Thursday, January 5, 2012

Perhimpunan 901 akan dirakam sepenuhnya elak eksploitasi

Perhimpunan 901 akan dirakam sepenuhnya elak eksploitasiPUTRAJAYA - Perjalanan perhimpunan 901 akan dirakam sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang eksploitasi fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Katanya, sehubungan itu, pihak polis sedang membuat pelbagai persiapan rapi termasuk memastikan semua kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dengan baik.

Beliau berkata, pengalaman dalam perhimpunan haram Bersih 2.0 telah mengajar pihaknya tentang pentingnya menghantar pegawai untuk memantau perhimpunan yang akan diadakan pada Isnin ini.

''Kita juga perlu menghubungi media asing dan wakil kedutaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, orang ramai pada masa yang sama perlu mengambil iktibar daripada perhimpunan haram anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan tidak mudah mempercayai segala maklumat yang tersebar.

"Rakyat tidak boleh terlalu emosi dan percaya apa jua yang dilaporkan tetapi perlu beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjelaskan maklumat yang tepat. Kalau tidak keadaan akan dieksploitasi dan pelbagai tuduhan telah dibuat mengenai perhimpunan di UPSI.

"Video yang tersebar pada ketika ini bagaimanapun membuktikan tuduhan itu tidak benar dan perhimpunan yang diadakan tidak ada kena-mengena dengan hak mahasiswa sebaliknya ia berkaitan langsung dengan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, rakyat kena menyedari bahawa sebarang rancangan termasuk penganjuran perhimpunan tidak akan mengubah keputusan mahkamah mengenai kes Anwar.

"Penganjur juga mesti bertanggungjawab dengan menyakinkan polis bahawa apa yang dirancang akan berjalan secara aman.

"Kalau mereka melakukan sesuatu yang tidak menjejaskan keadaan, maka ia tidak akan menimbulkan masalah. Tetapi kalau ia disengajakan atau akan menimbul huru-hara, maka ia perlu dipertimbangkan oleh polis," katanya. -Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular