Sunday, January 1, 2012

Insiden UPSI: Hishammuddin, KPN bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samudin berkata, PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi.
Kain penuh dengan darah Amar, bukan kain merah

“PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Seharusnya, kata beliau sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, ujarnya PKPIM melihat isu itu juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman.

PKPIM juga, katanya memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi.

“PKPIM merasakan bahawa bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang,” katanya lagi.

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Apapun berlaku, perjuangan mansuh Auku diteruskan

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Akram Ikrami Taib Azamudden menyelar tindakan pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak ganas sewaktu Himpunan Menuntut Kebebasan Berakademik (Bebas) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di awal sambutan tahun baru.


Presiden Gamis yang dihubungi pagi ini menjelaskan tindakan pihak polis jelas membuktikan suara mahasiswa ingin dikuburkan oleh rejim kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Tambah beliau lagi, sepatutnya pihak berkuasa khususnya polis harus bertindak dengan lebih profesional, bukannya menggunakan kekerasan melampau apatah lagi himpun tersebut berlangsung dengan aman.

"Gamis akan bersama seluruh mahasiswa sama sekali tidak akan berundur bahkan akan terus mara memperjuangkan mansuhnya Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan akta seumpamanya.

"Himpunan dijalankan secara aman, malah kerjasama baik diberikan oleh mahasiswa tanpa ada provokasi liar, tetapi pihak polis menggunakan kuasa mereka untuk bertindak melebihi dari sifat keperimanusiaan.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan serta menuntut pembebasan segera ke atas semua mahasiswa yang ditahan dan mesti bertanggungjawab ke atas mangsa kekejaman tersebut," jelasnya.

Sebelum itu, Pengerusi Bebas, Safwan Anang dimasukkan ke hospital kerana dipijak oleh polis, manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala dah dijahit.

Dilaporkan lebih 20 orang mahasiswa lain di tahan di Balai Polis Tanjung Malim termasuk aktivis Mahasiswa, Adam Adli.
Dimaklumkan lebih kurang 100 orang anggota polis dan FRU berada di UPSI bagi menghalang himpunan tersebut.

Dalam pada itu, mahasiswa telah mula berhimpun di Stesen Komuter Tanjung Malim sejak awal pagi tadi bagi mendesak agar mereka yang ditahan di bebaskan segera.

Akram Ikrami menjelaskan walau apa jua tindakan dikenakan terhadap Bebas, desakan agar memansuhkan Auku tetap diteruskan, malah apa yang berlaku sekarang adalah sebagai cabaran kepada mahasiswa. Harakah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular