Saturday, August 13, 2016

Jalan menuju Westport ibarat 'laluan maut'

Laluan masuk ke Pelabuhan Barat di Pelabuhan Klang sememangnya menjadi satu kemudahan kepada pekerja pelabuhan untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari, namun laluan itu kini digelar 'laluan maut' berikutan banyak kes kemalangan dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Rata-rata kesatuan sekerja mewakili pekerja pelabuhan dan pemandu kontena berpendapat jalan masuk sepanjang 18 kilometer ke pelabuhan yang mengendalikan pelbagai jenis kargo itu berada dalam keadaan daif dan kerap berlaku kemalangan, menyebabkan para pekerja pelabuhan sering bimbang untuk ke tempat kerja.

Setiausaha Persatuan Pemandu-Pemandu Kontena Selangor, Amat Safii Karian berkata pihaknya sudah lama mencadangkan kepada pihak berkuasa seperti kerajaan negeri Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina lorong khas bagi kegunaan penunggang motosikal di sepanjang laluan masuk ke Pelabuhan Barat, namun dakwanya tidak diendahkan sehingga ke hari ini.

"Kami juga berpendapat jalan menuju Westport ini perlu dilebarkan daripada dua lorong kepada empat lorong di kedua-dua hala bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing terutama pada waktu puncak.

"Jalan menuju Westport ini terlalu sempit sehingga lorong motosikal tiada dan kami pemandu kontena kadang-kala tidak dapat mengelak penunggang motosikal di hadapan kami yang seterusnya boleh mengundang risiko kepada keselamatan mereka," katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

"Kami dalam persatuan sangat kesal sebab Westport ini pintu dunia untuk perniagaan Malaysia tetapi prasarana jalan tidak baik," katanya dan menambah pihaknya mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berhubung jalan berkenaan pada Oktober 2015 dan April tahun ini.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Industri Pemakanan, Matkar Siwang berkata kapasiti laluan masuk ke Pelabuhan Barat tidak boleh lagi menampung jumlah kenderaan yang banyak dan ia perlu dilebarkan disebabkan laluan itu kini menjadi tumpuan pekerja Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan Selangor Halal Hub, Pulau Indah.

Katanya, pihaknya telah pun mengutus surat kepada jurutera daerah mengenai kualiti jalan yang kurang baik dan untuk mempercepatkan pembinaan lorong motosikal di sepanjang laluan itu.

"Ini perlu memandangkan kebanyakan pekerja kami yang bernaung di bawah kesatuan ini menunggang motosikal ke tempat kerja yang kebanyakannya bekerja di syarikat multinasional dekat Selangor Halal Hub dan satu lorong motosikal perlu dibina untuk keselamatan mereka," katanya.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Westport, Mohd Jani Kamis pula berkata kemudahan infrastruktur seperti lampu jalan di sepanjang jalan itu perlu dinaik taraf kerana laluan itu kerap digunakan oleh pelancong dari dalam dan luar negara yang hendak menuju ke Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang.

"Kadang-kala pekerja kami takut untuk menggunakan laluan Westport sebab keadaan gelap yang boleh menyebabkan mereka menjadi mangsa samun," katanya.

Katanya, pada tahun lepas sahaja, dua pengawal keselamatan yang bekerja di kawasan Westport yang menunggang motosikal ke tempat kerja maut berhampiran laluan masuk ke Pelabuhan Barat berikutan kualiti jalan yang tidak diselenggara dengan baik.

Presiden Kesatuan Kakitangan Northport (M) Bhd, Mohd Zaidi Sanusi pula berkata sebuah tempat hentian kecemasan untuk membaiki lori yang rosak perlu dibina di laluan masuk ke Pelabuhan Barat di samping mempercepatkan pembinaan lorong khas bagi kegunaan penunggang motosikal.

Katanya, ini perlu disebabkan ramai pekerja yang bernaung di bawah kesatuan, bekerja mengikut giliran syif dan kerap menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja dari rumah mereka di Pulau Indah.

Dalam pada itu, Setiausaha Kesatuan Pekerja-pekerja Pembekal Perkhidmatan Sampingan Pelabuhan (UNEPASS), A. Balasubramaniam berkata laluan masuk ke Pelabuhan Barat perlu dinaik taraf memandangkan industri pelabuhan juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kepada negeri Selangor.

Beliau berkata infrastruktur yang berada di dalam dan di luar Pelabuhan Barat perlu dibangunkan seiring dengan pembangunan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan kontena ke-12 terbesar di dunia dan keadaan jalan yang buruk ini boleh menjejaskan reputasi pelabuhan dan negara.

Sementara itu, LPK dalam satu kenyataan menjelaskan laluan masuk ke Pelabuhan Barat iaitu Lebuhraya Pulau Indah (FT 181) adalah di bawah kawal selia Kementerian Kerja Raya dan JKR adalah agensi pelaksana dan pemantau.

"Kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan pembinaan jalan baharu adalah di bawah tanggungjawab kementerian dan JKR," kata kenyataan itu.

- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular