Wednesday, April 27, 2011

Tak patut syaki Imam Besar Masjidil Haram suntik Wahabi, kata bekas MB

KUALA LUMPUR, 27 April — Tiada sesiapa pun wajar menuduh seseorang itu berfahaman ataupun cuba mengembangkan fahaman Wahabi, kata bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim sambil menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya ekoran isu terbaru ini.

Mengulas laporan yang memetik Zamihan Mat Zain, pegawai Jakim yang mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini, Shahidan berkata:

“Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak...tiadak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu, saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini.”

Tahun lalu, Zamihan menjadi perhatian ekoran laporan bahawa beliau mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, Shahidan sendiri dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Dan, semalam Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman, yang berada di Malaysia minggu lalu sempena lawatan kerja lima hari cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Kata Zamihan, Sheikh Abdul Rahman berpegang kepada fahaman Wahabi dan cuba menyuntik amalan itu di kalangan umat Islam melalui seminar “Berpegang kepada al-Quran dan As-Sunah” bertemakan “Dan Berpegang Kamu Semuanya Kepada Tali (Agama) Allah dan Janganlah Kamu Bercerai-berai.”

Seminar anjuran kerajaan negeri Perlis selama dua hari berakhir Ahad lalu diadakan di Hotel Royale Chulan di sini dan dihadiri tokoh agama dari dalam dan luar negara.

“Imam ini (Sheikh Abdul Rahman) bawa amalan Wahabi dan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan untuk menyuntik fahaman Wahabi kepada umat Islam di Malaysia dan negara-negara Islam yang lain.

“Kalau beliau datang bercakap untuk soal umum tentang Islam, kepentingan Islam kita boleh terima, tapi ia jadi masalah kalah bercakap tentang Allah ada mata... ada tangan... ada kaki... itu semua kita tidak boleh terima,” kata Zamihan yang pernah menjadi fokus berhubung isu Wahabi tahun lalu.

Sambil menyifatkan tindakan Zamihan itu keterlaluan, Shahidan berkata tuduhan yang melampau terhadap Sheikh Abdul Rahman itu adalah satu perkara yang tidak wajar bagi seorang individu yang berpendidikan agama.

“Ini boleh rosakkan dan jejaskan hubungan kita dan Arab Saudi, mana boleh kata individu itu berfahaman Wahabi.

“Imam Besar ini datang ke Malaysia atas rangka lawatan kerja. Ketika solat Jumaat tempoh hari ramai yang datang dengar khutbah Jumaat yang beliau berikan, ramai yang beri pengiktirafan kepada beliau,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno ini ketika ditemui pada satu majlis di sini malam tadi.

“Tiada sesiapa yang boleh tuduh seseorang itu berfahaman Wahabi atau tidak... tidak siapa yang berhak membuat hukuman sebegitu.

“Saya tak tahu kenapa ada individu yang berani mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini,” katanya lagi.

Tegas beliau, apa yang dilakukan Zamihan ini adalah satu perkara yang tidak boleh dimaafkan .

“Apa hak dia (Zamihan) nak mengkritik Imam Besar Masjidil Haram ini? Imam Besar ini datang dengan niat baik untuk satukan umat Islam, salahkah jika ada orang yang berbuat demikian? Salahkah kalau ada orang yang berdoa demi kebaikan kita semua? 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular