SHAH ALAM: Polis menahan tiga warganegara Kemboja dan menemui semula bayi lelaki berumur tiga minggu yang dilapor dilarikan dari sebuah rumah di Ukay Bestari, Ampang petang Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata suspek terdiri dari dua pembantu rumah berumur 22 dan 24 tahun serta seorang lelaki berumur 35 tahun yang dipercayai ejen kepada wanita terbabit.
Beliau berkata polis menerima laporan daripada ibu bayi berkenaan yang berumur 32 tahun kira-kira 8.15 malam yang memaklumkan bahawa bayinya telah dibawa lari oleh dua pembantu rumah tersebut yang baru dua minggu berkhidmat dengannya.
"Kita melancarkan satu pasukan khas dan menjalankan operasi dan menahan kesemua suspek di hadapan sebuah rumah di Jalan Kolam Air Lama, Ampang pukul 1 pagi Rabu, serta berjaya menemui bayi berkenaan yang berada bersama suspek.
"Polis turut merampas sejumlah wang tunai dan sebilah pisau daripada kesemua suspek," katanya dalam sidang media di sini Rabu.
Mohd Adnan berkata sebelum kejadian ibu bayi berkenaan keluar atas satu urusan dan meninggalkan bayi berkenaan bersama tujuh anaknya yang lain dengan dua pembantu rumah terbabit kira-kira tengah hari semalam dan pulang semula pada pukul 6.45 petang.
Beliau berkata ibu berkenaan bagaimanapun panik sebaik pulang ke rumah dan mendapati bayinya dan dua pembantu rumah terbabit telah hilang, lalu dia membuat laporan polis.
Katanya siasatan awal mendapati kedua-dua pembantu rumah terbabit pernah berkhidmat di negara ini dan polis masih menyiasat motif bayi itu dilarikan termasuk kemungkinan untuk dijual atau dibawa keluar dari negara ini.
"Kita menahan reman kesemua suspek mengikut Akta Imigresen sehingga 4 Dis depan termasuk bagi menyiasat dokumen serta permit kerja mereka sebagai pembantu rumah dan peranan lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ejen pembantu rumah," katanya.
Mohd Adnan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.- Bernama
"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment