Saturday, October 29, 2011

Pelaburan Lebihi Had: Hutang FELDA melambak setelah Najib pegang kuasa


Pelaburan Lebihi Had: FELDA Terdedah Kepada Risiko 


Sejak dikuasai Perdana Menteri Najib Razak, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mula terpesong dari objektif utamanya, iaitu bertunjangkan pembangunan tanah pertanian, dan pelaburan sebagai sampingannya - kepada sebuah agensi pelaburan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati bahawa dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan untuk tiga tahun berturut-turut, malah memperbarui rekod tertinggi dari tahun ke tahun.

Ketua Audit berpendapat, "Penggunaan dana akaun FELDA yang melebihi had telah mendedahkan dana tersebut kepada risiko pelaburan saham siar harga melebihi daripada yang telah diluluskan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan Kumpulan FELDA.  Ini boleh menjejaskan kemampuan kewangan dan memberi kesan kepada operasi serta aktiviti utama FELDA jika pelaburan yang dijalankan tidak dapat memberikan keuntungan yang dijangkakan."

Pada masa yang sama, tindakan ini seolah-oleh memaksa peneroka FELDA untuk menanggung risiko pelaburan yang lebih tinggi, tanpa disedari peneroka FELDA.

FELDA ditubuhkan di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956 pada 1 Julai 1956, dan telah dipinda kepada Akta Kemajuan Tanah 1956 (Akta 474) (Pindaan 1991).  Objektif penubuhan FELDA adalah untuk memajukan kawasan pertanian secara produktif, melaksanakan projek pembangunan tanah dan menggalakkan pertumbuhan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat peneroka.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, FELDA telah membuat pelaburan dalam pelbagai portfolio bagi mendapat pulangan yang optimum.  Sehingga tahun 2010, FELDA telah membuat pelaburan bernilai RM5.55 bilion termasuk pelaburan dalam saham siar harga berjumlah RM891.34 juta.

Malah, pihak Audit mendapati dana daripada Akaun FELDA yang dilaburkan dalam pelaburan saham siar harga dan tidak siar harga telah melebihi had yang dibenarkan iaitu 24% seperti yang ditetapkan dalam Manual Dasar dan Strategi Pelaburan FELDA.

Lebihi had untuk tiga tahun berturut-turut

"Pelaburan dalam saham siar harga dan tidak siar harga yang menggunakan dana Akaun FELDA pada tahun 2010 adalah sejumlah RM3.14 bilion atau 68.5%, tahun 2009 sejumlah RM2.28 bilion atau 70.7% dan tahun 2008 sejumlah RM713.20 juta atau 31.8%," menurut Laporan Ketua Audit.

Apa yang perlu diambil perhatian adalah, lebihan pelaburan adalah sebanyak 44.5% bagi tahun 2010, 46.7% bagi tahun 2009 dan 7.8% bagi tahun 2008.


Menurut agihan sumber dana pelaburan portfolio, dana dalam akaun FELDA hanya dibenarkan untuk melabur di Ekuiti Tempatan (24%), Ekuiti Asing (10%), Bon Kerajaan, Bon Korporat dan Sekuriti Hutang Persendirian termasuk Bon Islamik (6%), selain Tunai, Pasaran Wang dan Deposit Amanah (60%).


Sehingga akhir tahun 2010, FELDA telah melabur sejumlah RM891.34 juta dalam saham siar harga.  Pelaburan yang dibuat daripada Akaun FELDA berjumlah RM355.42 juta atau 39.9% manakala sejumlah RM535.92 juta atau 60.1% daripada Akaun Peneroka.


Tiada pakar pelabur


Analisis Audit mendapati pelaburan saham siar harga FELDA berjumlah RM891.34 pada tahun 2010 meningkat sejumlah RM106.45 juta atau 13.6% berbanding sejumlah RM784.89 juta pada tahun 2009.  Nilai pasaran pelaburan saham siar harga pada tahun 2010 adalah RM4.43 bilion dengan keuntungan tidak nyata berjumlah RM3.54 bilion atau 397.1%.  FELDA telah memperoleh pendapatan dividen pada tahun 2010 berjumlah RM166.14 juta 18.6%, tahun 2009 berjumlah RM101.15 juta atau 12.9% dan RM138.62 juta atau 20% daripada jumlah pelaburan.


FELDA juga telah mengalami kerugian tidak nyata terkumpul yang berjumlah RM50.14 juta melibatkan 12 kaunter saham bagi tempoh 31 Disember 2008 hingga 30 November 2010.  Daripada kerugian tersebut, sebanyak empat kaunter saham iaitu Syarikat PK Resources Berhad, Takaful Malaysia Berhad, Telekom Malaysia Berhad dan Tradewinds Corporation Berhad telah mengalami kerugian berterusan sejak tahun 2008.


Bagaimanapun, lapan daripada 12 kaunter telah membayar dividen kepada FELDA berjumlah RM33.11 juta bagi tahun 2008 hingga 2010.


Sementara itu, Ketua Audit mengingatkan bahawa pengasingan tugas merupakan mekanisme kawalan dalaman yang penting bagi memastikan wujudnya kawalan dalam proses urus niaga saham.  Semakan Audit mendapati FELDA tidak mempunyai pengasingan tugas yang jelas bagi urus niaga saham selaras dengan amalan yang baik.


Selain itu, FELDA tidak mempunyai pegawai pelaburan atau pegawai penyelidik pelaburan yang mempunyai kepakaran dan kompetensi untuk membuat analisis prestasi pelaburan FELDA.  "Ini adalah penting bagi memastikan kajian dan pemantauan pelaburan dapat dibuat secara menyeluruh," menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Oktober 2011.


Hutang FELDA melambak setelah Najib pegang kuasa


FELDA Global Venture Holdings menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang secara besar-besaran, untuk menjalankan merger dan akuisisi di luar negeri.  Lebih-lebih lagi, pembelian perusahaan-perusahaan ini dijalankan dalam keadaan tidak bersedia, tanpa penelitian dan penyemakan peneroka FELDA tentang bagaimana dana ini digunakan, dan maklumat terperinci berhubung pelaburan ini.
Demikianlah perubahan yang membimbangkan dalam FELDA, setelah Najib Razak menyandang jawatan Perdana Menteri, menurut sumber dalaman FELDA.  


Beliau memberitahu MerdekaReview, FELDA memperlihatkan perkembangan yang membimbangkan, setelah Najib Razak menguasai FELDA sepenuhnya, terutamanya apabila FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada tahun 2007.


"Sebelum Najib masuk, kami (FELDA) tidak pernah bertindak sebegitu pantas dalam pembelian perusahaan (merger dan akuisisi).  Setelah beliau masuk, terutamanya selepas penubuhan FELDA Global Venture Holdings, pembelian perusahaan di luar negeri dijalankan dengan begitu giat sekali," kata sumber maklumat.


Malah, beliau menambah, keputusan pembelian perusahaan atau pelaburan ini bukannya hasil perbincangan dalam FELDA, tetapi arahan politik.  Lebih-lebih lagi, dalam kebanyakan masa, hanya beberapa orang dari pihak atasan yang mengetahui maklumat terperincinya.


Beliau menambah, Najib menjalin hubungan yang erat dengan FELDA sejak beliau menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Kekerapan Najib muncul dalam mesyuarat FELDA bertambah dari purata dua bulan sekali, sehingga sebulan sekali sekarang, bahkan kadang-kala, dua minggu sekali.


Apa yang menarik, Najib telah mengalihkan FELDA ke bawah Jabatan Perdana Menteri setelah beliau dilantik sebagai TPM pada tahun 2004.  FELDA diletakkan secara langsung di bawah bidang kuasa dirinya.


Strategi radikal dalam pembelian perusahaan
Sumber maklumat ini meluahkan keresahan pihak dalaman FELDA, "Kami menganggap projek merger dan akuisisi (yang dijalankan FELDA Global Venture Holdings) tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa, sekurang-kurangnya nilailah  dahulu hasil projek pembelian perusahaan sebelum terus kepada projek yang selanjutnya... Bukannya asyik beli sahaja."

Lebih penting, pembelian ini dijalankan tanpa persediaan yang mencukupi dalam FELDA sendiri, iaitu tidak mengambil kira sama ada mereka mampu untuk menanganinya.  Misalnya, FELDA Global Venture Holdings mengambil alih kilang pemprosesan minyak kelapa sawit di luar negeri, yang mana perusahaan utamanya adalah penghasilan produk yang mempunyai nilai tambahan, sementara bahan mentahnya (iaitu kelapa sawit) dibekalkan melalui projek peneroka FELDA.  Pada hakikatnya, FELDA sendiri belum bersedia untuk memenuhi keperluan kilang pemprosesan yang semakin bertambah.


Pelaburan di luar negeri
FELDA Global Venture Holdings ditubuhkan pada Disember 2007, tetapi hanya diumumkan struktur organisasinya pada Julai tahun lalu.  Tiga buah anak negeri di bawah FELDA Global Venture Holdings termasuklan Felda Global Ventures North Amerika Sdn. Bhd, Felda Global Ventures Indonesia Sdn. Bhd dan Felda Global Ventures Middle East Sdn. Bhd.

Setakat ini, pelaburan di luar negeri oleh FELDA Global Venture Holdings yang diumumkan termasuklah pembelian Syarikat Twin River Technologies di Amerika Syarikat.  Selain itu, FELDA Global Venture Holdings turut mencari peluang pelaburan dalam bidang perladangan di Indonesia; di samping terlibat dalam pelaburan di Timur Tengah.
Sebagaimana yang diketahui, apa yang diumumkan ini hanyalah sebahagian daripada pelaburannya.  Pada hakikatnya, syarikat ini telah menerokai pelaburan di Brazil, India dan Amerika Syarikat.  Tetapi, pelaburan ini masih dalam keadaan menanggung kerugian.

Selain itu, FELDA telah menggunakan tunai simpanan (cash reserves) dan berhutang untuk menanggung pembelian perusahaan di luar negeri ini.  Lantaran daripada itu, tunai simpanan FELDA menunjukkan pola pengurangan, malah menanggung hutang yang besar.

"Pada awalnya, ketika FELDA mempunyai banyak tunai simpanan, sesetengah elit menuduh bahawa wang ini tidak dikendalikan dengan baik, dan seharusnya digunakan untuk melabur.  Namun, pelaburan seharusnya mempunyai perancangan jangka panjang, bukannya melabur secara tergesa-gesa.  Kini, tunai simpanan yang tinggal tidak seberapa, kerana telah digunakan untuk merger dan akuisisi."

Sumber maklumat ini berkata, "Saya bersetuju dengan Tan Kee Kwong (bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, gambar kiri), bahawa FELDA pada asalnya tidak berhutang, tetapi terlebih berhutang pada masa sekarang."

Baru-baru ini, kerajaan Najib mengakui bahawa tunai simpanan FELDA telah berkurang dari RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009, dengan pengurangan pada kadar 67%.  Selain itu, Tan Kee Kwong pernah mendedahkan bahawa FELDA memiliki aset bernilai RM7 bilion, dan tunai simpanan sejumlah RM4.5 bilion, malah tidak berhutang, sebelum Najib mengambil alih FELDA.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa FELDA sedang merancang untuk menerbitkan bon yang bernilai RM6 bilion, sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula FELDA.  Angka ini sama dengan pengumuman FELDA Global Venture Holdings bahawa mereka merancang untuk melaburkan lebih RM6 bilion untuk memperluaskan perusahaannya.

Pembangkang mengkritik bahawa Najib dan Mohd Bakke Salleh yang bakal menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, harus bertanggungjawab terhadap pengurangan tunai simpanan secara mendadak dalam FELDA.  Sumber dalaman FELDA mengesahkan bahawa setelah FELDA melantik Mohd Bakke Salleh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif FELDA Global Venture Holdings pada tahun 2008, merger dan akuisisi mula dijalankan dengan giat di luar negeri.

Peneroka FELDA diketepikan
Di samping itu, sumber maklumat ini menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju bahawa peneroka FELDA diketepikan ketika keputusan pelaburan ini dilakukan.

"FELDA memegang 100% saham FELDA Global Venture Holdings, tetapi peneroka FELDA tidak boleh turut serta, dan tiada hak untuk mengetahui dan mengundi dalam FELDA Global Venture Holdings.  Jangan lupa, kilang pemprosesan kepala sawit yang dibeli FELDA Global Venture Holdings itu, kelapa sawitnya dibekalkan peneroka FELDA.  Daripada 800 ribu hektar ladang yang dimiliki FELDA, 50% daripadanya dimiliki peneroka FELDA.  Tindakan ini (mengetepikan peneroka FELDA) telah merampas hak yang seharusnya dimiliki mereka," katanya.

Menurut laporan media, kerajaan hanya memindahkan 49% saham FELDA yang dimiliki kerajaan ke FELDA Global Venture Holdings ketika ia ditubuhkan, sementara 51% saham yang dimiliki peneroka FELDA terus dikekalkan dalam FELDA.  Peneroka FELDA memegang 51% saham melalui Koperasi Permodalan Felda, yang terdiri daripada 110 ribu orang peneroka FELDA dan 22 ribu orang pekerja.

Dengan kata lain, walaupun FELDA menguasai 100% saham FELDA Global Venture Holdings, namun peneroka FELDA yang merupakan pemegang saham besar (51%) telah diketepikan dalam proses membuat keputusan dalam FELDA Global Venture Holdings.

Menurut laporan The Malaysian Insider semalam, National Association of Felda Settlers’ Children telah menggesa agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sama ada dana FELDA telah disalahgunakan.  Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, seandainya Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan enggan memberi penjelasan berikutan pengurangan tunai simpanan FELDA, maka pihaknya bersedia untuk membuat laporan kepada SPRM dan balai polis di setiap negeri pada bulan depan.

Minggu lalu, Ahmad Maslan menafikan bahawa pengurangan tunai simpanan FELDA disebabkan salah urus, malah menafikan bahawa wang ini disalahgunakan.

*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina.  Diterjemah dan disunting  oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular