Friday, August 16, 2013

Sudah 100 hari selepas PRU-13. Amacam?

SEMALAM genap 100 hari selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-13. Penantian sejak kuasa beralih tangan daripada bapa mentua Khairy Jamaluddin Abu Bakar kepada suami Rosmah Mansor secara rasminya sudah berakhir. Namun seakan masih ada sesuatu yang tidak terlepas dan sedang menekan rongga dada.

Seperti berjimak tetapi tidak juga inzal. Itu analogi yang tepat. Terasa bagai digantung tak bertali. Macam enjin mati di tengah lebuh raya.

Meski sudah satu minggu menyambut Aidilfitri dan bermaaf-maafan, masih ada dosa yang tidak terampun dan barangkali tidak pernah diampun. Dosa membiarkan United Malays National Organisation terus mendominasi ruang Dewan Rakyat, walaupun koalisi parti Melayu itu dengan komponen Barisan Nasional (BN) sekadar menerima undi popular minoriti 5 Mei lalu.

Barangkali atas dosa itu maka Tuhan memberikan bala bertimpa-timpa dengan rupa berita tragedi dan lelucon tak tentu hala yang menggambarkan betapa sakit dan tidak terubatnya masyarakat Malaysia; yang sampai sekarang masih tidak ketemu penawar bagi membetulkan struktur ekoposialnya yang begitu pincang.

Ramadhan yang lalu, serta bulan sebelumnya sejurus selepas pilihan raya, ditambah beberapa hari dalam Syawal menuju kiraan genap 100 hari PRU-13; mungkin bisa dilihat sebagai masa paling menduga dalam sejarah masyarakat Malaysia.

Belum pernah lagi rasanya segala macam drama boleh berhimpun dalam beberapa minggu secara bertimpa-timpa dan melampau sehingga kita sering kali menepuk dahi dan seraya menggeleng kepala dengan perkhabaran seharian.

Semua orang pastinya masih akan terus menggeleng kepala, tersengih seketika dan mengerut dahi memikirkan pelbagai kejadian pelik sejak sebulan lalu, yang pastinya memberi banyak pengajaran, termasuk supaya tidak merakam aksi membasuh kaki tangan anjing dan menyambut hari raya bersama haiwan terbabit; atau mengambil gambar bersama hidangan Bak Kut Teh sebagai lauk berbuka puasa, menyertai pertandingan ratu cantik, atau mengikut ajaran Syiah. Ini semua tidak boleh belaka.

Kita juga pastinya tidak lupa dengan kisah air oren berkarbonat serta serunding yang dibacakan al-Quran yang dijual secara komersil, pada saat umat Islam sibuk menunaikan ibadah puasa hatta terdapat dakwaan bahawa ada pihak yang menyuruh murid sekolahnya supaya makan di bilik perslinan meski kantin sekolah tidak terusik.

Ini semua terangkum dalam sejarah sebagai perkara yang buat kita runsing dan risau. Termasuk yang terbaru kejadian penggunaan surau sebagai tempat ‘ibadah’ penganut Buddha. Semua ini pun masih tidak cukup sehingga perlu juga ada beberapa kes tembakan, pembunuhan dan pengeboman melibatkan peniaga nasi kukus; demi melengkapkan naratif drama Malaysia pasca 100 hari pilihan raya.

Ya, sila hela nafas lega. Sekurang-kurangnya Malaysia masih aman(?)

Aman lah sangat.

Namun ini semua pun masih tidak dapat mencapahkan fokus kita daripada isu yang lebih besar berkait politik negara yang sehingga kini tidak selesai. Ini ditambah dengan tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap DAP yang sehingga hari ini masih menanti apa ratio decidendi pihak ROS yang kelihatan seolah-olah memerintah pemilihan semula secara sesuka hati.

Sebagai agensi di bawah tadbir Kementerian Dalam Negeri, ini pastinya menambah kepada sakit kepala Zahid Hamidi yang sejak mengambil alih portfolio itu daripada sepupu Perdana Menteri kelihatan begitu ganyut dan sembab. Begitu tertekan sekali beliau sehingga logiknya juga terkesan hatta menganggarkan 2,600 tahanan Ordinan Darurat yang dibebaskan pada 2011 sudah berjaya mengkader anak buah baru sehingga mencipta bala tentera penjenayah berjumlah 260,000 orang.

Ini gila. Ramainya penjenayah. Kenapa tak tangkap mereka ini? Apakah pasukan keselamatan begitu mandul dan tidak punya kelengkapan untuk memerangi jenayah berat dan sekadar mampu membawa buku nota dan kamera untuk merakam percakapan politisi Pakatan Rakyat sahaja? Pastilah tidak. Lagikan polis trafik pun bawa senjata api.

Seperti yang saya katakan ini semua bala dan pembalasan hasil dosa kita membiarkan puak yang tidak sepatutnya untuk kekal berkuasa di Putrajaya.

Kalau lah 5 Mei dulu anda semua berjaya meyakinkan pengundi bahawa UMNO dan juak-juaknya itu mesti dibuang dan digantikan dengan Pakatan Rakyat, mungkin harga minyak sudah turun, harga ayam tidak melambung di musim perayaan, dan lebuh raya tidak bersesak-sesak meski menerima bayaran tol yang lumayan. Tapi ini andaian saya sajalah.

Dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang ke ibu kota pagi Isnin lalu saya melihat begitu kotor sekali tepian lebuh raya ditaburi sampah dan beg plastik hasil perkelahan pengguna lebuh raya yang terkandas dalam kesesakan dan akhirnya berkeputusan untuk berhenti saja di tepi jalan, makan dan lelap mata buat seketika.

Ini pun kalau larat difikir betul-betul, akan membawa kepada hamburan caci maki buat pihak yang berkuasa juga.

ekonomi-pertumbuhan-121218bHamburan caci maki menjadi kebiasaan umat ini sehari-hari, dek kerana rasa tidak senang kepada situasi ekonomi dan kemaslahatan masyarakat yang tidak terjaga. Pasti hampir keseluruhannya kini menyesal memilih BN, yang jelas kelihatan masih terpinga-pinga dengan manifesto dan janji yang masih di awangan dan belum cecah bumi nyata.

Unjuran ekonomi negara yang dicadangkan agensi global Fitch Ratings turut tidak membantu. Menurut agensi itu, keterhutangan kerajaan Persekutuan yang meningkat sehingga 53.3% daripada KDNK pada penghujung 2012 meningkat berbanding 51.6% pada hujung 2011 dan 39.8% pada penghujung 2008.

Kata mereka lagi defisit belanjawan kerajaan juga kian melebar sehingga 4.7% daripada KDNK pada 2012 berbanding 3.8% pada 2011; dengan peningkatan 19% dalam perbelanjaan untuk saraan awam dalam tahun sebelum berlangsungnya pilihan raya umum. Begitu pun Malaysia yang dipimpin BN ini masih ego dan yakin kononnya ia mampu menurunkan defisit sehingga sekadar 3% pada 2015.

Ini semua dalam keadaan negara berbelanja lebih RM7 juta untuk dakwat kekal yang rupa-rupanya pewarna makanan yang tidak pun kekal.

Ya, tepuklah dahi lagi. Inilah dia negara anda yang diamanahkan kepada rejim pimpinan UMNO.

Dalam jangka masa lebih kurang dua minggu menuju Hari Merdeka yang ke-56, kita pasti kian letih mengenangkan keadaan poket dan akaun yang semakin mengering serta masa depan yang kian kelam. Mahu salahkan sesiapa? Lihatlah ke dalam cermin dan di situ letaknya pesalah pertama. – Roketkini.com

Lagi Berita Di SINI

Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular