PRU-13: AGM Umno dan melihat bahasa orang politik
ANALISIS, 8 Dis — Kita sering mendengar ungkapan “bahasa jiwa bangsa”. Tetapi mungkin kita tidak memahami apa maksud ungkapan tersebut. Ungkapan tersebut mungkin bermaksud, bahasa yang digunakan oleh seseorang melambangkan perangai atau sikap seseorang penuturnya, atau juga mungkin bermaksud bahasa yang digunakan oleh seseorang yang dapat mencerminkan apa bangsa orang tersebut.
Walau apa pun tafsiran terhadap ungkapan “bahasa jiwa bangsa” ini, ungkapan ini semestinya ada hubungan dengan keperibadian sesuatu bangsa atau kelompok manusia.
Sejarah tidak merakamkan dalam ketamadunannya bagaimana sikap kelompok manusia yang menghadapi kesulitan dan kekalahan menggunakan bahasa atau memilih perkataan yang diucapkannya.
Tiada pemberitaan atau huraian tentang bahasa yang digunakan oleh penumpang kapal Titanik ketika mereka sedang gawat menghadapi saat-saat kapal tersebut hendak karam. Adakah penumpang kapal tersebut menggunakan bahasa atau perkataan yang kesat dan kurang sopan ketika menghadapi kegawatan tersebut.
Begitu juga tentang Perang Salib yang berlaku di antara Richard Berhati Singa dengan Salahudin Al Ayubi. Adakah Richard mengeluarkan kata-kata yang kesat terhadap Salahudin dan tentera Islam ketika Richard dan tentera pimpinannya menghadapi saat-saat kekalahan di tangan Salahudin dan tentera Islam? Apa yang dicatatkan oleh sejarah ialah Salahudin menghantar doktor peribadinya kepada Richard apabila beliau mengetahui Richard mengalami kecederaan akibat pertempuran dengan Salahudin dan tentera Islam.
Juga tiada catatan sejarah adakah tentera Musyrikin Mekah mengeluarkan kata-kata yang kesat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Islam apabila mereka (tentera Musyrikin) dikalahkan oleh Rasulullah dalam Perang Badar. Walaupun kita semua sedia maklum tentera Musyrikin sangat marah dan berdendam dengan Rasulullah dalam peperangan tersebut.
Berhubung dengan perkara di atas dengan melihat kepada Perhimpunan Agung Umno yang baru lalu terdapat beberapa perkataan yang digunakan dalam perhimpunan tersebut yang diucapkan untuk melambangkan ungkapan “bahasa jiwa bangsa” mereka. Antara perkataan tersebut ialah bapok, pondan dan bangsat.
Penggunaan ketiga-tiga perkataan ini melambangkan sikap marah, benci dan juga penghinaan kepada pihak yang ditujukan perkataan tersebut. Persoalannya ialah adakah perkataan tersebut wajar diucapkan dalam perhimpunan yang kononnya bertujuan untuk berjihad kepada agama dan negara? Amat menyedihkan juga perkataan yang diucapkan itu seolah-olah mendapat sokongan dari golongan sahabat karib orang yang mengucapkannya.
Pahlawan wanita pertubuhan tersebut juga kerana ingin menunjukkan “kejantanannya” ingin pula mengangkat kain. Kalau seorang anak dara pun tidak manis untuk “memperagakan” apa yang ada di dalam kainnya, inikan pula seorang nenek menuturkan perkataan demikian.
Persoalan yang boleh ditimbulkan di sini ialah apakah perkataan-perkataan tersebut boleh diterima, dan adalah sesuatu yang amat malang dan agak rendah budi pekerti orang yang menuturkannya dan menerima pertuturan tersebut sebagai sesuatu yang wajar diucapkan dan didengar.
Jika penumpang kapal Titanik, Richard Berhati Singa dan kaum Musyrikin Mekah tidak menuturkan perkataan-perkataan yang buruk seumpama di atas, amatlah rendah budi pekerti orang yang menuturkan tersebut di dalam perhimpunan.
Adakah perkataan-perkataan tersebut dituturkan juga adalah kerana melambangkan kecemasan dan terdesaknya pertubuhan tersebut ke atas apa yang akan berlaku kepada mereka. Hanya orang yang akan tenggelam sahaja tahu bagaimana cemasnya mereka untuk tenggelam. Begitu juga hanya orang yang akan kalah dalam pertempuran juga yang tahu betapa malangnya jika mereka kalah.
Adakah perkataan-perkataan yang kurang sopan yang diucapkan oleh pertubuhan tersebut melambangkan betapa cemasnya mereka menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang akan menjelang tiba tidak lama lagi?
Perlakuan mereka tersebut mungkin akan mengingatkan kita pada pantun Melayu yang berbunyi:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
No comments:
Post a Comment