Thursday, September 15, 2011

Piala Malaysia 2011: Kelantan tewas kepada Felda United

WarkahDaily – Kelantan diaibkan pasukan berstatus kelab, Felda United 0-2 dalam aksi ketiga peringkat kumpulan C pada awal malam tadi di Stadium Selayang.

Pemain Kelantan Azzamuddin Mohd Akil (kiri) cuba melepasi pertahanan Felda United dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Selayang. | foto Astro
Walaupun banyak mengasak, jentera serangan 'The Red Warriors' dilihat kempunan untuk menjaringkan gol selepas banyak peluang telah dinafikan oleh aksi cemerlang penjaga gol Felda, Hamsani Ahmad.

Felda yang hanya sesekali mengasak kubu lawan, bijak menggunakan peluang yang ada untuk menghukum jentera pertahanan Kelantan yang nampak leka dalam mencari gol.

Gol pembukaan Felda dihasilkan oleh Farderin Kadir pada minit ke-22 menerusi rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol Kelantan Mohd Shahrizan Ismail.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Separuh masa kedua bermula, Kelantan dilihat lebih banyak mengasak untuk mencari penyamaan. Banyak peluang cantik tercipta hasil gandingan serangan Nur Shahrul Idlan Talaha bersama Badhri Radzi. Namun rembatan kencang Badhri berjaya ditepis Hamsani dengan cemerlang.

Ketika Kelantan ghairah mencari gol penyamaan, Felda bijak memanfaat peluang sesekali mereka membuat serangan kilat apabila Saarvindran Devandran membuat rembatan dari luar kotak penalti untuk gol kedua Felda pada minit ke-68.

Hamsani layak dinobat wira perlawanan awal malam tadi apabila banyak menyelamatkan percubaan bahaya pemain-pemain Kelantan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan pertama Felda United itu memberikan tekanan buat Kelantan apabila gagal meneruskan penguasaan di kumpulan C dalam saingan Piala Malaysia 2011.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular