Monday, December 5, 2011

Kamu boleh impikan untuk tawan Selangor, tapi kami akan tawan Putrajaya! + Video

Pakatan cabar Umno mara di S'gor, ikrar tawan Putrajaya
Dis 5, 2011 Sehari selepas Umno memalu gendang perang pilihan raya semasa Perhimpunan Agung parti itu, Sabtu lalu dengan ikrar untuk merampas kembali negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, pembangkang bertindak balas dengan perhimpunan tidak kurang 5000 penyokongnya di Shah Alam.

Dengan dibarisi pemimpin kanan Pakatan, ketua pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil gelanggang dengan ikrar bahawa Pakatan tidak akan hanya mempertahankan Selangor, tetapi juga akan menawan negeri-negeri lain.

"(Perdana Menteri) Najib Razak kata beliau mahu tawan semula Selangor. Kita bagi tahunya, teruskan bermimpi mengenai Selangor dan kita akan tawan Putrajaya," kata Anwar.

Beliau turut menyentuh mengenai isu kedudukan orang Melayu yang juga disensasikan semasa perhimpunan agung Umno yang lalu.

"Adakah anda percaya bahawa Umno membela orang Melayu?

"Jika mereka mempertahankan orang Melayu, mereka tidak akan menjual tanah-tanah Melayu, kubu terakhir tanah Melayu di Kuala Lumpur, mereka (kerajaan) mahu serahkan kepada (Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri) Raja Nong Chik di bawah Akta Pembangunan Kampung Baru," katanya.

pakatan ceramah shah alam 041211 kit siangTurut hadir dan berucap ialah pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang partinya menjadi sasaran berterusan Umno sepanjang lima hari perhimpunan parti berkenaan.

"Mereka (Umno) menuduh DAP anti-Islam, adakah ini betul?" soal Lim kepada hadirin dan disambut gemuruh dengan jawapan: "Tidak!".

Lim kemudian menyenaraikan tohmahan yang dilemparkan oleh Umno kepada DAP satu persatu. Setiap kali, dakwaan khususnya membabitkan perkauman dan agama ditimbulkan, hadirin bergemuruh dengan penuh semangat dan memberikan jawapan yang sama.

Biar diperkuda daripada diperlembu
Umno sejak minggu lalu melabelkan DAP sebagai sebuah parti rasis dan menuduh parti itu cuba mendirikan sebuah republik.

pakatan ceramah shah alam 041211 anwar hadiLim kemudiannya mengulangi pendirian DAP yang menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan sistem raja berperlembagaan.

Apabila giliran, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengambil pentas, beliau juga mempertahankan serangan yang dibuat Umno terhadap parti itu. Abdul Hadi juga menimbulkan isu dakwaan penyelewengan dalam projek ternakan lembut Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

"Sudah tiba masanya buat perubahan, jangan peduli dengan tohmahan PAS diperkuda DAP, DAP diperkuda PAS.

"Umno diperlembukan. Lebih baik diperkuda daripada diperlembu kerana kuda diguna untuk perjuangan tetapi lembu untuk disembelih," katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.

Kenyataan sinis itu sebagai membidas tuduhan pimpinan Umno khususnya Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kononnya, PAS diperkuda oleh DAP.

Menurut Abdul Hadi, kerjasama PAS dalam Pakatan bersama PKR dan DAP dibuat atas dasar bersama mahu membawa keadilan dan menentang kezaliman.

Beli cincin untuk isteri

Katanya, kerjasama itu juga atas dasar mahu membina hubungan antara kaum yang lebih kuat yang gagal dilaksanakan oleh Umno BN sepanjang lebih lima dekad merdeka.

pakatan ceramah shah alam 041211 crowd"Kegagalan ini kerana Umno mendahulukan Melayu dan membelakangkan Islam.

"Perjuangan mereka pula untuk menyelamatkan diri pemimpin dengan mengapi-apikan perkauman, bukan mahu menyelamatkan negara," katanya lagi.

Selain ucapan yang menangkis serangan bertali arus Umno, Pakatan juga menyenaraikan kejayaan-kejayaan di negeri-negeri yang ditadbirnya.

"Sejak Pakatan Rakyat mengambil alih negeri Selangor, hasil telah meningkat dengan ketara.

"Adakah anda lihat Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim membeli cincin berlian untuk isterinya? Adakah anda lihat beliau membina sebuah rumah mewah seperti bekas Menteri Besar Selangor Khir Toyo?" soal Timbalan Presiden PKR Azmin Ali pula.

'Umno ibarat kereta tiada brek'

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membidas Umno kerana tidak mempedulikan suruhan dan larangan Allah SWT.

Katanya, Umno berpegang kepada dasar kebangsaan dan membelakangkan Islam dalam perjuangannya sehingga menyebabkan tidak ada kawalan dalam melakukan perkara duniawi.

pakatan ceramah shah alam 041211 nik aziz"Mukallaf ini Umno tak peduli. Kerana apa? Kerana Umno ini dasarnya kebangsaan. Agama kemudian. Jadi mana mukallaf?

“Umno sudah buang satu kerja yang ditetapkan oleh Allah bahawa tiap-tiap manusia bila akil baligh mesti buat ini, dan mesti tinggal itu.

"Dalam Umno, sebab dia singkir Islam dan ambil kebangsaan, maka tidak ada mukallaf. Sebab itu timbul rasuah, timbul dadah, pecah rumah, rompak, jual bayi, timbul macam-macam perkara kerana rakyat di bawah pemerintahan Umno sudah hilang brek. Kereta tak ada brek. Kereta lumba pun ada brek," katanya.

Menteri Besar Kelantan itu menjelaskan, brek bagi seseorang manusia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum ialah takwa kepada Allah.

Jika tiada takwa katanya, manusia akan melakukan apa sahaja yang disukainya.

"Brek ialah takwa kepada Allah. Tiap-tiap manusia Allah bekalkan dengan nafsu. Ada nafsu amarah dan nafsu-nafsu lain.

"Nafsu amarah, kerja dia turut nafsu. Apa sahaja yang nafsu nak, kena buat. Breknya apa? Tak ada.

"Sebab itu Allah suruh bertakwa. Melayu ke kamu, Cina ke, India ke, Orang Asli ke, kena bertakwa. Ini brek. Brek ini ialah bila ada rasa sayang kepada Allah.

"Mahu tidak mahu, Melayu khususnya Melayu muslim kena ingat, takwa kepada Allah ialah brek untuk mengikat nafsu amarah," katanya sambil mengingatkan, syurga dan neraka tetap wujud sama ada manusia yakin atau tidak dengan kewujudannya.

"Syurga, neraka ini bukan projek kerajaan, projek Allah," katanya lagi.

Turut hadir adalah sasterawan negara Datuk A Samad Said dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.  - Malaysiakini

Biarlah PAS 'diperkuda' dari Umno 'diperlembu' - HarakahDaily

SHAH ALAM, 4 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang secara sindiran mendakwa adalah lebih baik PAS 'diperkuda' berbanding Umno yang 'diperlembu'.

Berucap pada majlis Rapat Rakyat di Stadium Malawati di sini, malam ini beliau menjelaskan, kuda diguna untuk berjuang tetapi lembu hanya untuk disembelih.

"Sudah tiba masanya buat perubahan, jangan peduli dengan tohmahan PAS diperkuda DAP, DAP diperkuda PAS.

"Umno diperlembukan. Lebih baik diperkuda dari diperlembu kerana kuda diguna untuk perjuangan tetapi lembu untuk disembelih," katanya disambut sorakan gemuruh kira-kira 10,000 hadirin.

Ucapan sinis tersebut sebagai membidas tuduhan pimpinan Umno khususnya Perdana Menteri dan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perhimpunan Agung Umno bahawa PAS diperkuda oleh DAP.

Menjelaskan tuduhan itu, Presiden PAS itu berkata, kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP dibuat atas dasar bersama mahu membawa keadilan dan menentang kezaliman.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang berkata, ianya juga atas dasar mahu membina hubungan antara kaum yang lebih kuat yang gagal dibuat Umno BN sepanjang lebih lima dekad merdeka.

Kegagalan itu kerana Umno masih menggunakan sistem penjajah iaitu melaga-lagakan pelbagai kaum dan pada masa yang sama menolak Islam.

"Kegagalan ini kerana Umno mendahulukan Melayu dan membelakangkan Islam.

"Perjuangan mereka pula untuk menyelamatkan diri pemimpin dengan mengapi-apikan perkauman, bukan mahu menyelamatkan negara," katanya lagi.

Turut hadir dan berucap pada program malam ini adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said dan pimpinan PR Selangor termasuk Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular