Monday, September 24, 2012

Tweet Ngeh: Pas akan kekal dalam PR, jawapan buat Khairy

Tweet Datuk Ngeh: Pas akan kekal dalam PR, jawapan buat Khairy
SHAH ALAM – Pas telah menolak desakan Umno sambil menegaskan pihaknya akan kekal dalam Pakatan Rakyat (PR), sekaligus menerima permohonan maaf secara terbuka Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berhubung ‘tweet’ yang dikeluarkan awal minggu ini.
 Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Ketua Penerangan Pas) berkata, Pas menerima permohonan maaf terbuka Datuk Ngeh itu. Menurutnya, Pas tidak ada sebarang sebab dan alasan untuk meninggalkan PR memandangkan apa yang dikatakan oleh Pengerusi Dap Perak itu “lebih bersifat peribadi.” “Bagi Pas, kenyataan Datuk Ngeh itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukan mewakili Dap, Pas terima permohonan maaf daripada beliau yang telah dibuat secara terbuka,” katanya kepada wartawan hari ini. 

 Semalam, Pemuda Umno yang mengadakan himpunan aman di Masjid Jamek Kampung Baru memberi cadangan agar Pas keluar dari PR berikutan tindakan pemimpin DAP, salah satu parti utama dalam perikatan tersebut, yang disifatkan menghina agama Islam. Khairy Jamaluddin (Ketua Pemuda Umno) berkata, Pas seringkali gagal mendapat sokongan daripada sekutunya, terutamanya ahli Dap, walaupun hanya dalam perkara asas iaitu agama. 

“Saya amat kesal. Di mana pada satu keadaan agama kita dikecam, Nabi Muhammad dihina namun mereka (Pas) tidak mendapat sokongan daripada parti yang katanya adalah parti seperjuangan. “Apa lagi nak tunggu? Bagi saya, itu adalah satu lagi isyarat yang cukup jelas bahawa mereka (Pas) perlu tinggalkan parti pembangkang,” tegas Khairy. 

 Sementara itu, pendirian Pas untuk terus kekal berada di dalam PR turut ditegaskan oleh Naib Presidennya, Salahuddin Ayub. Katanya, PR yang mempunyai pemimpin yang berbeza kaum juga agamanya, lebih terbuka dan menerima langkah yang diambil seperti perhimpunan aman di Kedutaan Amerika Syarikat (AS). “Kami tak mahu layan suara suruh kita keluar PR… soal nak keluar PR, tak ada relevan pun". 

 Sehubungan itu, kedua-dua pemimpin Pas tersebut yakin perkara yang melibatkan pemimpin DAP itu tidak akan menjejaskan undi kepada PR pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) nanti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular