Monday, October 31, 2011

Mahathir patut nasihat Petronas keluar zakat

TEMERLOH, 31 Okt: PAS mengalu-alukan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Man berkata, dalam masa yang sama Dr Mahathir perlu juga menasihat agensi-agensi korporat yang kaya di negara ini agar turut mengeluarkan zakat.

“Bayangkan tahun lalu saja keuntungan Petronas mencecah RM80 bilion. Ini bermakna jika syarikat tersebut membayar zakat nilainya hampir RM2 bilion dan banyak boleh dimanfaatkan untuk pembangunan umat Islam negara ini.

“Sebab itulah Profesor Ungku Aziz pernah berkata, jika Pertronas menunaikan zakat perniagaannya, pelajar miskin boleh ditanggung daripada pra-sekolah hingga ke universiti,” ujarnya.

Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Dr Mahathir mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam yang kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain kerana lapan asnaf yang layak menerima zakat sudah tidak wujud di kebanyakan negara kaya, selain kutipan juga melebihi keperluan mereka yang ada.

Beliau juga percaya jika sebuah tabung diwujudkan bagi mengumpul sumbangan zakat daripada negara kaya, akan ada wang yang mencukupi bagi membina infrastruktur membolehkan negara miskin membangun dan menghasilkan peluang kerja menerusi pelaburan dalam industri berasaskan buruh.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam di Langkawi, kelmarin.

Menurut Tuan Ibrahim, banyak lagi syarikat korporat selain daripada Tabung Haji yang tidak menunaikan zakat dan mungkin disebabkan tidak mendapat pelepasan cukai perniagaan oleh kerajaan.

“Selain daripada Petronas banyak lagi gergasi korporat seperti Felda dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jika membayar zakat wang tersebut boleh digunakan bagi meningkatkan sosial dan kebajikan rakyat.

“Cuma kerajaan kena laksanakan satu kaedah kepada syarikat korporat ini yang membayar zakat dikecualikan daripada cukai,” tambahnya.

Mengenai pertanyaan Dr Mahathir bolehkah wang zakat digunakan untuk pembangunan infrastruktur, Tuan Ibrahim berpendapat ia dibolehkan melalui asnaf fi sabilillah kerana takrifnya yang luas.

Namun begitu beliau berharap jawapan sebenar boleh didapatkan daripada hujah-hujah ulamak melalui kajian dan penelitian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular