Wednesday, November 2, 2011

Politik rempit sembrono

2 NOVEMBER – Kita sebagai anggota masyarakat menyedari kewujudan golongan anak muda yang menggunakan motosikal sebagai alat untuk melepaskan perasaan atau tekanan perasaan yang berpunca dari keadaan tempat kerja, sekolah atau keluarga.

Siapa Mat Rempit

Kita amat bersimpati kepada golongan ini yang rata-ratanya anak muda Melayu. Umumnya golongan ini bukanlah dari mereka yang berpendidikan tinggi atau keluarga mewah, sebaliknya mereka yang terkandas di peringkat sekolah menengah atau yang gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mat Rempit juga merupakan golongan dari keluarga miskin bandar dan dari keluarga luar bandar. Mereka merempit siang dan malam, selain berpunca dari tekanan hidup, majoriti mereka ini sekadar ingin berseronok dan ada pula yang sudah ketagih.

Tetapi, kita juga sedar bahawa ada segelintir dari mereka yang memang ada bakat menunggang dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pelumba profesional.

Namun, dari segi jumlah dan faktor persekitaran, maka niat itu selalunya gagal dicapai. Dilema ini mengundang pelbagai rantaian masalah yang tak kunjung selesai.

Nikmat merempit

Memulas throttle minyak dengan kelajuan yang maksimum, berserta deruman bunyi ekzos motor yang berdemping kuat akan mudah menarik perhatian orang ramai kepada gelagat mereka. Kebisingan dan kelajuan ini akan bertambah hebat apabila semua mata tertumpu melihat aksi mereka. Inilah antara perhatian yang amat diinginkan oleh para Mat Rempit.

Malah ia akan lebih seronok dan ghairah apabila ada polis yang membuat sekatan jalan raya semata-mata kerana Mat Rempit. Suasana kesesakan jalan ketika road block akan menimbulkan semacam kebanggaan di hati Mat Rempit.

Keadaan ini akan lebih teruja apabila ada adegan polis trafik mengejar Mat Rempit, dan tentunya nikmat kemuncak golongan ini tercapai apabila berjaya melepaskan diri dari sekatan polis. Inilah dunia Mat Rempit.

Mereka bukan saja berani dan mahir dengan teknik menunggang malah mereka kreatif mengubah suai motosikal. Segala jenis alat ganti semuanya mereka tahu. Pendek kata, hal motosikal di hujung jari mereka saja.

Manja menuntut perhatian

Namun sayang sekali, kreativiti ini biasanya akan berakhir seperti bakat mengubah suai mercun hari raya tanpa memahami asas fizik dan kimia, biasanya tangan dan jari yang putus, kalau pun tidak disambar maut. Lebih buruk lagi, nyawa orang lain yang tidak berdosa pula yang melayang.

Secara asasnya, golongan ini manja mahukan perhatian. Sama seperti golongan artis dan ahli politik yang amat dahagakan perhatian umum, Mat Rempit mahu masyarakat menghargai dan menghormati mereka.

Mereka juga mahu kemahiran mereka mengendalikan aksi-aksi stunt di jalan raya diiktiraf dan dipuji oleh masyarakat termasuk pihak berkuasa.

Hakikatnya, niat mereka tidak banyak beza dengan manusia lain yang mahu diberi perhatian. Tetapi, sekali lagi, niat mereka ini tidak terzahir seperti yang diharap dek kerena sikap, mentaliti dan bakat yang disalahgunakan.

Ia tidak ubah seperti anak kecil yang nakal dan ‘buas’ sehingga pecah dan rosak barangan dalam rumah semata-mata mahu menarik perhatian ibu bapa yang biasa sibuk dengan tugas seharian. Jika tidak diendahkan keluarga, ‘buas’ mereka akan dijaja di sekolah pula.

Politik rempit sembrono

Kini, kelompok-kelompok politik yang gila kuasa, korup dan amat terdesak telah mula mencari jalan untuk memanipulasi minda Mat Rempit yang hanya ketagihkan perhatian. Golongan ini telah mempergunakan Mat Rempit sebagai alat untuk menjustifikasikan tindakan politik kasar, hodoh dan jahil.

Ia merupakan gaya mainan politik keji yang baru dengan menggabungkan politik fitnah yang sudah menjadi darah daging golongan terdesak itu. Ia dinamakan sebagai politik rempit – memanipulasi minda anak muda yang gila merempit.

Inilah yang berlaku beberapa hari lalu di Pulau Pinang. Bila insan waras melihatnya, mahu tertawa pun ada, mahu menangis pun ada.

Sifat asas politik rempit ini masih sama dengan kerja merempit. Mereka sekadar mahu perhatian dengan cara yang mengundang bahaya dan kekecohan kepada masyarakat umum. Kreativiti politik jenis ini hanya untuk mahu memuaskan nafsu politik mereka.

Kononya, dengan bertindak sedemikian, mereka berharap masyarakat akan membenci kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin oleh DAP dalam gabungan Pakatan Rakyat bersama PKR dan PAS.

Niat mereka mahu masyarakat melihat kononnya Mat Rempit adalah mangsa dasar kerajaan negeri. Dengan cara yang sembrono seperti merempit juga mereka cuba mengungkap keinginan mereka dengan cara sensasi dan ‘gempak’.

Sama seperti pecutan motosikal yang memecut laju dan mengambil selekoh maut dengan gaya yang paling sembrono tanpa mempedulikan pandangan masyarakat kepada mereka sendiri.

Mungkinkah kejadian kumpulan Mat Rempit menguasai jalan raya di pusat Bandar Georgetown baru-baru ini dibayangi oleh UMNO-BN?

Seperti biasa, UMNO cepat-cepat menafikannya.

Politik rasis konspirasi siapa

Tetapi semua orang tahu kerja-kerja menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang dengan ayat-ayat dan perkataan-perkataan tertentu datangnya dari pihak mana. Fitnah zalim yang dilontarkan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang semakin menjadi-jadi sejak pilihan raya umum 2008.

Mungkinkah kumpulan Mat Rempit berkenaan mempunyai begitu banyak wang sehingga mampu menyediakan t-shirt dengan slogan “Selamatkan Pulau Pinang, LGE Rasis” serta sepanduk-sepanduk besar yang turut menuntut supaya “Selamatkan Mat Rempit” dan mahu disediakan litar lumba motosikal?

Jika golongan Mat Rempit ini benar-benar ikhlas mahukan litar lumba untuk golongan mereka, mintalah seperti mana orang lain yang inginkan sesuatu dari kerajaan negeri.

Mengapa perlu mengaitkan permintaan mereka dengan slogan yang bukan-bukan seperti ‘LGE Rasis’? Apa kaitan permintaan litar lumba dengan tuduhan ‘rasis’? Jika Pulau Pinang tiada litar lumba, maka mengapa Pulau Pinang perlu ‘diselamatkan’? Diselamatkan dari apa, dari siapa?

Adakah Pakatan Rakyat Pulau Pinang pernah berjanji dalam manifestonya untuk membina litar lumba untuk Mat Rempit atau pelumba motosikal Melayu sahaja?

Atau selepas ini Mat Rempit seluruh negara akan bermaharajalalela di jalan raya untuk menuntut perkara yang sama di negeri-negeri seperti Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan sebagainya?

Bayang-bayang UMNO-BN

Modus operandi ini sudah menceritakan dari mana gaya politik sebegini datang. Kita masih tidak lupa bagaimana demonstrasi haram yang pernah dibuat oleh beberapa pihak termasuk Senator Ezam Mohd Noor yang pernah memberi amaran mahu membakar pejabat portal media bebas kerana tidak sependapat dengannya.

Semua ini adalah gaya politik rempit yang terlalu hangit bau UMNO-BN. Tidak kira sama ada mereka mencipta kumpulan-kumpulan mi segera, hakikatnya kebanyakan mereka adalah dari parti satu kaum itu juga.

Cuma kali ini kita cukup tersinggung kerana pemimpin politik dewasa tergamak memperalat golongan Mat Rempit. Anak muda ini adalah golongan bermasalah yang perlu dibantu tetapi sebaliknya mereka diperalat oleh pemimpin kaum mereka sendiri.

Dari sudut sosial, Mat Rempit bukan punca masalah, mereka adalah tanda atau symptom kepada masalah yang lebih besar. Beberapa pandangan pakar telah dikemukakan untuk menyandarkan punca masalah itu kepada dasar-dasar perkauman kerajaan UMNO-BN yang mengakibatkan pengasingan atau alienation kumpulan remaja.

Memperalat dan mempergunakan anak muda

Apa yang semakin terserlah ialah UMNO-BN hanya tahu mengguna dan memperalat golongan muda, bakat muda, pengundi muda, tenaga muda dan segala yang ‘muda’ demi melampias politik kotor mereka.

Bukan remaja Melayu sahaja yang dipergunakan, model-model mini skirt wanita muda kaum Cina juga dijadikan wakil ke persidangan MCA baru-baru ini, atas sebab yang sama, iaitu untuk menarik perhatian masyarakat.

Sama ada UMNO menafikan atau tidak penglibatannya dalam demonstrasi Mat Rempit di Pulau Pinang, yang jelas adalah anak muda yang gila merempit telah tergolong dalam sasaran UMNO untuk dijadikan pekakas dan akhirnya, setelah cita-cita politik mereka tercapai, Mat Rempit akan sekali lagi kembali menjadi ‘kambing hitam’.

Hanya Mat Rempit sendiri mampu mengubah nasib mereka. Jika mereka berani menolak tawaran beberapa ringgit, termasuk duit minyak serta hadiah t-shirt daripada kumpulan-kumpulan pelampau kaum, Mat Rempit akan membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka benar-benar indipenden dan pantang dipergunakan oleh mana-mana pihak.

Dengan adanya sikap berani dan adanya keikhlasan hati, tidak ada kerajaan yang lokek untuk menabur dana demi kemajuan kerjaya dan hobi Mat Rempit, asalkan tidak melibatkan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Jangan dikatakan litar lumba, sekolah belajar berlumba sekali pun mungkin mampu ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat asalkan golongan Mat Rempit ini menyulam diri dengan usaha gigih, dan bukan sekadar mahu jadi jaguh jalan kampung.

Jika diri diperalat orang lain, yang rugi adalah diri sendiri. Semua Mat Rempit faham keadaan ini. – Roketkini.com


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular