Saturday, August 13, 2016

RUU355 beri hikmah penyatuan umat Islam

KOTA BHARU – Tidak mustahil isu sokongan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) memberi hikmah penyatuan kepada seluruh umat Islam, kata Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi.

Menurutnya, sebelum ini sukar untuk dilihat pimpinan Pas dan Umno duduk semeja membincangkan isu Melayu-Islam, tambah-tambah lagi jika berada dalam suasana pilihan raya.

“Sebagai umat Islam, untuk bersatu tidak menjadi masalah kerana persamaan atau titik temu itu lebih banyak berbanding dengan perbezaannya. Antara titik temu yang paling dominan ialah agama.

“Jika RUU 355 ini sama-sama dipersetujui oleh Pas dan Umno, itu tidak pelik kerana atas dasar mempertahankan Melayu-Islam. Yang peliknya apabila ada orang Islam sendiri yang tidak menerima pindaan RUU355 ini untuk menambah baik proses perundangan syariah agamanya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda Pas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang mempersoalkan apa salahnya jika Pas dan Umno bersatu dalam isu sokongan RUU 355 tersebut.

Menurutnya, jika parti Melayu-Islam bersatu, maka ia akan menjadi kebimbangan yang serius oleh parti politik bukan Islam kerana kekuatan Melayu-Islam akan dapat dikembalikan di Malaysia.

Beliau berkata, hanya agama menjadi titik temu yang paling besar antara Pas dan Umno dan mereka dibentuk oleh orang Melayu yang memiliki agama dan beramal dengan suruhan  yang sama.

“Kita lihat antara pandangan yang menolak RUU355 ialah parti bukan Melayu-Islam dan badan bukan kerajaan (NGO) bukan Melayu-Islam. MCA bimbang jika hudud tidak hanya di Kelantan, tetapi akan mempengaruhi negeri lain.

“Secara politiknya, tuduhan tersebut seolah-olah kesilapan yang telah disedari. Mungkin untuk kukuhkan parti dengan sokongan undi bukan Melayu-Islam. Hal ini terbukti di PRN Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Isu RUU355 ini terus menjadi modal politik mereka.

“Dalam pada itu juga, Tun Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan yang agak sama dengan Lim Kit Siang bahawa RUU355 bukan hudud Islam tetapi hudud Abdul Hadi. Di sini jelas, bukan Muslim ambil peluang apabila umat Islam sendiri mempersoalkan undang-undangnya sendiri,”katanya.

Mohd Syakir juga turut berpendapat, jika kita masih memikirkan pandangan bukan Islam kepada RUU355 ini, maka sampai bila pun umat Islam sukar untuk bersatu. SH

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular