Sunday, July 21, 2013

Video Antara Pos putar belit kenyataan YB @KhalidSamad, sebuah lagi saluran penyebar fitnah seangkatan dgn Utusan dan TV3?

Duta Vatican
Adalah jelas video Antara Pos mengenai komen saya berhubung kes Duta Vatican mengandungi terlampau banyak babak 'cut' dan 'edit'. Ia bertujuan memutar-belit komen saya sepertimana yang terpampang jelas dari tajuk video itu sendiri.

Saya tidak membela Duta Vatican dan tidak juga menyatakan bahawa ianya merupakan pendirian PAS Selangor. Di dalam temuramah tersebut, saya sekadar menjelaskan bahawa pendirian Duta tersebut adalah pendirian serta pendapat peribadi beliau yang tidak mungkin kita ubah.


Saya juga menyebut bahawa beliau tidak sepatutnya campur tangan kerana ini adalah urusan Negara kita dan sebagai tetamu maka adalah tidak wajar memberi sebarang komen terhadap isu tersebut. Namun saya turut menjelaskan bahawa ianya mungkin disebabkan wujudnya undang-undang yang berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain dan ini boleh menyebabkan beliau keliru. Terakhirnya saya juga menyatakan bahawa beliau telahpun meminta maaf dan bagi saya ianya adalah memadai dan isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi. 

Pada masa yang sama saya tidak sama sekali menyentuh pendirian majlis fatwa Kedah atau Kebangsaan sepertimana yang telah didakwa pihak tersebut.

Amat malang apabila dalam keadaan ketiadaan isu di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, 'mereka' begitu terdesak sehingga memutar-belit fakta. Cukuplah dengan adanya Utusan dan TV3, Malaysia sama sekali tidak memerlukan sebuah lagi saluran penyebar fitnah di dalam bentuk Antara Pos.

WaLlahu 'Alam

Dari Antarapos
Kalimah Allah - Khalid Samad bela Duta Vatican
KUALA LUMPUR: PAS Selangor menolak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mahukan tindakan sesuai diambil terhadap Duta Vatican City ke Malaysia, Biskop Joseph Marino, berhubung kenyataannya yang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam di negara ini.

"(Tindakan) itu merupakan satu perkara yang tidak perlu dilakukan kerana dia (Marino) hanya memberikan pandangan dia dan kalau kita ambil apa-apa tindakan terhadap dia pun, ianya tidak akan mengubah pandangan dia," kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad kepada Antarapos, hari ini.

Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Datuk Syeikh Mohd Baderuddin Ahmad yang juga Mufti Kedah berkata badan itu itu semalam memutuskan bahawa campurtangan Marino dalam isu kalimah Allah tidak boleh dimaafkan.

Dalam wawancara dengan media Malaysia baru-baru ini, Marino berkata pihak gereja di Malaysia menyediakan hujah-hujah bernas bagi menerangkan kenapa kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible.

Kenyataan beliau disifatkan campurtangan dalam urusan dalaman negara ini kerana isu penggunaan kalimah Allah masih belum diputuskan oleh mahkamah.

Badan-badan Islam dan ahli politik turut membidas Marino kerana disifatkan menghina Islam. Pegawai tertinggi gereja Katolik di Malaysia itu kemudiannya memohon maaf setelah dipanggil oleh Kementerian Luar untuk memberi penjelasan.

Khalid berkata pandangan Marino harus dihormati sungguhpun ia boleh dianggap sebagai campurtangan pihak luar dalam hal ehwal Malaysia.

"Memanglah sepatutnya dia sebagai seorang yang datang dari luar negara tidak mencampuri hal dalaman negara kita..ianya boleh dikatakan sebagai tidak sopan.

"Namun saya juga boleh faham yang kekeliruan yang dialami oleh beliau kerana dia melihat undang-undang di Malaysia ini berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain dalam persoalan kalimah Allah itu.

"Maka bagi seseorang yang datang dari luar negara, mungkin dia beranggapan bahawa ianya satu isu yang boleh dibincangkan oleh kerana ada yang kata boleh dan ada yang kata tak boleh dan dia ingin menyatakan pandangannya," kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Menurut beliau, adalah memadai Marino sekadar diberi nasihat mengenai struktur undang-undang Islam di Malaysia.

"Dari segi itu, ia adalah pandangannya dan kita hormatilah pandangannya dan kita beritahu pada dia bahawa negara kita ada undang-undang bagi negeri-negeri yang berbeza," katanya lagi.

Kedah menjadi negeri terbaru yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan mufti negeri itu Syeikh Mohd berkata permohonan maaf oleh Marino tidak mencukupi.

"Tindakan perlu diambil sebab dia telah mencampuri urusan negara kita. Dia sebagai duta datang untuk menjalinkan hubungan baik dengan negara kita dan bukan untuk menyentuh perkara-perkara yang sudah diputuskan dalam negara ini,” kata beliau.

"Kita sudah bincang dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan dan sudah sepakat untuk tidak boleh memaafkan perkara-perkara seperti ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Demo LoNie

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular