Friday, April 29, 2011

Najib nafi Laporan Bank Dunia

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menafikan Laporan Bank Dunia yang mendakwa dasar yang memberi keutamaan kepada Bumiputera menyebabkan berlaku masalah "brain drain" dan kurang kemasukan pelaburan ke negara ini. 



Perdana Menteri berkata, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia sebaliknya meningkat kepada RM9 bilion tahun lalu daripada RM1.4 bilion pada 2009.


"Saya rasa laporan itu kurang tepat tapi daripada segi 'brain drain' itu, memang kita dah kenal pasti sebagai salah satu daripada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya.


"Sebab itu kita menubuhkan Talent Corp dan langkah pertama saya telah umumkan di Invest Malaysia baru-baru ini ialah pemberian insentif cukai pendapatan pada kadar tetap 15 peratus bagi tempoh lima tahun jika mereka (profesional rakyat Malaysia) balik ke Malaysia. 


"Ini salah satu daripada inisiatif pertama dan inisiatif lain yang telah dipersetujui dan kita akan ambil langkah selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Kebangsaan di sini hari ini. 

Beliau diminta mengulas mengenai Laporan Bank Dunia semalam bahawa lebih sejuta rakyat Malaysia bekerja di luar negara manakala pelaburan langsung asing ke Malaysia adalah kurang disebabkan oleh dasar itu. 

Najib berkata, beliau yakin Malaysia akan mampu menjamin pertumbuhan yang sihat untuk FDI dan pelaburan domestik. 
"Jangan lupa, ia bukannya semata-mata soal FDI tetapi juga pelaburan demostik. Sebanyak 73 peratus daripada perancangan kita membabitkan pelaburan domestik," katanya. 

Beliau juga berkata, projek Program Transformasi Ekonomi secara besar-besaran yang sedang dan akan dilaksanakan juga akan memberi peluang lebih terbuka kepada rakyat untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara. - BERNAMA 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular