Tuesday, November 1, 2011

Kerajaan Persekutuan Yang Membenarkan Atlit Israel Masuk, Bukan Selangor

SHAH ALAM, 1 November : Dakwaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Chik bahawa Kerajaan Negeri Selangor terlibat dalam kemasukkan seorang warganegara Israel ke Malaysia sebagai suatu yang palsu dan berunsur fitnah.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong menyatakan Menteri Belia dan Sukan itu tidak sepatutnya menuding jari kepada pihak lain (kerajaan Selangor).

“Sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidangkuasa Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Semalam di parlimen Shabery mendakwa Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat bertanggungjawab dalam kemasukkan warganegara Israel itu untuk perfileman siri televisyen realiti antarabangsa, “The Challenger Muay Thai.”

Mengulas lanjut, Elizabeth yang juga merupakan Adun Bukit Lanjan menegaskan bahawa Selangor tidak terlibat dalam penganjuran persaingan tersebut sama ada dari sudut pemilihan ahli sukan ataupun penerbitan siri televisyen tersebut.

“Jika kami dimaklumkan, Kerajaan Negeri Selangor pasti memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Imigresen supaya menolak kemasukkan warganegara Israel tersebut,” katanya

Elizabeth menerusi kenyataan medianya hari ini dengan jelas menegaskan Pakatan Rakyat berpendirian teguh dengan semangat setiakwan dengan rakyat Palestin sekaligus menolak sebarang hubungan diplomatik, perdagangan, budaya ataupun sukan dengan rejim Zionis-Israel.

Ini merupakan kali kedua pada tahun ini Menteri Belia dan Sukan telah membenarkan warganegara Israel memasuki Malaysia dengan pas masuk khas.

“Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan pengeluaran pas masuk khas kepada warganegara Israel sehingga negara Israel mengiktiraf kenegaraan Palestin,”katanya.

Sebagai makluman, penerbit siri tersebut merupakan pihak yang mengeluarkan program-program televisyen lain yang telah memenangi anugerah seperti “The Contender,” “The Biggest Loser Asia” dan “The Apartment.” TVS

Peninju Israel: Shabery mesti bertanggungjawab
KUALA LUMPUR, 1 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjawab serta menjelaskan bagaimana kehadiran seorang peninju dari Israel, Ilya Grad dalam Kejohanan The Challenger Muay Thai yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia, baru-baru ini.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor (gambar kecil) berkata, sedangkan sepatutnya tidak ada seorang rakyat Israel pun dibenarkan masuk ke Malaysia sebagaimana rakyat Malaysia diharamkan memasuki Israel.

Katanya, lebih mengejutkan apabila peninju itu sendiri mendakwa beliau masuk ke Malaysia dengan sokongan Menteri Belia dan Sukan Malaysia dan diberi pas khas setelah ditahan selama 25 jam di pintu masuk antara Malaysia-Thailand.

“DPPM menganggap dakwaan peninju terbabit amat berat dan melibatkan penyelewengan kuasa oleh Menteri Belia dan Sukan,” katanya kepada Harakahdaily.

Tambah beliau, jika benar dakwaan peninju tersebut, DPPM merasa kesal kerana Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak menjaga sensitiviti serta keprihatinan umat Islam atas isu Palestin.

Menurutnya, dalam keadaan seluruh umat Islam berang dan berduka di atas apa yang menimpa umat Islam di Palestin yang dibunuh serta dihalau dari bumi mereka sendiri, Menteri Belia dan Sukan sendiri meluluskan kemasukan warga Israel ke dalam Malaysia.

Beliau berkata, ia ibarat merobek luka ke dada umat Islam Malaysia yang tidak meredhai kezaliman berlaku di atas buminya.

Bagi umat Islam, tegasnya rakyat Israel adalah pencoroboh dan zalim yang telah membunuh beribu umat Islam Palestin.

“DPPM melihat jawapan balas beliau yang menyatakan kerajaan Selangor telah memberi peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kejohanan tersebut sebagai jawapan ‘escapism’ atau melepas diri semata-mata,” ujarnya.

Katanya, Kerajaan Selangor hanya meluluskan peruntukan untuk penganjuran kejohanan terbabit, sedangkan Menteri Belia dan Sukan berkuasa penuh meluluskan sesuatu kejohanan atau penglibatan mana-mana peninju dalam kejohanan tersebut.

“Beliau boleh mengharamkan penglibatan peserta yang bermasalah atau dari negara yang diharamkan masuk ke Malaysia seperti Israel.

“Mana-mana peserta yang kontroversi perlu disekat dari awal lagi agar tidak menimbulkan pertikaian,” ujarnya.

Tambahnya lagi, DPPM juga meminta Menteri Belia dan Sukan bertanggungjawab sepenuhnya di atas apa yang berlaku dan mengingatkan agar beliau menjaga hati serta sensitiviti rakyat di negara ini.

Tegasnya, jangan kerana atas semangat mahu memajukan sukan di negara ini, kedaulatan dan keharmonian negara pula tergadai. - HD

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular