KUALA LUMPUR- Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) hari ini membidas Astro yang disifatkannya hanya memikirkan keuntungan tetapi tidak mahu memikirkan rungutan jutaan pelanggan mereka mengenai caj dan mutu perkhidmatan yang disediakan.
Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof bin Abdul Rahman berkata, dengan status syarikat tersebut yang memonopoli perkhidmatan televisyen satelit berbayar, Astro sepatutnya lebih prihatin dalam menjaga pelanggan mereka tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Menurut Mohd. Yusuf, pihaknya pernah mengadakan perbincangan dengan pihak Astro mengenai rungutan-rungutan yang dikemukakan pelanggan mereka tetapi reaksi yang diterima amat mengecewakan.
” Pengguna ada pilihan sebenarnya jika mereka masih tidak berpuashati iaitu dengan menamatkan langganan mereka, tetapi ada yang masih terikat dengan kontrak, ini menyebabkan mereka tidak punya banyak pilihan.
” Ramai juga sebenarnya bukan ‘teruja’ pun dengan rancangan yang pihak Astro sediakan tetapi terpaksa berbuat demikian kerana tidak mempunyai akses terhadap penerimaan siaran terutama penduduk di luar bandar, jadi pada Astro sajalah mereka bergantung.
” Jadi adalah sesuatu yang cukup mengecewakan jika bayaran perkhidmatan itu dinaikkan sesuka hati tanpa mendengar dulu reaksi pelanggan,” tegasnya pada Mynewshub.my di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Astro yang melakukan beberapa pelarasan kepada pakej-pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai 2011. Bagaimanapun, Pek Famili dikekalkan pada harga RM37.95 sebulan (atau hanya RM 1.30 sehari) untuk akses ke 38 buah saluran.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Astro di sini hari ini, bergantung kepada pakej pilihan pelanggan, sesetengah pelanggan mungkin akan mengalami kenaikkan harga sekitar RM1 hingga RM15.00 sebulan.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata, sehingga sekarang banyak rungutan asas seperti kelemahan penerimaan siaran ketika hujan, ulangan siaran yang keterlaluan, caj bil yang mengelirukan masih lagi diterima pihaknya.
Sambil tidak menafikan yang kenaikan kos penerbitan mungkin menjadi punca pelarasan tersebut, Mohd. Yusof berkata, ia bagaimanapun tidak boleh dijadikan alasan untuk memindahkan beban tersebut kepada pengguna.
” Sekarang ni saya lihat iklan pun dah banyak masuk sepatutnya kos itu dah boleh dikurangkan tetapi nampaknya pengguna juga yang kena tanggung,” katanya lagi. -Oleh SYAHRIL A. KADIR (Mynewshub.my)
Artikel Berkaitan : Pakej Astro Naik Sehingga RM15 Mulai 11 Julai
No comments:
Post a Comment