ada penduduk di Hanoi juga lari dari rumah mereka apabila terasa gegaran. Namun penolong pengarah badan Institut Geofizik Global di ibu kota Vietnam itu tidak melaporkan sebarang kematian atau kerosakan.
Laos tidak melaporkan sebarang kematian atau kerosakan, kata jurucakapnya, Encik Khenthong Nuanthasing.
Tiada amaran tsunami berikutan gempa di Myanmar itu kerana menurut pakar seismologi Amerika, gempa itu jauh di pedalaman. -- AFP.
No comments:
Post a Comment