Saturday, April 30, 2011

Pemimpin Pemuda Umno Sabah tuntut penjelasan

umno
Sekumpulan naib ketua Pemuda beberapa bahagian Umno di Sabah menuntut penjelasan berhubung rasional di sebalik penyingkiran serta-merta ketua Pemuda Umno negeri, Azman Roslan. 


Ketua kumpulan itu, Mohd Razali Razi, yang juga naib ketua Pemuda Umno bahagian Sepanggar, menyuarakan rasa terkejut berikutan keputusan kepimpinan Pemuda Umno pusat untuk menggantikan Azman.


Beliau berkata Azman, seorang peguam, merupakan pemimpin Pemuda yang berwibawa dan diterima oleh Pemuda Umno negeri.

"Pengaturan masa membabitkan penyingkiran beliau tiada kewajarannya jika mengambil kira hakikat bahawa kita sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan dalam usaha mendekatkan parti untuk memenangi kepercayaan rakyat.

"Jika tiada penjelasan yang boleh diterima berhubung penyingkiran ini, kami menggesa agar Azman diberi semula jawatannya sebagai Ketua Pemuda Umno Sabah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.

Mohd Razali berkata penyingkiran itu akan mewujudkan kesimpulan bahawa kedudukan Ketua Pemuda Umno Sabah adalah perkara eksklusif yang terletak pada budi bicara Ketua Pemuda Umno, tanpa perlu berunding terlebih dahulu dengan Pemuda Umno Sabah.

Sementara itu, Azman mengesahkan mengenai penyingkiran beliau dan berkata beliau hanya dimaklumkan mengenai perkara itu pada Isnin lepas melalui sepucuk surat yang dihantar menerusi faks ke pejabat Umno Sabah.

Kata Azman, beliau akur dengan keputusan kepimpinan Pemuda Umno pusat dan berikrar untuk meneruskan perjuangan politiknya dalam Umno.

Beliau turut mengesahkan akan berlaku perubahan dalam kepimpinan Pemuda Umno Sabah, dan menambah naib ketua Pemuda Umno negeri Awang Kadin Tang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai pergerakan itu di negeri ini.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular