Friday, May 20, 2011

Lindungi Utusan, Kerajaan Tak Beretika


Kegagalan kerajaan mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia apabila menyiarkan laporan-laporan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, menunjukkan bahawa kerajaan sendiri tidak beretika dalam melaksanakan undang-undang sedia ada.

Penasihat Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Abdul Jalil Ali berkata demikian dalam forum bertajuk ‘Ke arah media yang lebih beretika’ anjuran Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), di Auditorium Majlis Peguam, semalam.

“Tidak ada ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang, saya ambil contoh baru-baru ini Utusan menyiarkan berita mengenai sensitiviti agama. Tapi sampai ke hari ini tiada ada apa-apa tindakan diambil ke atas akhbar dan blogger tersebut.

“Etika telah dilanggar, adakah kerana surat khabar Umno, maka ia akan dibiarkan? Kita tidak tahu sama ada blogger ada autoriti atau kredibiliti sehingga akhbar itu memuatkan berita tersebut di muka hadapan. Kerajaan juga tidak beretika dalam isu ini,” tegasnya. 

Antara panel yang turut diundang mengupas tajuk forum tersebut ialah pensyarah kewartawanan, Sharaad Kutan dan felo Asian Public Intellectual, Wong Chin Huat.

Abdul Jalil yang pernah menyertai Utusan Melayu sejak 1974 itu berkata, etika kewartawanan yang rosak berpunca daripada sikap berat sebelah kerajaan sendiri yang terlalu berlembut dengan media yang dikuasai parti pemerintah itu.

“Kerajaan tidak akan mengenakan undang-undang kalau yang hendak dikenakan undang-undang itu melibatkan orang dia sendiri, tapi jika akhbar lain yang buat mengenai berita itu, saya pasti akhbar itu akan diharamkan,” ujarnya.

Malah beliau percaya, ketua-ketua editor media arus perdana lain akan dipanggil dalam tempoh terdekat sahaja bagi menjelaskan kedudukan sebenar laporan mereka jika ianya menyimpang daripada apa yang diinginkan kerajaan tetapi tidak terhadap Utusan Malaysia.

“Kerajaan perlu ada komitmen yang tinggi menegakkan undang-undang. Selagi kerajaan bermain dengan undang-undang, kita tidak akan jadi apa-apa,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menegaskan sesetengah isu sensitif yang terlalu banyak dimainkan media arus perdana sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada kehadiran pemimpin politik yang tidak bertanggungjawab.

“Contohnya isu interlok adalah isu biasa yang tidak patut dijadikan isu perkauman yang begitu hebat kerana ia sama seperti karya-karya sastera yang lain.

“Saya bagi contoh, sekiranya ada karya sastera yang menggunakan istilah Pak Pandir yang membodohkan orang Melayu, saya tidak akan mengambil tindakan seperti yang dilakukan sesetengah pihak berkenaan novel Interlok tempoh hari.

“Kerana ada dua tiga orang politik yang sengaja memainkan isu ini, orang politik itu yang sepatutnya dihukum,” ujarnya lagi. -tvsnews
Media dinasihat buat tapisan sendiri

"Mansuhkan dahulu undang-undang berkaitan media," kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, ketika merujuk cadangan penubuhan Majlis Media.

KUALA LUMPUR: Penasihat Eksekutif Editorial akhbar Sinar Harian Abdul Jalil Ali menasihati pengamal media dan kewartawanan mempraktikkan tapisan kendiri semasa melaporkan berita dan mengelak dari menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

Beliau berkata demikian di dalam sesi forum bertajuk ‘Ke Arah Media Yang Lebih Beretika’ anjuran Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam dan Pusat Media Bebas (CIJ) di auditorium Majlis Peguam di sini semalam.

Pensyarah-aktivis Wong Chin Huat dan pensyarah kanan-penulis kolum Sharaad Kuttan turut berucap dalam forum itu.

Sehubungan itu Abdul Jalil turut menentang penubuhan Majlis Media yang bertujuan untuk mengawalselia kebebasan dan tindak tanduk para wartawan.

“Mansuhkan dahulu undang-undang berkaitan dengan media selepas itu kita boleh adakan Majlis Media kerana Majlis Media juga akan berfungsi seperti undang-undang sedia ada,” kata Abdul Jalil, yang memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan di Utusan Melayu lebih 30 tahun lalu.

Undang-undang yang dimaksudkannya merangkumi 16 akta termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan sebagainya.

Beliau turut memberikan pandangan berhubung laporan Utusan Malaysia bertajuk ‘Kristian agama rasmi?’ yang disiarkan dua minggu lepas.

“Dari sudut etika laporan tersebut tidak munasabah. Sumber yang dipetik ialah dari blog yang tiada kredibiliti tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak kerajaan terhadap akhbar tersebut. Adakah ia begitu kerana Utusan Malaysia akhbar Umno?”

Mengulas lanjut beliau berkata permit surat khabar beliau pernah ditarik balik semasa era Reformasi hanya kerana ditafsir kerajaan sebagai akhbar pro-pembangkang.

Dalam perkembangan berkaitan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata bahawa media cetak belum bersedia untuk mengamalkan tapisan kendiri.

“Kita memerlukan undang-undang kerana ia membolehkan kita membetulkan perkara tertentu untuk disesuaikan dengan masa dan kematangan media dan rakyat.

“Isu pokok ialah perpaduan dan keselamatan rakyat Malaysia,” kata Hishammuddin seperti dilapor akhbar The Malay Mail. -FMT

Popout

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular