KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang gagal memanfaatkan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang diberi liputan meluas untuk menjawab dakwaan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.
Ia hanya menambahkan keyakinan dan persepsi umum terhadap kebenaran dalam segala yang dinyatakan oleh Deepak.
“Sesungguhnya, rakyat menanti respons PM dalam ucapan penggulungannya, namun sayang ianya langsung tidak disentuh oleh beliau di PAU. Jika peluang diambil untuk membuat penjelasan, sudah tentu ia didengari oleh kebanyakan rakyat kerana ucapannya diberi liputan begitu meluas,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim juga berkata perkara yang sama turut berlaku kepada Naib Presiden Umno dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang enggan menjawab tuduhan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan bahawa beliau mencampuri urusan pihak polis.
PAU kali ini, katanya terpesong tujuannya sebagai medan penting kerajaan bagi merangka dasar membela nasib bangsa Melayu dan perancangan masa depan negara, samada ekonomi, sosial dan agama.
“Persidangan kali ini diadakan seolah-olah sebagai pra-kempen PRU13 dengan menghentam PR dan medan Umno berkempen sesama ahli Umno,” kata Tuan Ibrahim.
Perwakilan Umno, kata beliau, langsung tidak memikirkan kepentingan negara kerana tidak berani menyoal isu Scorpene, kegagalan Najib menunaikan janji untuk menurunkan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dalam pilihanraya negeri dua tahun lepas, isu royalti minyak, penghapusan kabotaj, isu tanah di Sabah dan Sarawak dan isu keselamatan negara.
“Lebih penting lagi, PM juga tidak menggunakan peluang untuk mengisytihar perang terhadap budaya rasuah yang melanda kerajaan pimpinannya.
“Namun bagi Umno, semua ini bukan isu besar ibarat kata sebilangan perwakilan Umno bahawa skandal RM40 juta yang dikaitkan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman melibatkan jumlah yang sedikit dan remeh untuk diperjelaskan,” sindir Tuan Ibrahim.
Kelemahan Umno dalam memerangi rasuah, kata beliau jelas terpapar di PAU Wanita Umno di mana ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang terpalit dengan isu National Feedlot Corporation masih disanjung kerana ketiadaan tokoh lain dalam sayap tersebut.
“Yang ada di PAU hanyalah kebimbangan PM terhadap sabotaj dalaman parti bilamana akan ada yang tidak bersetuju apabila mereka tidak dicalonkan. Kebimbangan PM menampakan bahawa isu cah keting sesama Umno bukan lagi cerita di sebalik tabir, tetapi ugutan secara terang-terangan,” terang beliau.
Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut mempersoalkan mengapa ada ugutan kepada rakyat dan serangan khusus kepada PR di PAU tatkala Najib mengisytiharkan bahawa boleh menguasai majoriti besar dalam pilihanraya umum ke 13.
“Ternyata mereka sedar keadaan semasa adalah sebaliknya dan tindakan (serangan terhadap PR) itu adalah sekadar reaksi panik kebimbangan terhadap perubahan yang bakal berlaku,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menyarankan agar seluruh jentera parti meningkatkan gerakerja berfokus kepada sasaran dan mengemaskini seluruh jentera parti di semua peringkat.
“Medium terbaik ialah bertemu pengundi secara terus dan berhemah bagi menjelaskan segala kekeliruan yang sengaja ditimbulkan oleh media perdana. Kita perlu menembusi setiap rumah pengundi dengan maklumat yang jelas dan membina keyakinan mereka.
“Paluan gendang perang telah dibunyi. Jangan ada yang menghabiskan masa menimbulkan polemik dalaman. Jaga perangkap musuh dan elakkan diri daripada menjadi jurucakap bagi pihak musuh,” nasihat beliau. Harakah
"Segala pertempuran ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya" .. Klik SINI
Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI
Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
No comments:
Post a Comment