Friday, January 27, 2012

BN Tak Terdesak Adakan PRU 13 – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 27 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa kerajaan tidak terdesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat sebaliknya menekankan bahawa tempoh bagi mengadakan PRU ke-13 masih panjang iaitu sehinggalah ke bulan Mac 2013.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin dengan permasalahan rakyat dan kita berusaha untuk meringankan beban kehidupan masyarakat dengan memberikan pelbagai bantuan dan subsidi tanpa menghiraukan kepada manipulasi atau spekulasi berkaitan tarikh PRU,” katanya yang juga Setiausaha Agung BN.

Beliau berkata demikian dalam penjelasan kepada delegasi dari Britain, Timbalan Ketua Jabatan Asia Timur dan Pasifik, Bill Longhurst bersama dengan Kaunselor Politiknya, Nigel Bound yang melakukan kunjungan hormat kepada beliau di pejabatnya, Menara Dato Onn di sini, Khamis.

“Kita menggunakan ruang sepenuhnya untuk pastikan apa yang dikehendaki rakyat dapat dipenuhi berdasarkan kepada perancangan yang telah digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) dan memastikan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP) mencapai matlamatnya,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, Tengku Adnan turut ditanya berkaitan keadaan politik semasa dan apakah perancangan-perancangan bagi menghadapi permasalahan agar tidak berlaku krisis besar sebagaimana di beberapa Negara di Eropah dan Timur Tengah.

“Kita adalah sebuah parti yang mempunyai struktur mantap iaitu berteraskan ahli-ahli di akar umbi yang bercambah memastikan kekukuhan sebuah kerajaan sebagaimana yang ada sejak merdeka lebih 50 tahun yang lalu hinggalah ke hari ini.

“Teras dan kunci keamanan yang kita kecapi selama ini adalah toleransi, persefahaman, perpaduan dan ia akan diteruskan dari semasa ke semasa kerana kita percaya kesatuan dalam kepelbagaian mampu menghasilkan masyarakat 1Malaysia yang unik,” jelasnya.

Longhurst dalam ucapan balasnya sangat menghargai pertemuan dan penjelasan yang diberikan dan percaya dengan keupayaan BN yang sentiasa memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan dapat terus mengekalkan mandat sebagai sebuah kerajaan untuk masa akan datang. – MediaUMNO

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular