Rampasan kuasa oleh tentera Mesir pada Julai lalu kini menyebabkan lebih banyak protes rakyat terhadap rejim tentera. Kesan rampasan kuasa ini semakin hari semakin ramai memakan nyawa rakyat, baik di pihak penyokong bekas presiden Mohammed Morsi mahu pun pihak yang memprotes kepimpinannya.
Terbaru, menurut laporan Kementerian Kesihatan Mesir seramai 525 penduduk awam terbunuh dan 3700 orang lagi mengalami kecederaan dalam satu siri bantahan terhadap rejim tentera yang mana bantahan itu menjadi medan keganasan tentera di Kaherah.Kini pihak berkuasa di Mesir mengisytiharkan perintah darurat selama sebulan di seluruh negara. Ini adalah tanda aras yang sangat membimbangkan selepas rampasan kuasa.
Kami Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), atas nama kemanusiaa dan semangat demokrasi, dengan tegas mengutuk keganasan pihak tentera Mesir ke atas pendemostran yang semuanya adalah rakyat awam Mesir. Kami menyeru kepada pihak bertanggungjawab untuk menghentikan keganasan terhadap penduduk awam dan segera menyiasat kejadian ini demi menegakkan keamanan dan keadilan.
Kita percaya rusuhan dan keganasan termasuk rampasan kuasa terhadap kerajaan yang dilantik secara sah di sisi undang-undang bukanlah cara terbaik dan demokratik. Atas sebab itu maka kita juga mendesak kerajaan sementara Mesir untuk segera membebaskan presiden Mohammed Morsi demi mententeramkan rusuhan penyokongnya serta segera melaksanakan proses perundingan yang lebih demokratik dan diplomasi.
Oleh itu, kita menyeru kerajaan, baik dari parti Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat serta pihak NGO dan rakyat Malaysia mengutuk keganasan ini serta mendesak kerajaan sementara Mesir untuk segera memulihkan keamanan serta melaksanakan proses keadilan dan pemulihan demokrasi di Mesir seberapa segera.
Kita juga mahu kerajaan Malaysia segera memindahkan penuntut kita di Mesir demi memastikan keselamatan pelajar kita. – 16 Ogos, 2013.
*Teo Kok Seong ialah Ketua DAPSY Malaysia dan juga Ahli Parlimen Rasah.
Lagi Berita Di SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
No comments:
Post a Comment