Friday, June 17, 2011

SYARAT PEMIMPIN NEGARA: TEKS DAN KONTEKS

Sarjana siyasah syar’iyyah terdahulu membahaskan syarat-syarat yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang hendak diangkat menjadi khalifah. Al-Baghdadi meletakkan empat syarat, Ibn Khaldun lima, al-Mawardi tujuh, Ibn Hazm lapan, al-Ghazali sepuluh dan seterusnya. 

Perbezaan ini disebabkan beberapa perkara; ada ulama yang mendetailkannya, ada yang meringkaskannya lalu dimasukkan dua syarat atau lebih ke dalam satu syarat. 
Juga ada syarat yang mereka sepakati dan berbeza. Syarat yang mereka sepakati ialah Islam, baligh, berakal, merdeka, dan lelaki. 
Adapun yang mereka berbeza; ijtihad, ‘adalah, berketurunan quraish (qurasyi), ilmu, tiada kecacatan pancaindera, keberanian, kafaah (kewibawaan). Sementara Syiah menambah syaratismah atau kemaksuman.
Saya tidak mahu membahas panjang syarat-syarat ini. Perbezaan suasana politik juga membolehkan kita berbeza dalam penetapan syarat-syarat di atas. Khalifah dalam gambaran dahulu, mungkin tidak sama dengan Perdana Menteri atau Presiden pada zaman ini. 
Bagi saya, syarat yang paling kukuh dari segi nas dan akal ialah Islam. Sementara yang lain itu ditetapkan dengan lojik yang kuat atau tafsiran ke atas beberapa nas yang terdedah kepada perbezaan. Mempunyai syarat-syarat wajib, bukan semestinya sesebuah kepimpinan itu berjaya. Mesti dilihat keadaan realiti sesebuah kepimpinan itu hendak dijalankan. 
Kita hendaklah fleksible dalam membahaskan syarat-syarat ini dan tidak semestinya terikat dengan perbahasan silam. Kita hanya wajib terikat dengan nas yang jelas. Adapun ijtihad, tiada paksaan ke atas kita untuk menerima atau menolaknya.
Sebahagian syarat itu ditegaskan pada zaman tertentu. Al-Imam al-Mawardi r.h (meninggal 450H) yang terkenal dengan tulisannya al-Ahkam al-Sultaniyyah umpamanya ialah seorang hakim di bawah Kerajaan ‘Abbasiyyah. ‘Abbasiyyah berketurunan Quraish. Al-Mawardi juga menegaskan kewajiban syarat Quraish ini dalam kitabnya. Sehingga beliau menyatakan:
“Hendaklah imam (khalifah) itu berketurunan Quraish disebabkan ada nas yang menyebutnya dan telah berlaku ijmak (consensus)” (Al-Mawardi, Al-Ahkam al-Sultaniyyah, m/s 6. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Padahal para ulama lain seperti al-Amidi menyebut: “Demi sesungguhnya, syarat seperti ini berlaku secara ijtihad”.
Kata Ibn Khaldun (meninggal 808H): “Ulama berkhilaf tentang syarat yang kelima iaitu keturunan Quraish”. (Lihat perbahasan ini: Dr. Muhammad bin Muhammad bin Sa’id Ali Fariyan, Ara` Ibn Taimiyyah fi al-Hukm wa al-Idarah 1/226-241).

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa menjadi dasar Islam apa yang disabda Nabi s.a.w:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi. Dinilai hasan oleh al-Albani.)
Adapun hadis Nabi s.a.w: “Para pemimpin dari Quraish” (Riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll. Sahih), ia tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa
Hadis ini bukan soal ketuanan politik milik sesuatu kabilah atau bangsa, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak. Dalam masa yang sama Nabi s.a.w bersabda:
“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah”. (Riwayat Muslim)
Apa yang hendak ditegaskan ialah, perbahasan tentang politik islami, termasuk syarat-syarat kelayakan sebagai pemimpin tidak boleh bertaklid sepenuh kepada buku-buku yang ditulis pada beberapa ratus tahun yang lain. Buku-buku ada sumbangannya, tapi mungkin dalam beberapa keadaan ia sudah tidak relevan atau ia terikat dengan suasana di zaman penulisan itu dibuat.
Iran Dan Kepimpinan Ulama
Isu pemimpin negara mestilah ulama menjadi lebih rancak dibincang dalam dunia pemikiran apabila tercetusnya Revolusi Iran dan Khomeini memperkatakan tentang konsep Wilayah al-Faqih (The Absolute Authority of the Faqih) yang meletakkan faqih atau ulama (syiah) sebagai pemimpin yang wajib ditaati. 
Konsep itu mempunyai akar umbi kefahaman Syiah yang tersendiri, walaupun ia juga didebatkan dan dibantah dalam kalangan mereka.Sebenarnya, tujuan konsep itu diadakan oleh Khomeini adalah untuk menangani pemikiran ulama konservatif Syiah Iran yang enggan tunduk kepada keputusan-keputusan Negara Revolusi Iran atas alasan mereka tidak terikat dengan pegawai-pegawai kerajaan yang sebahagian bukan ulama. Apatahlagi ramai ulama Syiah berpendapat bahawa mereka tidak boleh memiliki negara sehingga kehadiran al-imam al-ghaib atau the absent imam iaitu imam Mahdi.
Lalu Khomeini menyandarkan kedudukannya sebagai faqih atau ulama dalam Syiah yang memerintah negara Iran bagi mewajibkan para ulama dan rakyat taat tanpa bantah kepada kerajaan. Namun konsep telah mendapat kritikan dari golongan agama dan sekular. Ia telah memberikan kuasa mutlak kepada Khomeni yang menafikan syura dan demokrasi. Taufiq Alsaif dalam bukunya Islamic Democracy and its Limits membahaskan isu ini di bawah tajuk Ayatollah Khomeini’s Project. (m/s 50-53. Beirut: SAQI)
Maka konsep ini cuba diterjemahkan oleh sesetengah gerakan Islam yang wujud, sehingga menganggap hanya ulama sahaja yang boleh memimpin. Dalam ertikata yang lebih sempit pemimpin utama mesti dari kalangan ulama. 
Jika mereka menganggap ulama membimbing atau adanya badan ulama bagi memimpin gerakan dan negara, itu lebih fleksibel. Namun apabila ditentukan individu pemimpin mestilah ulama, maka dalam suasana tertentu boleh menyempit ruang pemilihan kepimpinan yang berkesan.
Di samping kegagalan golongan bukan ulama untuk menunjukkan ketelusan dalam kepimpinan, menjadikan harapan kepada ulama bertambah besar. Tidak dinafikan, jika ada ulama yang berkemampuan dalam politik lagi amanah, tentulah itu pilihan terbaik. 
Jika tiada ulama yang memiliki kemampuan, selain ulama juga boleh memimpin dengan syarak berkemampuan dan amanah. Jika ada ulama yang berkemampuan tetapi tidak telus, dia pun tidak layak. Jika telus, tetapi tidak berkemampuan, pun tidak layak.
Politik Islam dibina atas prinsip-prinsip umum Islam, tanpa terikat dengan perincian. Maslahah dan realiti memainkan peranan penting dalam pengendalian politik islami atau kepimpinan secara umumnya. Objektif yang hendak dicapai ialah keadilan dan membimbing rakyat ke jalan yang Allah redha. Perinciannya dilihat kepada tuntutan semasa. Nas-nas politik hendaklah dilihat hubung kait antara teks dan konteks.
Mencari pemimpin dalam negara seperti Malaysia, hendaklah tidak hanya melihat kepada nas-nas agama, tetapi juga kepada realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat negara ini dan juga suasana politik di peringkat antarabangsa. Nas-nas agama berkaitan muamalat dan siyasah sebahagiannya mempunyai konteks yang tersendiri. Perubahan suasana hendaklah diambil kira oleh seseorang yang ingin menegakkan siyasah syari’iyyah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular