Wednesday, June 15, 2011

Kes Khir: Saksi utama akui bohong kepada SPRM


SHAH ALAM, 15 Jun – Saksi utama kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo mengakui di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia telah berbohong kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu.

Pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Hayroni berkata dia telah diminta berkata demikian kepada SPRM bahawa memutuskan untuk menjual rumah agamnya dan dua bidang tanah di Seksyen 7 di sini kepada bekas menteri besar Selangor (gambar) untuk mengatasi kerugiannya.
“Terdapat perbezaan keterangan yang diberikan kepada SPRM sebelum ini. Yang pertama, sebelum ini saya katakan saya jual rumah tersebut bukan di bawah harga pasaran, tetapi saya akui bahawa saya jual di bawah harga pasaran. 
Yang kedua, dalam kenyataan saya sebelum ini, saya katakan Nasir dilantik oleh saya. Tetapi sekarang, saya ingin katakan ia dilantik oleh Datuk Khir.
“Yang ketiga, sebelum ini saya katakan saya jual rumah itu kerana ingin menampung kerugian saya, tapi sekarang saya katakan ia tidak benar. Saya jual kerana tiada pilihan,” 
katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed. Selain itu, ketika ditanya oleh Abdul Wahab mengapa memberikan keterangan yang berbeza kepada SPRM, Shamsuddin hanya berdiam diri.
Dalam pada itu, peguam bela Dr Khir, Kamarul Hisham Kamaruddin turut mempersoalkan keterangan berbeza Shamsuddin kepada SPRM.
Katanya, “kalau Datuk boleh tidak bercakap benar kepada SPRM tentang pelantikkan Nasir. Kenapa kita perlu percaya Datuk Shamsuddin disuruh membeli rumah tersebut oleh Datuk Khir?
“Ringkasnya, Datuk Khir menyuruh Datuk Shamsuddin membeli rumah itu adalah satu rekaan semata-mata seperti keterangan Datuk kepada SPRM pada tahun 2009?” soal Kamarul. Bagaimanapun ia dinafikan oleh Shamsuddin.
Katanya,”saya tidak setuju. Itu bukan rekaan. Datuk Khir (ada) menyuruh saya beli rumah.”
Dr Khir didakwa memperoleh dua lot tanah dan sebuah rumah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta daripada Ditamas.
Bekas menteri besar Selangor itu didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah tersebut diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta daripada Saiful Aznir Shahabudin, pemilik hartanah itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.
Shamsuddin pula didakwa bersuhabat dengan beliau untuk melakukan kesalahan tersebut di tempat dan masa yang sama.
Bagaimanapun, 6 Jun lalu pihak pendakwa telah menggugurkan tuduhan ke atas Shamsuddin.
Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dr Khir yang menjawat jawatan menteri besar dari Ogos 2000 hingga Februari 2008, didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika disabit kesalahan. TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular