KUALA LUMPUR, 6 Dis: “Adakah dengan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu dan melaungkan diri sebagai pembela bangsa itu memberi hak kepada Umno untuk melibatkan diri dalam skandal RM250 juta ‘lembu dan kondo’ melalui syarikat keluarga seorang menteri Umno?” tanya Lim Guan Eng.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah mengejutkan seluruh negara apabila memainkan sentimen perkauman terhadap orang bukan Melayu dalam ucapannya kepada Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di Shah Alam, semalam.
Najib memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya ‘jangan sesekali mereka mencuit perasaan orang Melayu dengan nak ubah apa termaktub dalam perlembagaan kita’.
Najib menekankan bahawa Umno tidak akan berkompromi walau satu inci atas kedudukan istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan hanya Umno sahaja yang boleh mempertahankan orang Melayu.
“Adakah dengan memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencuit perasaan orang Melayu itu membolehkan skandal RM13 bilion Port Klang Free Trade Zone atau pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion?” tanya Guan Eng lagi.
Menurut Setiausaha Agung DAP itu, masa sudah tiba untuk memperjuangkan aspirasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.
Katanya, DAP menolak politik diskriminasi Umno yang berkeras dengan konsep Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.
Beliau berkata, DAP juga mengecam Umno dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu.
“Kita tidak boleh membenarkan Umno merampas Perlembagaan Persekutuan untuk memecahbelahkan rakyat dengan perasaan permusuhan dan kebencian, dan juga untuk menjadikan perjuangan untuk semua rakyat Malaysia sebagai satu tindakan yang salah,” ujarnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Menurutnya, Umno selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka namun gagal menyebut bahawa Artikel 153 juga mempertahankan kepentingan-kepentingan sah komuniti-komuniti lain.
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut: Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara itu.
Dalam erti kata lain, katanya Perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan konsep ‘Malaysia dahulu’ dan bukan kemudian.
Menurutnya, minda perkauman Umno yang meletakkan kaum sebelum negara itulah menyebabkan kenapa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa kekurangan penyertaan orang bukan Melayu dalam angkatan tentera menunjukkan semangat patrotisme yang rendah.
Atau juga, katanya kenyataan hina dan bersifat perkauman seorang pengetua sekolah yang menanamkan kebencian dengan menyamakan orang India sebagai anjing dan Cina sebagai pendatang yang harus kembali ke negara Cina.
“Atau juga pegawai BTN yang memanggil orang Cina ‘mata sepet’ dan orang India pula dihina sebagai ‘si botol’ atau pemimpin-pemimpin Umno yang secara terbuka mengumumkan mereka tidak memerlukan undi orang Cina atau India,” katanya.
Justeru, beliau dalam satu kenyataan yang dikelaurkan di sini menggesa Najib harus menyelamatkan konsep 1Malaysia dengan membuat 5 komitmen penting.
Pertama, katanya mendahulukan Malaysia sebelum kaum, kedua, rakyat Malaysia berhak untuk menikmati hak asasi dan masyarakat sivil, ketiga, peluang saksama harus diberi kepada semua.
Keempat, ujarnya keluhuran undang-undang di mana yang dipentingkan adalah apa yang diketahui dan bukan siapa yang dikenali.
“Kelima, kita harus membina masyarakat yang berintegriti dan cerdik untuk mencapai ekonomi pendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan.
“Sekiranya Najib gagal, baik beliau keluarkan sahaja sijil kematian untuk 1Malaysia,” ujarnya.- Harakahdaily
No comments:
Post a Comment