Saturday, June 11, 2011

Padah tayang video lucah


AYER KEROH - Seorang pemandu bas ekspres yang cuba merogol penumpangnya selepas menayangkan video lucah Isnin lalu dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Tertuduh, P Kanapathy, 38, yang mengaku bersalah kerana menayangkan filem lucah itu dihukum maksimum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Hukuman dijatuhkan Hakim, Zaharah Hussain selepas mendengar rayuan, hujan dan meneliti fakta kes yang disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Akmalhana Mohammed. 

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menunjukkan secara awam gambaran beberapa Video Cekera Padat (VCD) lucah bagi maksud menawarkan atau mencuba melakukan sesuatu perbuatan salah terhadap seorang wanita warga Indonesia. 

Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh yang menetap di Kampung Tehel, Bemban, Jasin melakukan kesalahan itu di dalam bas Melor Interline semasa dalam perjalanan antara Tol Sungai Besi hingga ke Jalan Bemban, Jasin kira-kira jam 8.15 malam pada 6 Jun 2011. 

Atas kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika rayuan memohon mahkamah memberikan hukuman ringan dengan alasan dia perlu menyara seorang isteri yang tidak bekerja dan empat orang anak berumur antara 4 hingga 8 tahun. 

Akmalhana, yang mendengar rayuan tertuduh meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius. 

“Tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang ketika itu seorang diri pada waktu malam malah macam-macam boleh berlaku,” katanya. 

Tertuduh, yang turut berhadapan pertuduhan cuba merogol bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati cuba merogol wanita yang sama di dalam bas Melor Interline di tepi Jalan Bukit Kajang ke Tehel kira-kira jam 10.45 malam pada hari yang sama. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan. 

Zaharah kemudian menetapkan 13 Julai sebagai tarikh bicara bagi pertuduhan tersebut. - SH


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular