Bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi atau lebih dikenali dengan Pak Lah hari ini tampil memberi penjelasan mengenai buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia yang telah menjadi kontroversi dan perbualan hangat sejak beberapa hari yang lalu. Bahkan disebabkan berita mengenai buku itu keluar sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, ada yang bercakap mengenainya lebih banyak berbanding topik-topik lain ketika berjumpa kawan-kawan atau saudara-mara di Hari Raya kali ini.
Dalam penjelasannya, Pak Lah memberitahu bahawa buku ini bukan ditulis, ditaja atau diminta olehnya untuk diterbitkan. Sebagaimana yang sedia dimaklumkan, buku tersebut adalah koleksi tulisan beberapa penulis yang terdiri daripada ahli akademik, ahli politik, tokoh pembangkang, bekas menteri dan sebagainya mengenai era kepimpinan Pak Lah daripada 2003 hingga 2009.
Pak Lah juga menjelaskan beliau tidak terlibat sama sekali dalam urusan menjemput tokoh pembangkang, Nurul Izzah Anwar untuk melancarkan buku itu yang dijadualkan pada 30 Ogos ini di Singapura. Malah, bekas Perdana Menteri itu juga menyatakan beliau tidak bercadang menghadirinya kerana tidak mahu dilihat bersekongkol dengan pihak pembangkang menentang UMNO.
Secara umumnya penjelasan Pak Lah ini boleh diterima kerana seperti yang diketahui beliau bukanlah orang yang mempunyai karektor sedemikian walaupun beliau antara pemimpin UMNO yang keras hati serta berani menyanggah Mahathir dan cuba lari dari bayang-bayang Mahathir ketika memegang jawatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, apa yang menjadi topik hangat dalam buku itu ialah berhubung isi kandungan wawancara dengan Pak Lah yang mengandungi beberapa kritikan, penjelasan dan huraian mengenai hubungannya dengan Mahathir. Penjelasan Pak Lah dalam wawancara itu, walaupun atas nama keterbukaan, tidak dapat dielakkan menyingkap kembali bibit-bibit perbalahan antara keduanya sebelum ini.
Jika selama ini, ramai yang menyangka Pak Lah seorang yang lemah dan mudah mengalah, hakikatnya beliau tidaklah demikian wataknya. Keras hati dan keinginannya untuk menjawab, setelah Mahathir dilihat tidak henti-henti menyerang dan mengaitkannya dengan pelbagai punca masalah dalam UMNO dan negara, jelas memperlihatkan wataknya yang sedia melawan itu.
Cuma, cara beliau melawannya berbeza dengan cara Mahathir menyerang.
Dalam penjelasannya hari ini, Pak Lah cuma menafi beliau menulis, menaja atau meminta buku mengenainya itu diterbitkan. Itu saja. Tetapi beliau sama-sekali tidak menafikan wawancara yang diberikannya sebagaimana yang disiarkan dalam buku itu, apatah lagi kandungan wawancaranya yang menyerang dan mengkritik Mahathir.
Dalam erti kata lain, Pak Lah tidak menafikan dakwaannya bahawa negara akan muflis jika beliau mengikut cara pentadbiran Mahathir yang suka berbelanja sedangkan defisit kian meningkat, beliau juga tidak menafikan Mahathir seorang pemimpin penuh kontradiksi, beliau juga tidak menafikan rasa kecewa yang diluahkannya mengenai Mahathir yang menyerangnya berkaitan masalah tidur yang dihadapi sedangkan perkara itu sudah dijelaskannya kepada Mahathir secara peribadi, Pak Lah turut tidak menafikan bahawa Mahathir antara punca kemerosotan BN dalam pilihanraya 2008 berbanding 2004 dan berbagai lagi isu yang dijawabnya dalam wawancara itu tidak dinafikan sama-sekali ketulenannya.
Hakikatnya, Pak Lah hanya menafikan penglibatannya dengan penerbitan buku itu untuk menyerang Mahathir dan UMNO tetapi sama-sekali tidak menafikan tentang isi kandungan buku itu atau kekecewaan dan rasa kejelekannya dengan perangai Mahathir yang selalu berubah-ubah sebagaimana yang dijelaskan dan mudah difahami melalui wawancaranya itu.
Dengan ini, walaupun sudah ada penjelasan daripada Pak Lah sendiri, ia tidak mengubah isi kandungan buku itu. Ia tidak juga bermakna Mahathir sudah boleh berbaik-baik dengan Pak Lah dan melupakan saja mengenai buku itu. Penjelasan Pak Lah juga tidak mengandungi pujian terhadap Mahathir. Persepsinya terhadap Mahathir kekal seperti apa yang dirasainya dulu. Penjelasannya hanya mengenai hubungannya dengan penerbit.
Bahkan melalui buku ini, mungkin ada yang rasa tidak puas dengan penjelasan Pak Lah yang mungkin tidak terlalu detail dan menyeluruh mengenai UMNO, era pentadbirannya, mengenai Mahathir dan sebagainya dan mahukan Pak Lah menulis memoirnya sendiri pula selepas ini. Orangramai mungkin ingin tahu lebih banyak perkara yang diketahui oleh Pak Lah mengenai Mahathir yang tidak diketahui oleh orang lain.
Tetapi yang pastinya, walaupun dengan adanya penafian Pak Lah ini, jawapan daripada Mahathir mengenai perkara-perkara yang disebut secara langsung dan melibatkan dirinya sebagaimana yang cakapkan oleh Pak Lah sendiri dalam wawancaranya itu, ia tetap memerlukan jawapan balas daripada Mahathir.
Mahathir tetap tidak boleh berdiam diri atau melupakan saja serangan-serangan Pak Lah terhadapnya itu. Malahan apabila beberapa hari lalu Mahathir menangguhkan untuk memberi reaksi mengenai buku ini atas alasan belum membaca dan mahu mengkajinya terlebih dahulu, ia sebenarnya semakin meningkatkan keinginan orangramai untuk mengetahui apa pula jawapan bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu.
Dalam beberapa hari ini, reaksi Mahathir adalah paling ditunggu-tunggu kerana tidak ada sesiapa yang percaya Mahathir akan terdiam oleh serangan Pak Lah ini. (SH 12/08/2013)
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment