Thursday, November 22, 2012

Tiada diskaun saman kepada pesalah trafik AES, Mangsa AES Mahu Cabar Kerajaan Di Mahkamah +Video

Tiada Cadangan Untuk Mansuhkan AES - Kong
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memansuhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahupun memberi diskaun saman kepada pesalah trafik yang dikesan menerusi sistem itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menegaskan bahawa sistem AES bukan untuk menghukum tetapi bagi mengajar pengguna jalan mematuhi undang-undang dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan maut.

Sejak fasa pertama sistem kamera AES dipasang pada 22 Sept lepas, ada penurunan sehingga 70 peratus bilangan mereka yang melanggar had laju dan melanggar lampu isyarat, katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, Rabu.

Kong berkata pelaksanaan AES telah dikaji daripada segala aspek termasuk kepakaran memperbaiki, menyelenggara peralatan AES dan kaedah mengelakkan wujudnya vandalisme.

Katanya beliau berasa amat kecewa dengan tindakan segelintir wakil rakyat pembangkang yang didakwa memutarbelitkan fakta mengenai AES.

"Pembangkang mendakwa seolah-olah dua syarikat yang terbabit dalam AES mengaut keuntungan berlebihan sebaliknya mereka perlu sedar bahawa sebenarnya proses pemilihan (syarikat) dijalankan secara telus.

"Kedua-dua syarikat itu hanya penyedia perkhidmatan manakala penguatkuasaan pula dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.

Pada sidang media yang sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri pula berkata kandungan perjanjian antara kerajaan dengan dua syarikat penyedia perkhidmatan AES itu adalah rahsia dan sulit serta mengguna pakai Akta Rahsia Rasmi.

Terdahulu, semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 peringkat jawatankuasa, Kong berkata cadangan untuk memberi diskaun kepada pesalah trafik yang dikenakan saman melalui AES akan dikaji walaupun pada masa ini, kerajaan tidak mempunyai sistem untuk berbuat demikian.

"Jadi, cadangan itu kita akan ambil kajian," katanya ketika menjawab gesaan anggota Parlimen Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kementerian akan membuat kajian berhubung cadangan tersebut demi kepentingan rakyat.

Beliau juga berkata kaedah pembayaran saman yang dikesan melalui AES akan diperluaskan apabila pembayarannya boleh dibuat di pejabat pos, melalui MYEG dan secara atas talian.

Mengenai tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan menswastakan penguatkuasaan kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat, Kong berkata ia adalah tidak benar sama sekali.

Katanya ini kerana kedua-dua syarikat itu meerupakan penyedia perkhidmatan yang hanya bertanggungjawab untuk membangunkan, menyelenggara dan mengoperasikan sistem AES.

Katanya seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, semua saman adalah dikeluarkan oleh JPJ yang ditempatkan di Pusat Kawalan AES dan di bawah perjanjian di antara kerajaan dan pihak penyedia perkhidmatan, sistem tersebut akan diserahkan kepada kerajaan selepas lima tahun ia beroperasi.

Sebenarnya pelaksanaan AES ini telah diberi pertimbangan sedalam-dalamnya oleh kerajaan dan jika kerajaan tidak melantik pihak syarikat swasta secara kaedah penyumberan luar, ia terpaksa memberi pertimbangan kepada masalah dari segi penyelenggaraan, risiko vandalisme, kecurian peralatan, teknologi yang berubah, alat ganti dan penyediaan dalam mengoperasi dan menyelenggarakan sistem ini," katanya.

Rang undang-undang tersebut diluluskan melalui dua kali undi belah bahagian.- Bernama

Ratusan Mangsa AES Mahu Cabar Kerajaan Di Mahkamah
Sekurang-kurangnya 260 mangsa saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) mahu mencabar pelaksanaannya sistem itu dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia.

Menyatakan bantahan di kaunter penerimaan saman itu di pejabat Agung PAS hari ini, mereka menjadikan peguam Kempen Anti Saman Ekor (Kase) sebagai wakil mereka di mahkamah.

“Kase menerima lebih 60 permohonan tidak termasuk melalui emel melibatkan lebih 200 orang.

“Tujuan Kase bukan untuk kurangkan nilai saman tetapi bela mereka yang dizalimi sistem AES melalui khidmat guaman percuma,” kata Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar.

Kes terawal didengar pada 6 Disember ini di Mahkamah Majistret Jalan Duta jam 8 pagi manakala terakhir ialah Januari tahun depan.

Mulai 1 Disember ini, Kase akan membuka kaunter setiap dua minggu antara 12 hingga 1.30 tengah hari.

Pengerusi Jabatan Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaim pula, berkata mangsa AES harus berani tampil mempertahan hak mereka.

Ini kerana, katanya, saman terhadap Orang Kena Saman (OKS) tidak jelas, selain pelaksanaan AES yang bermasalah.

“Saman itu mengelirukan apabila ada saman diterima menggunakan seksyen 79(2) tetapi kesalahan dinyata sebagai melebihi had laju.

“Seksyen ini bukan berkaitan had laju tetapi pelanggaran arahan dan isyarat lalu lintas,” katanya.

Mangsa AES, katanya dinasihati tidak bimbang dengan perkataan saman kerana ia adalah saman paling kecil dalam negara.

“Kalau bawa ke mahkamahpun, tak perlu duduk dalam kandang. Mereka yang duduk dalam kandang hanya untuk mereka yang terlibat dengan kes jenayah,” katanya

Beliau mengajak mangsa AES tampil mendaftar dengan Kase untuk mendapat khidmat guaman percuma dan mencabar kes itu di mahkamah. -KD

AES: Kaunter Kase diserbu orang ramai
KUALA LUMPUR: Kaunter saman AES yang baru dilancarkan hari ini oleh Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dengan Kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat, diserbu orang ramai.

Hampir 100 orang kena saman (OKS) hadir sambil membawa salinan surat saman untuk diserahkan kepada Kase dan Juham.

Kaunter yang dibuka di lobi Pejabat Agung PAS akan beroperasi dua minggu sekali bermula 1 Disember ini, dari jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari.

Orang ramai juga diberi taklimat prosiding asas oleh wakil Juham iaitu bagaimana mereka berhadapan dengan proses mahkamah nanti.

Dalam pertemuan itu, OKS berkesempatan mengajukan soalan-soalan kepada wakil Juham berhubung saman AES.

Presiden Kase Datuk Mahfuz Omar yang turut merasmikan kaunter saman AES berkata, sehingga hari ini seramai 200 OKS mendaftar melalui emel ditambah pula sambutan pada hari ini amat menggalakkan.

"Hari ini, yang datang dari pelbagai bangsa Cina, Melayu dan India. Malah ada juga yang datang termasuk pemandu kereta kerajaan dan kakitangan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, pendakwaan kes yang pertama berhubung saman AES akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 6 Disember ini.

Menurut Pengarah Juham Zamri Asa'ad Khuzami, mereka akan mengiringi OKS tersebut dan akan memohon pada mahkamah untuk cabar AES di Mahkamah Tinggi.

Katanya, orang ramai tidak perlu takut untuk cabar di mahkamah sebagaimana ia ditawarkan dalam surat saman.

"Tuan-tuan jangan takut sebab saman trafik adalah kesalahan yang kecil. Pesalah tidak duduk dalam kandang. Sebab itu ia dibawa dalam mahkamah Majistret," katanya.

Melalui inisiatif membuka kaunter, jelas Peguam Juham Dr Zulqarnain Lukman sebagai usaha untuk mengajar orang ramai supaya jangan takut dengan mahkamah.

"Kita kena tahu implikasi apabila kita melalui proses mahkamah, sama ada mengambil masa tiga atau empat kali ulang alik ke mahkamah, mungkin akan ambil masa yang banyak, tapi kita kena sedia menempuhnya.

"Apabila sampai ke mahkamah daftar dahulu, kemudian polis yang bertugas akan 'frame'kan caj kita, pertuduhan akan dibaca kepada kita. Tuan-tuan akan diberi pilihan, pilihlah tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan. Ini tidak perlu jamin sebab ini kes kecil sahaja. Bila tetap tarikh jadi pendakwaan bermula.

"Kalau pendakwaraya tidak bersedia, kes ditangguh. Jikalau tertangguh sebanyak 3 kali biasanya mahkamah akan buang kes. Apa yang kita tahu pendakwaan nampaknya masih kabur kerana tidak tahu SOP mana yang perlu digunakan," terang beliau kepada OKS.

Kase menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Kase atau emel k empenantisamanekor@gmail.com -HD

"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular