Thursday, December 8, 2011

Alahai, Utusan mahu tawan Selangor…

8 DISEMBER – Kolum “Cuit” dalam lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, semalam telah sekali lagi menggunakan Datuk Dr Hasan Ali sebagai bahan untuk mencetuskan perbalahan antara komponen Pakatan Rakyat di Selangor.

Apa yang Utusan mahu sampaikan adalah memaparkan pemimpin PAS dan Exco kerajaan negeri Selangor itu sebagai api dalam sekam bagi kerajaan Pakatan. Bagi Utusan, Hasan adalah satu-satunya “wakil” UMNO dalam kerajaan negeri Selangor.

Isinya sama ada sahaja, iaitu mengadu domba, membangkitkan rasa curiga antara kaum, dan mengulangi pendirian ketuanan satu kaum.

Mungkin Utusan mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan Selangor atau mungkin ia ingin menghancurkan karier politik Hasan Ali.

Yang tersurat dan tersirat

Yang lebih penting untuk difahami adalah cara penggunaan bahasa propaganda murahan yang digunakan penulis kolum itu yang mempunyai makna-makna tersirat.

Tulisan itu hanya bertujuan membangkitkan kemarahan orang Melayu kerana bagi Utusan, DAP itu bermaksud kaum Cina, seolah-olah apa sahaja yang “Cina” itu buruk untuk negara.

* “Kerajaan Selangor pimpinan DAP”

Penulis kolum tersebut mungkin menganggap minda dan intelek orang Melayu terlalu rendah dan boleh dipermainkan sehingga sanggup memutarbelitkan realiti politik Selangor kononnya kerajaan negeri dipimpin oleh DAP. Hakikatnya adalah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Di Selangor, PKR yang mempunyai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri, DAP 13 kerusi dan PAS 8 kerusi. Bagi pentadbiran negeri pula, selain Menteri Besar dari PKR, 10 anggota exco diwakili oleh empat Adun PKR dan masing-masing tiga dari PAS dan DAP.

Mungkin bagi penulis kolum tersebut, orang Melayu tidak faham matematik sehingga boleh diputar pemahaman dengan mengatakan kerajaan negeri Selangor, di mana PKR yang mempunyai kerusi majoriti dan memegang jawatan Menteri Besar, adalah dipimpin oleh DAP.

* “Melayu itu ialah Islam dan Islam itu ialah Melayu”

Rata-rata orang menerima kenyataan “Melayu itu ialah Islam” dengan maksud bahawa memang orang Melayu beragama Islam tetapi sukar untuk menelan hujah penulis kolum tersebut yang mengatakan “Islam itu adalah Melayu”.

Bagaimana pula dengan ribuan kaum Cina, India, Iban, Kadazandusun dan lain-lain yang bukan Melayu tetapi lahir sebagai orang Islam atau yang telah memeluk Islam? Apakah Utusan telah menurunkan darjat umat Islam bukan Melayu ke tangga warga kelas dua? Adakah mereka kurang Islamik daripada orang Melayu?

Lebih teruk lagi, penulis kolum berkenaan cuba memperkukuhkan alasan dangkal itu dengan mukadimah “perlu diingat dalam sistem berperlembagaan di tanah air…”. Di mana Perkara atau Seksyen atau Jadual dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan “Islam itu ialah Melayu”?

* “Selangor perlu diselamatkan!”

…daripada apa? Daripada dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor? Daripada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan? Daripada usaha membasmi pembaziran serta mengurangkan hutang kerajaan negeri?

Penulis kolum Utusan itu yang jelas dengan perkaumannya yang begitu tebal, seolah-olah mengajak orang Melayu menentang kebaikan dan menyokong kebatilan.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 memuji kerajaan negeri Selangor pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bukan sahaja telah mengumpul dana negeri, malah amat baik prestasinya membayar balik pinjaman hutang kerajaan persekutuan.

Sekali lagi, Utusan tidak mahu orang Melayu sedar bahawa prestasi pentadbiran bersih dan telus Pakatan Rakyat bukan sahaja lebih baik dari UMNO-BN, malah lebih ramai rakyat dari pelbagai kaum menerima faedah secara langsung berbanding dengan parti-parti yang mementingkan keluarga dan kroni masing-masing.

Apa yang sebenarnya berlaku di Selangor

Setelah lebih tiga tahun menjaga pentadbiran negeri, kerajaan Pakatan Selangor antara lain, telah membolehkan hampir 30,000 orang menerima bantuan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan 16,000 warga emas mendapat bantuan Skim Mesra Usia Emas.

Kerajaan Pakatan juga berjaya menyelesaikan 23 projek perumahan terbengkalai melibatkan 9,000 unit rumah dan sedang dalam proses menyelesaikan tujuh lagi projek dengan 4,000 unit rumah. Malah, isu perumahan Bukit Botak yang gagal diselesaikan oleh kerajaan UMNO-BN dahulu, telah pun ditangani dengan baik di mana 1,400 orang peneroka bandar mendapat faedah.

Peruntukan adil sebanyak RM16 juta setahun diberi oleh kerajaan Pakatan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), sekolah Cina dan sekolah Tamil. Bagi pendidikan Islam, gaji guru-guru KAFA juga dinaikkan kepada RM1,300 sebulan.

Adakah Selangor perlu diselamatkan daripada segala usaha murni dan program kebajikan serta pembangunan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri Pakatan?

Atau adakah perlu Selangor perlu diselamatkan supaya rakyat boleh kembali ke zaman penyalahgunaan kuasa serta pembaziran wang rakyat sehinggakan mantan Menteri Besar UMNO dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan rasuah yang melibatkan tanah dan mahligai mewah?

Bukan sahaja rakyat jelata, malah, ramai ahli UMNO semakin kecewa dengan gelagat kepimpinan parti mereka yang semakin meluas jurang di antara yang di atas dan yang di bawah, di antara yang mendapat habuan dan yang terkebil mata melihat kroni-kroni besar tersenyum lebar. – Roketkini.com

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular