Tuesday, August 13, 2013

Kajian Merdeka Center sahkan dakwaan Pakatan sebelum ini

Kajian Merdeka Center yang mendedahkan Barisan Nasional tidak mungkin boleh membentuk kerajaan jika bukan kerana undi pos dan undi awal tidak mengejutkan Pakatan Rakyat.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli mendedahkan PR juga telah membuat analisis sendiri dan keputusannya adalah hampir sama.

"Kita tahu tentang ini. Kajian kami menunjukkan sekurang-kurangnya 30 kerusi parlimen dimenangi BN kerana undi pos dan undi awal," kata Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau memberitahu kerajaan BN tidak boleh menafikan faktor kemenangan mereka hanya bergantung kepada undi awal dan pos yang banyak memberi kelebihan kepada mereka.

Kajian dari Merdeka Center mendedahkan dua menteri kabinet MIC, Datuk Seri S Subramaniam (Segamat) dan Datuk Seri G. Palanivel (Cameron Highlands) akan kalah kerusi parlimen tanpa undi awal dan pos.

Ini termasuk dengan beberapa kerusi di negeri Johor dan Wilayah Persekutuan juga akan jatuh pada PR

BN hanya bergantung pada undi awal dan pos saja untuk menang di 22 kerusi parlimen, jika tidak BN hanya akan menang 111 kerusi saja iaitu sama dengan jumlah kerusi yang dimenangi PR.

"Tiada apa yang boleh diterangkan kenapa BN mendapat lebih 80% dari undi awal dan pos. Ia amat pasti dan seolah-olah seperti situasi komedi kartun," kata Rafizi.

Zairil Khir Johari (gambar), anggota parlimen DAP berkata pula, kajian tersebut membuktikan kerajaan BN tidak lagi berkuasa, hanya mendapat manfaat dari dua undi tersebut.

"BN bukan saja tidak mendapat undi majoriti, tetapi mereka akan kalah sekiranya tiada undi awal dan pos," katanya.

Kedua-duanya menegaskan PR sentiasa membuat bantahan agar kedua-dua jenis undi itu dimansuhkan kerana ia boleh memberi peluang kepada ketidaktelusan dalam pengundian.

"Kedua undi tersebut mempunyai sejarah terbabit dengan penipuan," kata Zairil, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Rafizi merujuk pada laporan polis yang dibuat oleh agen pengira undi selepas pilihanraya lalu yang mendakwa berlakunya penyelewangan dalam proses pengiraan undi awal dan pos.

"Isunya ialah peti undi yang ditinggalkan dan dikunci oleh polis dan pengawasan dilakukan oleh mereka dan Suruhanjaya Pilihanraya. Kami tidak melihat peti itu selama lima hari, " katanya yang menuduh BN telah mengeksploitasi undi tersebut.

Agen pengira undi PKR di Melaka, Abu Hussin Tamby turut mendakwa terdapat tujuh atau lapan individu yang memakai baju suruhanjaya di tempat pengiraan undi.

Memetik dari laporan polis yang dibuatnya pada 2 Mei, peti undi bagi undi awal dibawa dari pusat mengundi balai polis Lubok China di Ibu pejabat polis Alor Gajah 30 April lepas.

Ini bertentangan dengan undang-undang SPR yang menetapkan undi awal dan pos hanya akan dikira pada 5 Mai.

Dalam kes yang berlainan di Gerik, agen pengira undi PKR Shairi Md Tajuddin mendakwa bahawa beg undi pos dari pusat mengundi Pengkalan Hulu tidak sampai ke pusat pengiraan undi pada tarikh 5 Mei dan menyalahkah SPR tentang kelewatan tersebut.

"Saya percaya ia sengaja dilakukan oleh SPR bagi tujuan penyelewengan bagi memastikan kemenangan Umno dan BN di kerusi parlimen Gerik dan kerusi negeri Pengkalan Hulu," memetik dari laporan tersebut.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Saifuddin Abdullah turut bersetuju kemenangan yang diperoleh dari undi awal dan pos bukan satu yang boleh dibanggakan.

Saifuddin yang kalah di kerusi parlimen Temerloh kepada calon PAS Nasruddin Hassan dengan 1,007 majoriti undi berkata amat penting bagi BN untuk mengambil perhatian mengenai bentuk undi yang didedahkan oleh Merdeka Center.

"Saya percaya kajian dari Merdeka Center adalah perkara yang perlu diambil perhatian. Ia adalah benar dan kita perlu mempelajari dari situ," katanya.

Presiden bersama Bersih Datuk Ambiga Sreenevasan berkata kajian yang mendedahkan bentuk undi ini disahkan pemerhati pilihanraya. Bersih percaya SPR telah mengecewakan rakyat.

"Kami fikir perlu ada bantahan terbuka dalam respon kepada kajian ini," katanya.

Menurut Ambiga laporan tersebut amat berkecamuk terutama dalam penambahan bilangan pengundi pos dan kategorinya yang diperluaskan, sambil menambah Bersih akan membantah sistem undi pos dan mahu bilangannya dikurangkan.

Terdahulu SPR, menyatakan terdapat sekurang-kurangnya 372,000 pengundi awal dan pos. Ini termasuk pegawai penguatkuasa, pekerja SPR dan media.

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular