Mesir berdarah: PM digesa kemuka bantahan rasmi
SHAH ALAM - Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa meminta supaya Duta Mesir di Malaysia dipanggil untuk bertemu dengan kerajaan ekoran kekejaman yang dilakukan negara Arab itu terhadap rakyatnya.
Beliau yang dipetik dari laman Twitter miliknya berkata, pertemuan itu bagi menunjukkan bantahan rasmi negara terhadap kekejaman negara itu terhadap rakyatnya.
"Datuk Seri, saya cadangkan kerajaan panggil Duta Mesir di KL (Kuala Lumpur) dan minta penjelasan dan nyatakan bantahan rasmi Malaysia," tulisnya.
Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini melalui akaun Twitternya turut menyatakan kekesalan di atas insiden berdarah di Mesir.
Najib menggesa semua pihak untuk menghentikan permusuhan segera dan mencari penyelesaian melalui pendamaian.
Najib: Henti segera pertumpahan darah di Mesir
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak berkuasa Mesir menjalankan sekatan dengan serta merta bagi menghentikan keganasan yang berlaku di negara itu.
"Kami terganggu dengan laporan keganasan terhadap penunjuk perasaan di Mesir dan menyeru pihak berkuasa untuk menjalankan sekatan.
"Mana-mana korban awam adalah amat dikesali. Juteru kami menggesa semua pihak untuk menghentikan permusuhan dengan serta-merta dan bekerja ke arah penyelesaian yang aman," kata Najib dalam tweet beliau.
Dalam insiden semalam, puluhan orang terbunuh apabila polis menggempur dua kem penunjuk perasaan utama penyokong bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi.
Menurut koresponden agensi berita AFP di Rabaa al-Adawiya, kebanyakan mangsa terbunuh akibat terkena tembakan.
Jumlah mangsa korban itu tidak melibatkan kanak-kanak dan wanita.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin bagaimanapun mendakwa, lebih 250 penyokong Mursi terkorban dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, semua khidmat keretapi ke bandar Kaherah juga telah dihentikan dan jalan menuju ke kawasan kem berhampiran Masjid Rabaa ditutup.
Ikhwanul Muslimin mendakwa langkah itu diambil kerajaan bagi menghalang lebih ramai pengikut pertubuhan itu bergerak masuk ke bandar Kaherah.
Pihak pemerintahan semalam turut mengisytiharkan darurat apabila sekurang-kurangnya 95 orang terbunuh selepas pasukan anggota keselamatan bertindak ke atas para penentang yang mahukan Mursi kembali berkuasa.
Anggota pasukan keselamatan telah melepaskan tembakan dalam pertembungan dengan para penunjuk perasaan yang sekali gus mencetuskan keadaan huru-hara di ibu negara dan kota-kota lain di Mesir.
Suasana semakin tidak menentu dalam kalangan populasi 84 juta orang tersebut - antara penyokong Mursi dan kumpulan yang menentang pentadbirannya.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment