Thursday, April 28, 2011

Datuk Eskay SUMPAH LAKNAT esok!!, Pandangan Mufti dan Tokoh Agama


‘Datuk T’ Eskay mahu buat sumpah laknat esok

[MK] KUALA LUMPUR, 28 April — Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah — salah seorang “Datuk T” yang mendedahkan video seks bulan lalu, dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim  akan melakukan sumpah laknat esok. 

Justeru beliau mencabar Anwar supaya sama-sama bersumpah laknat bagi membuktikan kebenaran berhubung rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR itu. 

Shazryl berkata beliau akan membuat sumpah laknat itu selepas solat Jumaat di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul di sini dan mencabar Anwar untuk turut serta.

Menurut Shazryl, hanya beliau sahaja yang akan melakukan sumpah laknat, namun dua lagi rakannya iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim akan hadir dan solat Jumaat bersama-sama sebelum melakukan sumpah laknat.

“Mengenai identiti sebenar pelaku dalam video tersebut, saya berani bersumpah bahawa pelaku tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya sendiri berada di lokasi itu.

“Sekiranya Anwar masih menafikan bahawa beliau bukan orang dalam video itu, saya mengundang beliau agar sama-sama dapat melafazkan sumpah laknat selepas solat Jumaat esok di Masjid Amru al-As,” katanya pada sidang media di sini.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Rahim dan Shuib yang merupakan “Datuk T” yang telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.

“Hanya saya sahaja yang akan membuat sumpah laknat, kalau diperlukan mereka (Rahim dan Shuib) akan buat juga.

“Saya juga ingin mempelawa semua pihak yang meragui kebenaran ini untuk turut hadir menyaksikan upacara tersebut.

“Sesungguhnya segala tindakan kami berasaskan kebenaran dan memenuhi kepentingan rakyat, akhir sekali dengan nama Allah, Rasulullah, rakyat dan anak-anak cucu kita, saya dan rakan-rakan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendedahan tersebut,” kata Shazryl.

Ditanya kemungkinan Anwar tidak akan hadir untuk melakukan sumpah laknat esok, Shazryl bagaimanapun enggan mengulas sebaliknya berkata, “biar rakyat sahaja menilai.”
“Saya tidak mahu komen pasal itu, kita tunggu sahaja esok dan biar rakyat menilainya,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung klip terbaru yang tersebar di Internet semalam.

“Saya tidak tahu, biar polis yang siasat... saya tidak mahu komen,” katanya.

Dalam sidang media itu, Shazryl berkata beliau amat mengenali peribadi Anwar dan kesal pemimpin kanan kanan Pakatan Rakyat tidak pernah menyesal dengan perbuatan yang tidak bermoral itu.

“Saya sangat mengenali Anwar secara peribadi, maka saya percaya beliau tidak akan berubah, malah tidak menyesal dan insaf terhadap perbuatan terkutuk yang beliau lakukan mengikut nafsu dan kerakusannya walaupun menghadapi pelbagai tuduan beliau tidak pernah bertaubat.

“Malah beliau tidak sedikit pun serik atau rasa bersalah untuk mengulangi perbuatan terkutuk yang bertentangan dengan syariat Islam,” katanya.

Semalam satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin tertinggi pembangkang telah dimuat naik dalam laman Internet.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Sebelum ini pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Semalam Shazryl telah memberi sampel DNA kepada polis bagi membantu siasatan berkaitan dengan video seks itu. TK

Mufti, Tokoh Agama Tolak Sumpah Laknat Eskay Mahu Qazaf Ditegakkan

SHAH ALAM 28 APRIL : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.


Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana “agama, bangsa dan negara.”

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.

“Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina, dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.

"Menuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.

Pada 4 April lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menfailkan pertuduhan qazaf terhadap Datuk T dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Anwar sendiri sebelum ini bersetuju hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani dakwaan-dakwaan yang disebarkan oleh Datuk T dan pihak lain untuk mengaibkan beliau sekeluarga dan sekali gus menghancurkan karier politiknya.

bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.

“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau.

“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.

Eskay berkata gadingan Datuk T bertekad "tidak akan membenarkan orang bernama Anwar yang merupakan pelaku seks menjadi pemimpin negara Islam."

Mengulas lanjut sumpah laknat yang bakal dilakukan oleh Eskay, Harunsani berkata cara itu selalunya membabitkan pertuduhan zina antara suami isteri.

“Selalunya orang yang membuat sumpah laknat ini adalah kalau pertuduhan Li'an iaitu suami tuduh isteri.

"Qazaf ini, kalau dia(trio 'Datuk T') tidak boleh mengemukakan bukti, ikut hukum Islam dia (trio 'Datuk T') yang kena sebat. Itu saja hukumnya. Sebab itu tidak semudah ini untuk menghukum orang berzina,” kata Harussani.

Badrulamin berkata Menteri yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom sepatutnya mengusulkan gadingan Datuk T untuk disiasat mengikut hukum qazaf dan bukannya menyokong tindakan membuat sumpah laknat.

“Jamil Khir sepatutnya menyokong pelaksanaan hukum qazaf bukan sebaliknya menutup fail yang diajukan kepada mahkamah syariah dibawah kes qazaf dan menyuburkan pula budaya sumpah menyumpah ini,” tegas beliau. wrlr

SUMPAH LAKNAT DATUK T TAK IKUT AJARAN ISLAM- USTAZ SHAMSUL

KUALA LUMPUR: Bekas Imam Masjid Saidina Omar Al Khattab, Bukit Damansara, Ustaz Shamsul Firdaus Alhafiz berkata, sumpah laknat yang dilakukan Trio Datuk T, tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.


Beliau merujuk tindakan salah seorang individu terbabit, Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang dikatakan mahu mengangkat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di Sentul selepas solat Jumaat esok.


“Sumpah untuk nak buktikan tuduhan zina cuma boleh dilakukan terhadap isteri sahaja. Itu dipanggil sebagai sumpah Li’an. Itu dinyatakan dalam Al Quran Surah An Nur ayat ke 6 hingga ke 10, ” ujarnya kepada Keadilandaily.

“Sumpah li’an ini pula adalah sumpah saling rela dilaknat, ia tak ‘laku’ kalau hanya sebelah pihak sahaja. Kedua, ia tidak ‘laku’ kalau tidak membabitkan suami dan isteri,

“Sumpah yang dilakukan Datuk T ini tidak terpakai dan tak boleh pakai,” tegas beliau.

Katanya, sumpah mubahalah seperti yang diperkatakan ramai orang pula, hanya melibatkan persoalan akidah dan tidak ada kaitan dengan hukum syarak.

“Sumpah Mubahalah cuma nak menyatakan dalam soal perdebatan akidah dan ia tidak menyangkut paut dengan hukum syarak. Ia berkenaan akidah sahaja. Misalnya perdebatan antara ahli kitab dan orang Islam, dalam tuduhan seks tidak ada sumpah muhabalah.

Justeru, katanya, tindakan Datuk T yang terdiri daripada Shazryl Eskay, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, dan bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim itu tidak diterima dalam kaedah perundangan Islam.

Dalam kes fitnah membabitkan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Shamsul berkata, di dalam Islam, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan hukum syarak.

“Dia (Datuk T) kena ikut proses, sebab itu perlu membawa empat saksi. Kriteria saksi ini mesti lah memenuhi syarat seperti adil, tidak fasik dan tidak buat dosa-dosa besar,” jelas beliau.

Ketika ditanya mengenai hukum daripada tindakan individu berkenaan, Shamsul berkata sumpah yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan kepada yang dituduh mahupun yang menuduh.

“Ia tidak boleh dijadikan asas sebagai penerimaan bukti samada betul atau tidak,” tambahnya.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, Ustaz Dr Badrul Amin Bahron pula mengingatkan umat Islam supaya jangan sewenangnya mempermainkan agama dengan merujuk tindakan individu berkenaan.

“Jangan sampai kita semua dilaknat Allah! Siapa ajar sumpah-sumpah ini? Agama apa? Kenapa di masjid? Sumpah bukan ajaran Islam, ikut Islam sebat je mereka ini,” katanya sambil menyeru umat Islam merujuk surah An-Nur ayat 4.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular