KUALA LUMPUR, 31 Okt: Mahasiswa menyambut keputusan Mahkamah Rayuan hari ini berhubung Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dengan penuh kegembiraan.
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Ahmad Syazwan Muhammad Hasan (gambar) berkata, ini kerana perjuangan menentang akta zalim itu sebenarnya suatu perjuangan asasi dan cukup bermakna.
“Meletakkan keutamaan kita untuk melihat mahasiswa dibebaskan dari penjara Auku semakin menyerlah apabila Auku kini sudah tidak relevan untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Seksyen 15(5) Auku yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak mengikut perlembagaan dan mencabut kebebasan bersuara.
Menurut beliau, sememangnya Auku tidak menyokong semangat Perlembagaan Persekutuan dan bercanggah dengan hak asasi manusia untuk bersuara, berhimpun dan menyertai kumpulan bebas.
Katanya, walaupun kejayaan Auku menyekat mahasiswa berfikir dan berpartisipasi dalam isu politik negara, namun mutakhir ini melihatkan bahawa mahasiswa sudah tidak takut lagi dengan Auku.
Tambahnya, akhirnya kejayaan dicapai dengan kes 4 orang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang semesti menjadi sejarah baru dalam dunia kemahasiswaan Malaysia.
Justeru, ujarnya Gamis mengharapkan agar pihak kerajaan sekali lagi untuk menimbang supaya Auku dapat digantikan dengan akta baru yang mempunyai roh dan semangat perlembagaan dan menyunjung prinsip kebebasan bersuara dan berfikir mahasiswa.
Beliau menambah, jika ISA diharpuskan kerana deasakan ramai dan tekanan awam, maka Auku juga sama.
Menurutnya, sifat zalim dan menyekat Auku adalah serupa dan senada dengan apa yang ada dalam ISA.
“Tahniah juga diucapkan kepada 4 orang mahasiswa UKM yang berani mencabar akta ini dan perjuangan ini akan diteruskan oleh mahasiswa yang lain untuk membebaskan diri dari akta yang sudah paranoid pada hari ini,” ujarnya lagi. HD
Auku: Pemuda PAS sambut baik keputusan mahkamah
KUALA LUMPUR, 31 Okt: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 bercanggah dengan hak-hak kebebasan asasi yang dijamin di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi (gambar) berkata, Juham dari dulu lagi sentiasa berpegang teguh kepada kebebasan mahasiswa-mahasiswi untuk bersuara di mana ia adalah hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Malangnya hak-hak ini dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional kepada mahasiswa/i yang dilihat tidak sealiran dengan pemikiran mereka,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, Umno Barisan Nasional sedar bahawa mahasiswa-mahasiswi merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan kerajaan Umno Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang akan datang.
Justeru, katanya Umno Barisan Nasional cuba menyekat kuasa mahasiwa ini dengan menggunakan undang-undang kuku besi yang bernama Auku untuk menakut-nakutkan mahasiswa daripada terus menyuarakan kebenaran.
Akan tetapi, ujarnya tidak ada apa-apa tindakan pun diambil ke atas pelajar-pelajar yang menyokong mereka, malah Umno seringkali menggunakan premis kolej dan universiti untuk program-program parti.
Beliau berkata, pelaksanaan undang-undang yang double standard itu jelas sekali menunjukkan sikap jumudnya Umno Barisan Nasional dan ketidak pekaan mereka terhadap kebangkitan dan idealisme para mahasiswa-mahasiswi.
“Malah, Malaysia telah menyaksikan ramai mahasiwa/i yang menjadi mangsa kerakusan Umno Barisan Nasional yang tanpa malu berselindung di sebalik Auku untuk mengekang suara mahasiswa dengan menghukum mereka dengan menggantung daripada pengajian, dan ada yang sampai dibuang daripada universiti kerana menyuarakan perkara yang benar namun pahit untuk ditelan oleh Umno Barisan Nasional,” ujarnya.
Justeru, katanya keputusan Mahkamah Rayuan ini dilihat sebagai suatu kemenangan kepada seluruh mahasiswa mahupun graduan universiti dari dulu hingga kini yang setia dan tanpa jemu menongkah arus dalam menghadapi kerakusan Auku.
Ini, katanya membuktikan bahawa kezaliman dan keangkuhan Umno Barisan Nasional akhirnya akan rebah juga dibadai keadilan dan kebenaran yang hakiki dan penangan students power.
Beliau menambah, sebagai golongan yang terpelajar dalam masyarakat, mahasiswa-mahasiswi berhak menyuarakan apa sahaja sokongan, simpati atau bangkangan mereka terhadap mana-mana parti politik di dalam mahupun di luar negara.
Menurutnya, menghalang hak-hak asasi ini bermakna negara mengamalkan pemikiran ke belakang dan memalukan dalam suasana arus moden dunia tanpa sempadan ini.
Akhirnya, kata beliau Juham mengucapkan syabas kepada empat orang pelajar UKM tersebut dan seluruh mahasiswa-mahasiswi atas kemenangan ini.
“Juham menyeru mahasiswa-mahasiswi sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, mahasiswa-mahasiswi adalah penyambung kepimpinan negara di masa akan datang yang mana peranan dan suara mereka tidak patut dipandang ringan atau diperkecilkan oleh kerajaan.
No comments:
Post a Comment