Friday, March 16, 2012

Surat Terbuka – SALAHLAKU GANI PATAIL : MENUBUHKAN TRIBUNAL???

Mat Zain bin Ibrahim
16 Mac 2012.
 
Kepada;

YDH Tan Sri Ismail Hj.Omar,
Ketua Polis Negara,
Bukit Aman,
Kuala Lumpur.
iho@rmp.gov.my

YDH Tan Sri,


SALAHLAKU GANI PATAIL : MENUBUHKAN TRIBUNAL???

Saya meramalkan bahawa PM Najib, TIDAK akan menasihatkan YDP Agong untuk menubuhkan Tribunal, menyiasat tingkah laku Tan Sri Abdul Gani Patail,Peguam Negara,walaupun beberapa banyak pendedahan salahlaku jenayah telah dibuat terhadap beliau sejak 13 tahun yang lampau.

PM Najib lebih rela memansuhkan undang-undang ISA dan Ordinan Dharurat,atau menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja Siasatan dalam kes lain.Malah beliau bersedia membenarkan suami Shahrizat dituduh di-Mahkamah dan jika terdesak, akan sanggup membiarkan Sharizat dan anak-anak mereka juga dituduh kerana bersubahat.

Namun,dalam keadaan apa pun,PM Najib tidak akan membiarkan penubuhan Tribunal, jika penubuhan tersebut adalah untuk menyiasat Gani Patail dan Musa Hassan mantan Ketua Polis Negara,khasnya berkaitan memberi atau merekacipta keterangan palsu dalam sesuatu penyiasatan atau pendakwaan.

Anwar Ibrahim pernah membuat laporan polis pada 1.7.2008, mendakwa berlaku pemalsuan keterangan dalam penyiasatan insiden mata-lebam, melibatkan Gani Patail,Musa Hassan,seorang Dr.Rahman dan ACP Mat Zain (diri saya sendiri).Laporan itu pula digembar gemburkan, disiasat oleh sepasukan khas dari Badan Pencegah Rasuah (kemudian SPRM) serta mendapat liputan media seluasnya.

Begitu pun saya menyatakan, bahawa siasatan tersebut telah diklasifikasikan sebagai kesalahan “Salahguna kuasa”dibawah Seksyen 15 Akta Pencegah Rasuah 1997, tetapi bukan kerana kesalahan “Memberi atau mereka keterangan palsu” seperti terdapat didalam Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Setahu saya, ingredients untuk membuktikan kesalahan dibawah Seksyen 15 Akta BPR adalah jauh berbeza dengan yang wajib dibuktikan untuk kesalahan ‘memberi atau mereka keterangan palsu dibawah Kanun Keseksaan.Malah Sek.15 Akta 575 itu pada pengalaman saya, tidak releven langsung dengan siasatan mereka keterangan palsu.

Saya telah dipanggil sekurangnya 5 kali memberi keterangan kes ini, selain daripada pemeriksaan dilakukan dikediaman saya pada 4.7.2008 dimana pihak BPR mengambil beberapa banyak dokumen berkaitan siasatan ini. Saya ada menyuarakan pendapat saya kepada pegawai penyiasat kes, mengenai salah arahtuju siasatan dan menunjukkan dokumen-dokumen mana yang patut difokuskan, jika mengikut pengalaman saya.

Selepas itu,seorang pegawai perakam baru diarahkan untuk merakamkan semula percakapan saya dibawah seksyen 112 Kanun Prosidur Jenayah(CPC).Itupun untuk siasatan dibawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan, yang juga lari serta tidak memenuhi ingredient dakwaan mereka keterangan palsu, seperti terdapat dibawah seksyen 192 KK.

Saya tidak mempersoalkan kemampuan dan kecekapan BPR/SPRM menjalankan siasatan dalam kes-kes rasuah dan salahguna kuasa dibawah Akta mereka.Dalam siasatan ini mereka lebih mahir dari polis.Namun dalam kes-kes di-bawah Kanun Keseksaan pula, mereka harus akui bahawa itu adalah bread and butter polis.

Contoh terbaik dan terkini ialah; apabila satu pengaduan berkaitan pecah amanah jenayah (CBT) dibuat terhadap keluarga Shahrizat Jalil berhubung skandal NFC.Pihak SPRM sendiri yang menghantar kes itu kepada pihak polis dengan mengakui kes CBT dibawah Kanun Keseksaan, bukan bidang mereka.

Sepatutnya Gani Patail dan Musa Hassan sendiri yang menasihatkan pihak BPR bahawa penyiasatan mereka tidak teratur jika mereka berdua tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan,dan tidak menunggu orang pencen seperti saya untuk melakukannya.

Hakikatnya,Gani Patail dan Musa Hassan,Dr.Rahman serta termasuk juga saya sendiri tidak pernah, diulangkan tidak pernah, disiasat kerana dakwaan merekacipta keterangan palsu, mengikut keperluan seksyen 192 Kanun Keseksaan.

‘Whitewashing exercise’.

Alasan bahawa polis tidak boleh menyiasat kes yang melibatkan Ketua Polis Negara sendiri adalah mengarut.Dalam kes mata-lebam 1998,saya cuma berpangkat ACP ketika dilantik menyiasat kes melibatkan KPN sendiri dengan dua orang pembantu berpangkat ASP sahaja.

Kami mampu menyiasat without fear or favour, serta mengemukakan cadangan yang telus dan betul,hanya untuk dilengahkan dan dimanipulasikan, selain daripada beberapa keterangan dipalsukan oleh Gani Patail dan Allahyarham Peguam Negara ketika itu,dengan dipermudahkan oleh Musa Hassan.

Saya mengulangi kenyataan yang pernah saya buat menerusi beberapa surat terbuka saya,bahawa perlantikkan Panel Bebas oleh Peguam Cara Negara (SG),dan membersihkan Gani Patail dan Musa Hassan menerusi Parlimen adalah satu whitewashing exercise sahaja.

Kandungan Kenyataan Menteri (Ministerial Statement) yang panjang lebar dibacakan oleh YB Menteri di-Jabatan Perdana Menteri dalam bulan Disember 2010,adalah mengelirukan.

Kenyataan Menteri menegaskan Dr.Rahman dan saya, bukan sabjek penyiasatan SPRM mengesahkan bahawa siasatan menyeluruh tidak dijalankan, kerana kami berdua turut dinamakan sebagai saspek bersama Gani Patail dan Musa Hassan dalam laporan polis yang telah dibuat itu.Jika siasatan tidak meliputi Dr.Rahman dan saya, bermakna siasatan tidak lengkap.

Saya tidak meletakkan kesalahan kepada YB Nazri Aziz, kerana beliau sekadar membacakan sahaja laporan yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara, yang berada dibawah kawalan dan arahan Gani Patail.Tambahan pula YB Nazri Aziz belum menjadi ‘Menteri Undang-Undang’ ketika Panel Bebas dilantik dan membuat keputusan membersihkan Gani Patail dan Musa Hassan berdua.

Jika Gani Patail sanggup menggunakan beberapa laporan palsu dalam RCI mata-lebam yang beliau sedar akan dipersembahkan kepada SPB Yang Di-Pertuan Agong,maka apatah lagi untuk sekadar menipu Jemaah Menteri dan rakyat biasa.

Itu pun dijangka, Kerajaan akan berkeras mempertahan Gani Patail dan Musa Hassan bersih daripada salahlaku jenayah seperti yang diumumkan .Walaupun begitu,hakikatnya ialah;bahawa kedua mereka hanya dibersihkan bagi kesalahan ‘salahguna kuasa’ dibawah Akta BPR sahaja dan tidak bagi dakwaan kesalahan lain.

Saya menekankan; Gani Patail,Musa Hassan,Dr.Rahman dan termasuk diri saya sendiri, belum boleh dibersihkan daripada dakwaan kesalahan mereka keterangan palsu dalam penyiasatan insiden mata-lebam 1998 oleh kerana TIDAK ADA penyiasatan yang dilakukan menurut Seksyen 192 Kanun Keseksaan.Oleh itu, status Gani Patail dan Musa Hassan masih lagi sebagai saspek-saspek utama,sama dengan Dr.Rahman dan Mat Zain.

PM DIRAMALKAN TIDAK AKAN MENASIHATKAN YDP AGONG MENUBUHKAN TRIBUNAL.

Menurut Perlembagaan Persekutuan,hanya Perdana Menteri seorang sahaja yang boleh membuat representasi kepada YDP Agong, untuk menubuhkan suatu Tribunal yang mengandungi Ahli-Ahli sepertimana yang ditetapkan, bagi mengadili tingkahlaku seorang Peguam Negara,sepertimana perbekalan Artikel 145(6) dibaca bersama Artikel 125(3) Perlembagaan.

PM tidak perlu mendapat kelulusan Parlimen atau dari Jemaah Menteri atau apa-apa Order to Investigate atau Sanction to Prosecute daripada Peguam Negara, untuk melaksanakan kuasa ini.Pada pendapat saya, Parlimen atau mana-mana Menteri pun tidak boleh menjawab bagi pihak PM berkaitan Tribunal kerana mengikut Perlembagaan, kuasa menasihatkan YDP Agong untuk menubuhkan Tribunal adalah hak ‘exclusive’ PM seorang diri.

Dari segi pembuktian salahlaku memalsukan keterangan seperti yang didakwa,telahpun berada dalam pengetahuan dan simpanan PM Najib sejak 19.2.2009, ketika beliau masih lagi seorang Timbalan Perdana Menteri.Soal menjustifikasikan tindakan PM tidak timbul.Diharap YAB PM telah dinasihatkan beliau boleh dikaitkan dengan salahlaku jenayah, jika terus menyembunyikan salahlaku jenayah sesaorang.

Saya menekankan, dengan bukti-bukti yang terdapat dalam kertas siasatan insiden mata-lebam dan dokumen-dokumen dalam Laporan Suruhanjaya Di-Raja siasatan insiden sama,saya pasti 100%, Tribunal jika ditubuhkan, akan mendapati dakwaan terhadap Gani Patail kerana kesalahan mereka beberapa keterangan palsu, adalah benar dan betul.

Pada pendapat saya,kemampuan untuk membuktikan bahawa Gani Patail dan pengsubahatan Musa Hassan dalam memalsukan beberapa keterangan dan penggunaannya dalam prosiding-prosiding kehakiman terhadap Anwar Ibrahim, merupakan perkara yang sangat dibimbangi oleh PM Najib sendiri dan Kerajaan keseluruhannya.

Mungkin atas kebimbangan inilah, PM Najib dan Kerajaan sedaya upaya, akan melindungi Gani Patail dan Musa Hassan daripada dibawa kehadapan mana-mana juga prosiding kehakiman, jika terma rujukkannya, adalah untuk menyiasat kesalahan membuat atau merekacipta atau memberi keterangan palsu dalam penyiasatan atau pendakwaan, khususnya jika melibatkan Anwar.

FAKTOR ANWAR IBRAHIM.

Saya percaya umum dapat menyimpulkan,bahawa apabila Gani Patail dan Musa Hassan dibuktikan telah memalsukan beberapa keterangan dan menggunakan dalam perbicaraan, sehingga menyebabkan Anwar Ibrahim disabitkan kesalahan dan dihukum penjara, maka sekaligus dan dengan sendirinya, membuktikan bahawa memang benar Anwar telah teraniaya selama ini.

Apabila ini berlaku,bukan sahaja Gani Patail dan Musa Hassan akan berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman penjara selama tempoh berjumlah sehingga 21 tahun,malahan kredibiliti Kerajaan akan musnah sama sekali.

Apa pun keadaannya,PM Najib dan Kerajaan tidak boleh terus melindungi Gani Patail dan Musa Hassan.Keterangan untuk mensabitkan mereka dengan kesalahan merekacipta keterangan-keterangan palsu,seperti yang sedia ada dalam tangan PM sendiri, serta lain-lain yang telah didedahkan, adalah terlalu kukuh untuk dicabar.Malah lebih konklusif dari DNA.Saya tekankan bahawa mereka berdua tidak ada defense.

KEADILAN AWAM.

Kesalahan membuat atau memberi keterangan-keterangan palsu seperti yang dilakukan oleh Gani Patail dan Musa Hassan, bukan kesalahan terhadap mana-mana individu persaorangan. Kesalahan yang mereka lakukan adalah terhadap Keadilan Awam itu sendiri dan Negara.

Saya menegaskan bahawa mereka berdua yang memilih untuk melakukan kesalahan-kesalahan jenayah itu secara sengaja, dengan kemahuan dan untuk kepentingan dan faedah diri mereka sendiri.Mereka tidak boleh mengaitkan mana-mana pihak ketiga atau mana-mana pemimpin Negara dahulu atau sekarang dalam tindakan mereka.

Saya sendiri yang telah menyampaikan pesanan dan arahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohammed, secara lisan dan bertulis kepada Peguam Negara dan Gani Patail persendirian, serta pucuk pimpinan PDRM ketika itu, bahawa beliau(Tun Mahathir) tidak mahu sebarang ‘cover-up’ dilakukan oleh mana-mana pihak yang mengendalikan kes siasatan melibatkan Anwar Ibrahim.

Selain itu,saya telah memberi amaran lisan dan bertulis kepada Gani Patail , bahawa jika beliau terus menggunakan khidmat Dr.Rahman Yusof sedemikian itu,akan timbul ‘complications’ dikemudian hari kelak.Namun Gani Patail tidak menghiraukan amaran itu dan terus melakukan apa yang telah berlaku.

KESIMPULAN.

Saya mengambil tanggung jawab atas kebenaran segala fakta yang terkandung dalam surat ini.Saya sedar akan risiko dan konsekuennya, sekiranya terbukti kenyataan-kenyataan saya adalah tidak benar atau palsu.

Sepertimana juga orang lain,saya juga mempunyai hak untuk diberi pendengaran yang adil dan membersihkan diri saya dari dakwaan serious mereka keterangan palsu yang dinamakan bersama Gani Patail,Musa Hassan dan Dr.Rahman dalam siasatan insiden mata-lebam seperti yang diadukan oleh Anwar Ibrahim pada 1.7.2008 itu.

Lebih-lebih lagi sebagai seorang Islam,saya sedar,saya tahu dan saya melihat dengan mata dan kepala saya sendiri, bahawa dakwaan yang dilontarkan terhadap Gani dan Musa seperti yang dilaporkan itu, adalah benar dan betul.

Saya bersedia memberikan keterangan ‘no holds barred’ secara bersumpah dihadapan Tribunal bila dan jika dibentuk,supaya tidak ada sebarang keraguan lagi dalam perkara ini,untuk membolehkan Negara mengorak langkah kehadapan, tanpa terbantut dengan karenah Gani Patail dan Musa Hassan lagi.

Tidak salah bagi saya untuk meminta diri saya sendiri disiasat kerana dakwaan mereka keterangan palsu ketika menjadi Ketua Penyiasat insiden mata-lebam 1998,memandangkan Parlimen sendiri mengesahkan saya bukan sabjek penyiasatan SPRM dan tidak boleh dibersihkan daripada dakwaan tersebut, sedangkan pesalah-pesalah tegar yang sebenar telah dibersihkan pula.

Sebaiknya jika Gani Patail dan Musa Hassan dapat berpadu tenaga, untuk meminta PM membenarkan Tribunal dibentuk supaya kemelot ini dapat diselesaikan once and for all,daripada terus dibiarkan membelenggu rakyat.

Kini saya serahkan kepada kebijaksanaan YAB Perdana Menteri untuk membuat sesuatu keputusan yang betul,adil dan saksama, bersandarkan kepada peraturan Undang-Undang; sepertimana rayuan bertulis saya kepada beliau pada 19.2.2009.

Yang salah itu tetap salah,yang benar itu kita katakan benar.

Salam sejahtera.
Mat Zain Ibrahim.
16.03.2012.

Salinan:

YAB Dato Seri Najib bin Tun Abdul Razak,
Perdana Menteri,
Pejabat Perdana Menteri Malaysia,
Putrajaya.
najib@pmo.gov.my

http://azmieyusoff.blogspot.com/2012/03/surat-terbuka-salahlaku-gani-patail.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular