Saturday, January 28, 2012

Orang Asli di Johor berang kawasan kubur dimusnahkan

Orang Asli dari suku kaum Seletar di sekitar Johor Baru berang berhubung pemusnahan kubur nenek moyang mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, wakil Rangkaian Orang Asli Seletar Laut, Eddy Salim berkata dua jengkaut telah mencerobohi tanah perkuburan nenek moyang mereka berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Temon dan Kampung Bakar Batu untuk kerja-kerja tanah bagi pelan pembangunan Iskandar.

Katanya, apabila ditemui masyarakat Orang Asli di situ, kakitangan kontraktor berkenaan gagal menunjukkan sebarang permit kerja tetapi mendakwa semua kelulusan yang diperlukan telah diperolehi daripada pihak berkuasa.

Masyarakat Orang Asli di situ telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari yang sama dan kerja-kerja terbabit telah digantung buat sementara waktu.

Bagaimanapun, kata Salim, kerosakan telah dilakukan dan tidak boleh ditarik balik.

Menurutnya, kawasan hutan sepanjang lebih 200 meter telah ditolak oleh jengkaut, dan sekurang-kurangnya 10 kubur Orang Seletar telah dibakar.

Berikutan kejadian itu, satu dialog telah diadakan dengan Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa), Lembaga Pembangunan Iskandar (IRDA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan ketua-ketua kampung tempatan.

Mereka dimaklumkan bahawa kawasan tanah Kampung Sungai Temun telah diserahkan kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) milik kerajaan negeri, pada tahun 1999.

Menurut Salim, ini adalah kali pertama mereka diberitahu bahawa tanah mereka, termasuk dewan komuniti tempat dialog tersebut diadakan, telah lama menjadi milik syarikat berkenaan.

Katanya, masyarakat Orang Asli berasa marah dan tidak mampu berbuat apa-apa, apabila tanah nenek moyang mereka telah dirampas dari mereka, tetapi kerajaan berbuat apa-apa untuk membantu mereka.

Lebih buruk lagi, tambahnya, keadaan itu sering membabitkan syarikat-syarikat yang dikuasa atau berkaitan dengan kerajaan.

Menurut Salim lagi, pemusnahan hutan bakau juga telah mengancam kehidupan mereka, kerana kebanyakan penduduk kampung bergantung kepada penangkapan ikan.

Bagaimanapun, Salim mengucapkan terima kasih kepada Suhakam, yang diwakili oleh pesuruhjayanya, Muhammad Sha'ani Abdullah, di atas sokongan yang diberikan.

"Beliau menghantar mesej ringkas dan jelas bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah adat mereka, dan ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan dan telah diperakui banyak kali oleh mahkamah," katanya.

Salim mengecam projek-projek pembangunan yang berterusan di sekeliling kampung mereka yang dijalankan tanpa mengambil kira kepentingan penduduk.

"Jika projek-projek pembangunan seperti Danga Bay dan Iskandar Malaysia adalah untuk membawa kemajuan kepada rakyat, bagaimana pula mereka telah menjejaskan hak dan kehidupan kita?"

NONE
Pada Disember tahun lepas, kira-kira 500 Orang Seletar telah mengadakan bantahan di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar selepas tanah mereka diserahkan kepada pemaju untuk pelan pembangunan Iskandar.

Penduduk kampung tersebut, yang juga dikenali sebagai Orang Laut, adalah peneroka asal wilayah selatan Johor, yang tinggal di sepanjang selat itu serta di sepanjang Sungai Johor dan Sungai Pulai. Mkini

"Kembalikan tanah kami"

28 Januari 2012 JOHOR BAHRU – Lebih 100 penduduk Orang Asli Seletar Laut, berang apabila tanah perkuburan nenek moyang mereka didakwa dicerobohi bagi projek pembangunan.

Wakil penduduk, Eddy Salim berkata, kejadian itu dikesan berlaku sejak seminggu lalu, apabila hampir satu ekar tanah perkuburan berusia lebih 30 tahun diterokai dan turut menjejaskan 10 kubur lama di situ.

“Saya dimaklumkan oleh penduduk Orang Asli Kampung Bakar Batu mengenai kejadian itu. Saya terus ke lokasi dimaksudkan dan mendapati ada sebuah jentolak sedang menjalankan kerja-kerja di situ.

“Hampir satu ekar kawasan telah diteroka. Oleh kerana berasa terancam dengan keadaan itu, saya telah membuat laporan polis dan mahu semua kerja-kerja penolakan tanah dihentikan.

“Saya kecewa dengan keadaan yang berlaku. Tanah kami diceroboh tanpa mengadakan sebarang rundingan,” katanya selepas sesi dialog bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia, dekat sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Muha­mad Sha’ani Abdullah dan Pegawai di Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor Bahru, Mohd Badri Ismail.

Eddy yang merupakan anak tok batin Kampung Sungai Temon berkata, kawasan perkuburan itu menjadi tempat persemadian penduduk Orang Asli dari lima kampung berdekatan iaitu Kampung Orang Asli Bakar Batu, Pasir Putih, Sungai Tiram, Simpang Arang dan Sungai Temon.

Katanya, selain kejadian terbabit, perkara lain yang dibangkitkan ialah mengenai status pemilikan tanah yang didiami mereka seluas 36 ekar yang didakwa telah didiami sejak tahun 1960-an.

“Apa yang kita mahu sekarang ialah tanah Orang Asli, dikembalikan hak kepada Orang Asli.

“Ini tanah nenek moyang kami, tanah perkuburan bagi balik hak kepada Orang Asli," katanya.

Sementara itu, Muhamad Sha’ani berkata, pihaknya bertindak selaku perantara bagi mewujudkan saluran penyelesaian bagi isu yang dibangkitkan.

Beliau meminta Kerajaan Negeri menjelaskan isu tersebut dengan mengadakan rundingan agar ia tidak dipanjangkan.

Walau bagaimanapun katanya, kerja penolakan tanah di kawasan tanah perkuburan itu telah dihentikan serta-merta.

“Sebarang kerja pembangunan dihentikan. Proses seterusnya ialah Orang Asli dan pihak sepatutnya harus memulakan rundingan dan penjelasan kerana masih banyak persoalan asas masyarakat Orang Asli ini yang perlu dijelaskan.

“Ia perlu dijelaskan supaya tidak terus menjadi satu isu tidak puas hati di kalangan mereka dan juga satu perkara yang boleh memburukkan nama baik kerajaan,” katanya. Sinar

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular