Thursday, June 9, 2011

'Meriam bersejarah' Melaka Pun Kena SAMUN..


7 Rejab 1432H. [MOD] -

Besar kemungkinan angkara 'penyamun besi buruk' sehingga menyebabkan 10 buah roda besi yang dipasang pada lima replika meriam terletak di lokasi bersejarah Bukit Senjuang di Melaka didapati hilang.

Kejadian itu disedari kakitangan pembersihan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pagi kelmarin ketika sedang melakukan tugas harian.

Kesal dengan kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Md Yunos Hussin berkata, kehilangan barangan terbabit mempunyai nilai sejarah dan dianggap harta berharga untuk negara.

"Sepatutnya kita semua menjaganya dan bertanggungjawab memastikan khazanah milik negara terus terpelihara untuk tatapan generasi akan datang.

"Saya berharap siasatan dapat dilakukan dan pihak yang bertanggungjawab dapat dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika meninjau di kawasan Bukit Senjuang hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Khamis Abas dan Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komuniti MBMB, Md Derus Tompang.
Besi pagar dipotong

Sementara itu, di pihak kerajaan tempatan, menurut Md Yunos, telah mengambil beberapa langkah perlu termasuk memasang kemudahan lampu awam, menjaga kebersihan dan keceriaan di ke semua kawasan serta tempat-tempat bersejarah.

"Semua ini, kita laksanakan bagi memastikan semua tempat-tempat terbabit sentiasa ceria dan bersih bagi menarik minat kedatangan pengunjung khususnya pelancong.

"Justeru, kita ingin mencadangkan kepada pihak Jabatan Warisan Negara dan Perzim supaya menempatkan pengawal keselamatan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

"Dalam masa yang sama roda yang hilang akan diganti roda baru dan serupa dengan roda asal sebelum ini," katanya.

Dalam pada itu, Md Yunos turut mengesahkan beberapa kemudahan lain di situ juga telah dirosakkan pihak terlibat seperti besi pagar yang dipotong manakala sebahagiannya telah diketuk.

Khamis ketika diminta mengulas mengenai kejadian itu memaklumkan, replika meriam terbabit diletakkan di Bukit Senjuang sejak lebih 30 tahun lalu.

"Replika meriam ini adalah hampir menyamai rupa meriam asal yang pernah digunakan penjajah Belanda bermula tahun 1641.

"Semua ini adalah di bawah Jabatan Warisan dan kami sudah memaklumkan kepada mereka agar membuat satu laporan polis berhubung kejadian," katanya.

Malaysiakini/-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular