Tuesday, June 14, 2011

Syura (Pemesyuaratan) Mengikut Pandangan Islam


Syura adalah suatu tuntutan kepada umat Islam. Kepentingan syura dalam menyelesaikan masalah adalah begitu penting, kepada sebuah pertubuhan, organisasi, lebih-lebih lagi pentadbiran. Ia juga dianggap sebagai salah satu cabang feqh yang perlu difahami dalam menghadapi cabaran dan tuntutan semasa. Syura adalah asas dan kaedah tertinggi dalam melaksanakan kewajipan agama sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Perintah syura yang diwahyukan kepada Baginda S.A.W sebagai suatu penghormatan kepada akal fikiran insan berpandukan wahyu Allah.
Konsep Syura dalam Islam
Syura adalah merupakan suatu konsep perbincangan yang diletakkan bagi menyelesaikan sesuatu masalah dalam pentadbiran umat Islam. Pentingnya sistem  syura dilaksanakan adalah untuk mengelakkan perselisihan pendapat, pandangan mahupun emosi dalam rangka untuk menentukan titik persefahaman dan permuafakatan di antara semua pihak dalam perkara-perkara yang tidak mempunyai nas secara qat’ie yang melibatkan umat Islam. Firman Allah S.W.T bermaksud : “Janganlah  kamu berbantah-bantah nanti kamu lemah (kalah) serta  hilang kekuatanmu  dan hendaklah kamu berhati sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar” (Al Anfal:46).

Keadilan di dalam Islam adalah keadilan yang bersifat tetap (thabitah) yang melibatkan keseluruhan masyarakat dalam meraikan maslahah serta meletakkan dasar persamaan dalam menentukan hak dan kewajipan serta kebebasan untuk beri’tikad dan melaksanakan amal ibadat.

Ruang lingkup syura adalah  berlegar di bawah wilayah Khalifah. Ia disifatkan sebagai suatu bentuk dzoman (jaminan) terhadap dua dasar utama pentadbiran yang dibawa oleh mana-mana kerajaan Islam yang memerintah. Dasar ini adalah untuk melaksanakan hukum-hakam Islam dan menjaga maslahah ummah. Dua dasar inilah  yang dijamin  melalui perlaksanaan sistem syura yang juga merupakan sebuah badan muhasabah terhadap pemerintah. [1]

Di sana perlulah kita membezakan  di antara sistem syura di dalam Islam dengan sistem-sistem lain ciptaan manusia. Perlulah ditegaskan bahawa Islam meletakkan kuasa perundangan tertinggi (siyadah at tasyri'eyyah) kepada syara' dan bukanlah kepada mana-mana pertubuhan atau individu-individu tertentu. Firman Allah S.W.T bermaksud : “Tidak, demi tuhanmu mereka tidak juga beriman  kepada engkau sehingga mereka mengangkat engkau menjadi hakim untuk mengurus perselisihan antara mereka, kemudian mereka tidak memperolehi keberatan dalam hatinya menerima perutusan engkau dan mereka terima sebenar-benarnya” (An Nisa':65).

Definisi Syura
Dr. Muhammad Abdullah Khatib menjelaskan di dalam suatu risalahnya berhubung dengan definisi syura. Beliau menjelaskan bahawa; “Suatu bentuk kerjasama dalam bertukar fikiran dan pandangan  terhadap perkara-perkara yang melibatkan kemaslahatan muslimin berdasarkan kaedah yang sesuai dalam mencari titik permuafakatan dan kebenaran serta ketaatan kepada Allah SWT”. [2]

Perbincangan (syura) adalah berkisar mengenai perkara-perkara mubah yang berkaitan dengan hal ehwal Muslimin di mana berlakunya perbahasan serta munaqasyah dari pelbagai pandangan yang di wakili oleh pelbagai pihak.

Pandangan Ulama Mengenai Syura
Merujuk kepada firman Allah S.W.T, Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud : "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (para sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya".

Kata Imam An Nasafi : Syura adalah suatu bentuk perbincangan yang membawa kepada kebenaran dan ketepatan dalam menyelesaikan masalah.

Kata Imam Hassan Basri : Inilah akhlak mulia baginda SAW dan inilah jua caraku dan begitu jualah  kepada seluruh kepimpinan umat Islam.

Kata pengarang tafsir Fi Zilal Al Quran, Syed Qutb : Ayat - bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan tertentu (peperangan dan hal ehwal keduniaan) - menunjukkan kaedah asas yang diletakkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan. Adapun bentuk syura mahupun perlaksanaannya adalah bergantung kepada kesesuaian umat, zaman mahupun perubahan semasa. Namun apa yang pentingnya adalah perlaksanaan kepada sistem syura tersebut kerana ia merupakan salah satu juzuk daripada pemerintahan Islam yang dituntut syara’.

Signifikasi Syura dalam Islam
Perlaksanaan syura adalah merupakan suatu anugerah Allah S.W.T terhadap akal manusia. Dr.Abdul Halim Mahmud pernah menjelaskan berhubung dengan masalah akal dan Al Quran, bagaimana seringkali disebutkan perintah berhubung dengan tuntutan at tafkir (menggunakan akal fikiran) dan at tadabbur sebagai suatu medium yang  perlu diguna pakai dan ditafsirkan mengikut perintah syara’.[3]

Badan syura terbentuk sebagai suatu badan yang khusus dalam menentukan sesuatu dasar. Di atas dasar inilah maka sewajibnya wujud suatu badan muraqabah (pengawasan) dalam mengawasi perjalanan majlis syura supaya tidak berlakunya kecacatan terhadap ketidakseimbangan institusi ini. Beberapa masalah  perlulah dikawal selia seumpama dalam masalah perlucutan jawatan khalifah sekiranya berlaku pengabaian terhadap tugas khalifah.

Hukuman hanyalah boleh dijatuhkan kepada khalifah setelah berlakunya kesan terhadap ummah melalui masalah yang ditimbulkan oleh khalifah. Justeru, wujudnya badan muraqabah ini adalah untuk menghentikan penyelewengan dalam pentadbiran khalifah sebagai menolak kemafsadatan terhadap ummah. [4]
Dalam sistem parlimen, perlaksanaan terhadap dasar dan kuasa ketua negara adalah dilaksanakan melalui majlis eksekutif yang menjadi perantara terhadap perlaksanaan dasar yang dibincangkan di parlimen. Majlis inilah secara langsungnya yang menjalankan tugas muraqabah terhadap dasar-dasar yang yang diputuskan oleh kerajaan yang memerintah melalui wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat.

Sesetengah individu ada kalanya tersilap dalam memberikan tafsiran dengan mengatakan bahawa syura adalah terkesan daripada perundangan ciptaan manusia dalam beberapa perkara. Di sini perlulah dijelaskan kembali beberapa perbezaan  di antara  syura daripada sistem selainnya.

1). Syura adalah istilah yang diguna pakai dalam Islam seumpama kalimah solat, iman, zakat dan sebagainya. Allah S.W.T telah menjelaskan di dalam suatu surah mengenai kefardhuan syura di dalam surah As Syura:39 yang bermaksud : “Dan (untuk) orang-orang yang memperkenankan seruan kepada Tuhannya dan mendirikan solat dan mengurus komuniti mereka dengan bermesyuarat sesama mereka dan mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang kami berikan kepada mereka”.

Istilah ini tidak sah untuk ditafsirkan selain daripada apa yang dijelaskan oleh Al Quran mengenai tafsiran kalimah syura dan sebagaimana yang dijelaskan oleh sunnah Baginda S.A.W.

2). Kaedah syura bukanlah bersifat tetap. Sebaliknya ia ditinggalkan untuk perlaksanaan berdasarkan kesesuaian masa dan tempat. Ia adalah merupakan beberapa juzuk penting yang perlu dilaksanakan dalam pentadbiran Islam.

3). Ahli syura adalah terdiri di kalangan mereka yang mendekatkan diri kepada Allah dan bersifat adil. Mereka melaksanakannya sebagai suatu ibadat dengan tujuan menolak kemafsadatan dan mengambil kemaslahatan seterusnya meletakkan keazaman kepada Allah SWT terhadap keputusan yang diambil dalam usaha mengelakkan perpecahan.

"Apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah" (Ali Imran:159)

4). Matlamat dan tujuan syura hanyalah untuk mencari kebenaran dan keredhaan Allah serta mengelakkan diri daripada tuntutan hawa nafsu, ta'asub pandangan mahu pun mempertahankan kepentingan diri sendiri dan jamaah tertentu .

Demokrasi Barat
Asas perundangan  demokrasi ialah meletakkan kekuasaan dan undang-undang tertinggi (sultah as siyasah) negara kepada rakyat. Suara majoriti rakyat adalah merupakan kuasa perundangan tertinggi dalam sesebuah negara bagi menentukan hala tuju pentadbiran terhadap rakyat secara umumnya. [5]

Tertegaknya undang-undang demokrasi ini disebabkan penolakan terhadap rahib-rahib gereja yang  terlampau ekstrim dalam menentukan kewajipan dan wasiat yang berbentuk khurafat serta pendustaan di atas nama pemerintahan dan kebenaraan Ilahi. Maka penolakan inilah yang membawa kepada tercetusnya pergolakan seterusnya dibangunkan kekuasaan rakyat dengan menentukan kebenaran mutlak adalah milik rakyat sepenuhnya.

Inilah falsafah demokrasi yang berbeza daripada Islam, iaitu kekuasaan mutlak diberikan kepada suara majoriti rakyat. Inilah yang ditegaskan oleh Dr.Solah Sowi bahawa meletakkan kekuasaan tertinggi di tangan rakyat adalah merupakan perkara yang bertentangan dengan agama Islam dan juga agama-agama samawi yang lain. Semenjak Nabi Adam A.S. diciptakan sehinggalah lahirnya Nabi Muhammad SAW tiadalah kuasa tertinggi dalam pentadbiran melainkan syariat Allah  sahaja.

Allah telah menyatakan di dalam kitabnya akan kebatilan mana-mana perundangan yang menyimpang daripada apa yang telah ditetapkannya. Firman Allah bermaksud,"Ingatlah, kepunyaan Allah hak ciptaan dan segala urusan" (Al A'raf:54). Firman-Nya lagi,"Hukum itu tidak lain hanya bagi  Allah.. Dia menyuruh supaya kamu jangan menyembah  melainkan kepadanya. Demikian itulah agama yang lurus" (Yusuf:40)

Jelasnya perlembagaan tertinggi hanyalah terletak kepada syara’ dan tidak kepada selainnya. Keseluruhan undang-undang yang menuntut kepada perintah yang berkaitan dengan mukallaf ataupun pilihan kepada hambanya hanyalah milik Allah sahaja. Manakala manusia tiada baginya hak sedikitpun untuk mengubah mana-mana ketetapan yang telah nyata dan pasti melalui petunjuk dan wahyunya.

Perbezaan antara Syura dan demokrasi
Syura adalah suatu bentuk kerjasama dalam menyuarakan pendapat bagi menentukan ketetapan atau perundangan dalam pentadbiran Islam. Ia berbeza daripada sistem-sistem selainnya disebabkan tanggungjawab di meja syura adalah sebagai memikul amanah Allah. Ia diwujudkan sebagai badan perundangan dan pentadbiran di mana kekuasaannya berpandukan syariat Ilahi yang disampaikan melalui Al Quran dan Al Sunah. Firman Allah di dalam surah Al Ahzab ayat 72, bermaksud : "Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan".
Maka tanggungjawab Khalifah terhadap ummah adalah sebagai perantara di antara kekuasaan Ilahi dengan urusan pentadbiran dan jajahan yang diserahkan kepada hambanya. Segala kekuasaan ini diberikan adalah untuk mendirikan ajaran agama dan melaksanakan tanggungjawab siasah berpandukan kepada ajaran yang diwahyukan kepada Baginda S.A.W. [6]

Firman Allah yang bermaksud : "Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan – apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara – (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata". (Al Ahzab:36)

Justeru, kewajipan manusia sebenarnya adalah mengikut garis panduan dan kebenaran berpandukan kekuasaan yang tertinggi (Allah). Maka kewajipan  mengikut perintah dan melaksanakan tuntutan syariat adalah merupakan suatu perjanjian yang diberikan oleh Allah kepada hambanya. Manakala kewajipan khalifah pula adalah sebagai pemegang amanah berpandukan wahyu dan permesyuaratan dalam menjaga maslahah insani.

Dari suatu sudut, sistem syura dan demokrasi dilihat mempunyai persamaan dalam beberapa aspek. Antaranya ialah :

1. Sebagai suatu sistem pentadbiran dalam mencapai matlamat untuk melaksanakan beberapa tuntutan kemanusiaan. Ia berjalan di atas dasar kewarasan akal fikiran manusia tetapi bukanlah merupakan suatu sistem yang tetap. Demokrasi mengalami perubahan berdasarkan perubahan zaman sebagaimana juga syura.

2. Rakyat adalah sebagai pelaksana kepada ketetapan ataupun perundangan yang dibuat melalui perbincangan. Selain itu juga rakyat memiliki kekuasaan untuk berijtihad terhadap perkara-perkara yang tidak diturunkan nas di dalam agama samawi.

Di sana perlulah dijelaskan bahawa perlaksanaan sesetengah pentadbiran yang menjalankan sistem pilihanraya bukanlah menunjukkan bahawa i’tikad kepada sistem Barat, sebaliknya ia hanyalah merupakan wasilah dan bukanlah merupakan maksud ataupun matlamat. Wasilah hanyalah perkara-perkara yang berhubung dengan perlaksanaan sedangkan maqasid ialah matlamat yang terhasil daripada perlaksanaan.

Walaupun syura kadang-kadang mempunyai persamaan dengan beberapa sistem lain tetapi hakikatnya ia adalah berbeza sebagaimana yang dinyatakan dalam ciri-ciri syura dan demokrasi. [7]

Hukum Melaksanakan Syura
Terdapat berbagai-bagai bidang yang dilaksanakan melalui sistem musyawarah ini, ia termasuklah [8] :
1- Dalam aspek kehidupan seharian seperti urusan munakahat, bai’e, ijarah, wakalah dan dzoman di mana berlakunya proses syura .
2- Syura juga dilaksanakan di dalam majlis kehakiman sebagaimana berlakunya syura di antara qadhi bersama para ilmuan dan fuqaha' terhadap sesuatu qadhiah sebelum sesuatu ketetapan diambil terhadap hukuman yang bakal diputuskan.
3- Majlis mufti juga melaksanakan konsep syura bersama para alim ulama di zamannya sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan untuk tatapan umum.
4- Hakim (pemerintah) juga melaksanakan tuntutan syura bersama ahli halli wal aqdi dalam menentukan sesuatu dasar yang berhubung dengan maslahah ummah dalam pentadbiran negara.

Di dalam ketiga-tiga keadaan yang pertama sebagaimana yang dijelaskan, tuntutan syura adalah bersifat mustahab (sunat). Adapun dalam keadaan yang terakhir ulama bercanggah pandapat dalam menentukan hukum melaksanakan syura bagi seseorang pemerintah negara. [9]

Pandangan PertamaSyura adalah wajib bagi seseorang pemerintah dalam memutuskan ketetapan berhubung  dengan pentadbirannya.

Pandangan KeduaTuntutan syura hanyalah disunatkan dan ianya tidaklah dianggap sebagai sesuatu kewajipan bagi seseorang pemerintah.

Huraian pandangan I : Pendapat ini dipegang oleh sebahagian ulama dan juga fuqaha' yang menyatakan syura adalah sesuatu kewajipan bagi pemerintah. Sekiranya ia meninggalkan tuntutan syura dalam pentadbirannya ataupun bersendirian dalam menentukan hukum maka ia dianggap sebagai suatu dosa. Ummah juga dianggap berdosa sekiranya mereka berdiam diri kerana ia merupakan suatu kemungkaran yang perlu dicegah. Ini ditegaskan lagi oleh hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya melalui riwayat Abu Said Al Khudri, Sabda Nabi S.A.W bermaksud,"Sesiapa yang melihat sesuatu kemungkaran maka hendaklah ia mencegah (dengan melakukan perubahan) dengan tangan (kuasanya), jika dia tidak mampu hendaklah dengan lisan, jika tidak mampu dengan hati dan itlah selemah-lemah iman" [10]

Ibn Atiah di dalam tafsirnya menyatakan “Syura merupakan salah satu daripada kaedah syara’ dalam menentukan sesuatu hukum. Mana-mana pemerintah yang tidak melaksanakan musyawarah bersama-sama ahli ilmu dan ulama maka wajib memecatnya daripada tampuk pemerintahan yang sememangnya tiada lagi khilaf padanya”.[11]

Berikut adalah pandangan yang diambil secara ringkas daripada kebanyakan fuqaha' yang mengatakan bahawa syura adalah merupakan suatu kewajipan terhadap pemerintah dalam sesebuah negara.

Fuqaha' Hanafiah, Abu Bakar al Jashas berkata bahawa firman Allah Taala yang terdapat dalam Surah Al Imran 159, menunjukkan ketinggian darjat syura di sisi Allah yang disertakan dengan perintah iman dan solat.

Manakala Fuqaha' Malikiah seperti yang tersenarai ini;
i) Ibn Atiah al Andalusi: Pandangan beliau adalah sebagaimana yang dijelaskan di mana  pemerintah yang mengenepikan tuntutan syura hendaklah dilucutkan daripada jawatannya. Antara lain beliau mendakwa apa yang dipegangnya adalah merupakan suatu keputusan ijma’.

ii) Ibn Juwaiz: "Pemerintah berkewajipan untuk mengadakan musyawarah bersama ulamak di dalam urusan yang tidak diketahuinya mahupun urusan yang berkaitan dengan soal agama, peperangan ataupun soal dalam menentukan maslahah yang berkaitan dengan kementerian dan urusan pentadbiran negara". [12]

iii) Ibn Arabi: "Musyawarah adalah merupakan salah satu daripada usul agama dan juga sunnah yang diamanahkan oleh Allah SWT. Ia adalah suatu kewajipan ke atas seluruh ummah semenjak zaman Nabi SAW dan seterusnya". [13]

Daripada kalangan Fuqaha' Syafie’ah, kebanyakan pandangan dalam Mazhab Syafie menyatakan syura adalah wajib ke atas pemerintah dan juga ke atas Nabi S.A.W. [14]

Imam An Nawawi menyatakan bahawa ia adalah wajib sebagaimana pandangan jumhur ulamak dan usuliyyin bahawa ayat pada surah Ali Imran 159 menunjukkan perintah suruhan yang berbentuk wajib. Ia adalah nas yang terang dan tiada lagi kesamaran padanya. [15]

Fuqaha' Hanabilah seperti Imam Ibn Taimiyyah turut menjelaskan sebagaimana yang telah disebut oleh Imam An Nawawi

Pandangan Ulama Kontemporari
Jumhur muhaddisin menyatakan syura adalah suatu kewajipan terhadap pemerintah sebagaimana pandangan yang dinyatakan oleh Syeikh Tohir Ibn Asyur [16]. Di antara tokoh-tokoh ulama lain yang menyokong mengenai kewajipan  melaksanakan syura bagi pemerintah termasuklah tokoh gerakan Islam, Imam Hassan al Banna [17], Imam al Maududi[18], Syeikh Mahmud Syaltut [19], Syeikh Muhammad Abi Zahrah [20], Syeikh Abd Wahab Khalaf [21], Dr.Abd Kadir Audah [22], Dr. Abd Razak as Sanhuri [23] dan juga Dr.Abd Karim Zaidan.

Dalil Pendapat I
1. Pada firman Allah surah Ali Imran ayat 159, dilalah ayat ini seperti yang diterangkan ulama mufassirin :

Imam Fakh al’Razi : “Zohir ayat menunjukkan perintah amar adalah wajib. Justeru, perintah melaksanakan syura adalah suatu perintah yang wajib”.

Abu Hayyan al Andalusi : “Dalil (ayat) menunjukkan perintah musyawarah merupakan suatu tuntutan syara’”.

Syeikh Muhammad Rashid Redha : “Dalil manunjukkan perintah umum dalam mentadbir negara dan ummah adalah meliputi segala urusan termasuklah peperangan, keamanan serta perkara-perkara  yang melibatkan maslahah duniawi”.

2. Mengambil ayat pada firman Allah surah As Syura:38 yang bermaksud : "Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya".

3. Firman Allah lagi yang bermaksud,"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya". (Ali Imran:104)

4. Firman Allah lagi yang bermaksud,"Maka bertanyalah kamu kepada AhluzZikri jika kamu tidak mengetahui" (Anbiya':7).

5. Sabda Nabi S.A.W, daripada Saidina Ali R.A bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah,"Jika sesuatu urusan itu tiada kenyataan perintah dan larangan lalu apakah yang perlu kami lakukan? Baginda menjawab,"Lakukanlah mesyuarat yang di kalangan mereka itu terdapat orang alim agama (fuqaha'), ahli ibadah dan janganlah kamu memutuskan pendapatmu secara peribadi".

Huraian Pendapat II
Sebahagian daripada fuqaha' menyatakan bahawa perintah syura bukanlah merupakan suatu tuntutan yang wajib ke atas pemerintah. Ia hanyalah merupakan suatu perkara yang disunatkan dan tidaklah menjadi suatu kesalahan apabila meninggalkannya. Walaubagaimanapun mereka menyokong bahawa adalah terlebih baik untuk dilaksanakan syura bersama para ilmuan, fuqaha' dan ahli ilmu.

Pendapat ini disandarkan kepada Muhammad bin Idris As Syafie [24], Qotadah, Al Rabie’, Ibn Ishak [25], Imam Ghazali, Ibn Hazm, Ibn Qayyim Al Jauzi, Imam Al Mawardi dan ramai lagi dari kalangan salaf.

Dalil pendapat II
1. Berdasarkan firman Allah Taala surah Ali Imran ayat 159, bahawa dilalah ayat ini menerangkan :  Perintah amar menunjukkan kepada suruhan yang berbentuk sunat. Ini dijelaskan sebagaimana berlakunya musyawarah di antara Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail dalam Firman Allah, Surah As Soofat:102 yang bermaksud,"Hai anakku, sesungguhnya aku bermimpi dalam tidur, bahawa aku menyembelih engkau maka perhatikanlah bagaimana fikiran engkau?

2. Sekiranya perintah syura adalah wajib maka Nabi akan bersungguh-sungguh untuk menjalankannya. Namun, sebaliknya Nabi S.A.W ada kalanya tidak melaksanakan musyawarah dalam kebanyakan urusannya bersama Para Sahabat. Ini dapat dilihat sebagaimana keputusan Nabi dalam perjanjian Sulhu Hudaibiyah (Perjanjian Hudaibiyyah) walaupun disanggah oleh para sahabat. Begitu juga dalam peperangan Tabuk, tiada pun di kalangan tentera sekira-kira 300 orang yang turut serta dalam musyawarah bersama Nabi.

3. Musyawarah yang dilakukan oleh Nabi S.A.W hanyalah suatu petunjuk untuk menenangkan hati para sahabat. Justeru, ia hanyalah merupakan perkara yang dianggap sunat sahaja.

4. Al Aslu dalam hukum Islam adalah mubah, seperti dalam kaedah feqh sehinggalah ia didatangkan dalil yang menunjukkan sama ada keharusan ataupun kewajipan. Namun di sana tiada dalil yang menerangkan bahawa ia adalah merupakan suatu kewajipan.

Pendapat Terpilih
Dr.Abd Kadir Abu Faris di dalam kitabnya menyatakan bahawa pendapat yang sesuai untuk diterima adalah pendapat yang menyatakan bahawa syura adalah wajib untuk  dilaksanakan oleh setiap pemerintah. Ini berdasarkan kekuatan dalil yang dibawa oleh golongan ini. Seandainya syura dianggap sebagai suatu perkara yang sunat semata–mata, maka ianya telah menolak beberapa faedah yang besar terhadap ummah. Di antaranya ialah :
1. Pemerintah akan bersendirian dalam menentukan hukum dan dasar (istibdad al hukm).
2. Dasar akan diputuskan oleh suatu golongan sahaja. Ini akan membawa kepada hilangnya keyakinan rakyat terhadap pemerintah seterusnya membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat.
3. Ia seolah-olah menolak dasar persamaan dan kebebasan berfikir dalam menyuarakan pandangan.
4. Pemerintah seolah-olah hanya mengikut kehendak dirinya semata-mata. Sekiranya dasar syura diamalkan, secara tidak langsung pemerintah sebenarnya telah melaksanakan salah satu daripada tuntutan syara’ yang dianggap sebagai ibadah. Seandainya tuntutan ini ditinggalkan maka hilanglah salah satu daripada cabang ibadah yang mendekatkan seorang hamba kepada tuhannya. Maka hilanglah di sana suatu kebaikan yang besar dan tinggallah kerugian yang menimpa. [26]

Tegasnya benarlah apa yang dikatakan oleh As Syahid Syed Qutb di dalam Zilalnya : "Seandainya wujud segolongan qiadah yang diberi petunjuk dan mampu mentadbir ummah maka tidak perlulah lagi disibukkan dengan urusan syura. Sedangkan wujudnya Baginda S.A.W yang dipandu oleh wahyu Allah memadai untuk menyatakan tidak wajibnya syura terhadap urusan ummah. Tetapi lahirnya Baginda S.A.W beserta wahyu Ilahi tidaklah menolak tuntutan ini kerana tuntutan ini adalah begitu penting untuk kesinambungan umat".[27]

Bidang Syura
Bukanlah semua individu berkelayakan untuk menjadi ahli syura. Mereka semestinya di kalangan ulil amri dan orang yang berkelayakan untuk menyuarakan pandangan dalam menyelesaikan permasalahan yang berlaku. Firman Allah Taala yang bermaksud : “Apabila mereka ditimpa sesuatu hal, keamanan atau ketakutan mereka siarkan kepada  musuh. Kalau mereka serahkan hal itu kepada rasul atau orang yang mempunyai urusan di antara mereka nescaya orang-orang yang meneliti di antara mereka mengetahui hal itu” (An Nisa':83).

Mereka adalah di kalangan orang-orang yang mempunyai pengkhususan dalam bidang keagamaan. Selain itu, mereka jualah yang melantik wakil untuk dicalonkan sebagai khalifah serta melakukan baiah lalu dibentangkan kepada masyarakat umum untuk diterima secara total.

Ahli syura memiliki kekuasaan untuk mengoreksi dan memuhasabah ketua negara serta menterinya. Ini berlaku dalam konteks amar ma'ruf nahi mungkar. Sekiranya ketua negara melanggari batasan syara’ ataupun melakukan kezaliman terhadap masyarakat maka adalah menjadi kewajipan ahli syura untuk membuat perubahan dan memperbetulkan kesalahan tersebut.

Mereka juga memiliki kekuasaan untuk memecat ketua negara sekiranya beliau memang perlu untuk dipecat seperti meninggalkan kewajipan yang ditaklifkan kepadanya ataupun bila mana kezaliman berleluasa tanpa sebarang cegahan dan tindakan.

Perbincangan Di Majlis Syura
Perbincangan di antara ahli-ahli syura dalam beberapa perkara tertentu  adalah untuk mencari titik permuafakatan dalam menentukan perkara-perkara yang dapat memberikan maslahah kepada ummah. Di sana perbincangan syura adalah menyentuh mengenai perkara-perkara mubah, pensyariatan yang berhubung urusan muslimin sama ada individu ataupun kumpulan-kumpulan tertentu, hal ehwal kekeluargaan, masalah awam atau pun perkara yang melibatkan jentera pentadbiran kerajaan dan sebagainya.

Di antara perkara-perkara yang dikecualikan dalam perbincangan syura adalah perkara yang melibatkan nas thabit di dalam al Quran dan sunnah serta beberapa perkara yang menyentuh mengenai akidah  umat Islam.

Dr. Abd Karim Zaidan di dalam majma’ buhus feqhiyyah menjelaskan,“Permesyuaratan yang melibatkan ummah adalah berlegar di sekitar perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan dan perkara-perkara yang berkaitan dengan syara’ yang memerlukan kepada ijtihad terhadap dalil-dalil yang bersifat dzonni ataupun yang tiada nas padanya".

Al Jashas pula di dalam tafsirnya menyatakan: “Permesyuaratan adalah menyentuh perkara-perkara keduniaan dan keagamaan yang tidak diturunkan wahyu padanya”. Ianya adalah seumpama masalah yang melibatkan siasah daulah, ketenteraan, pengisytiharan perang, akad perjanjian dan sebagainya.

Oleh itu perkara-perkara yang tidak memerlukan hajat, tidak mendatangkan manfaat dan juga tidak diterima akal adalah merupakan perkara-perkara yang tidak memerlukan syura  untuk dibahaskan.

Perlaksanaan Sistem Syura
Sirah Nabi S.A.W menunjukkan bagaimanakah teladan dalam melaksanakan syura yang perlu diambil oleh seorang kepimpinan negara. Persoalannya, adakah permesyuaratan yang akan dilaksanakan melibatkan keseluruhan masyarakat ataupun sebahagian kecil sahaja dikalangan mereka. Justeru, sirah Nabi S.A.W menentukan bagaimanakah bentuk syura yang pernah dilaksanakan di antara Nabi dan Para Sahabat. [28]

1. Musyawarah memerangi Musyrikin
Ketika mana kaum Musyrikin merancang untuk menyerang orang-orang Islam dalam peperangan Badar, Nabi S.A.W bermusyawarah bersama Para Sahabat. Di antaranya Abu Bakar, Umar, Miqdad, Saad bin Abi Waqas, Muaz bin Jabal dan Para Sahabat yang lain di mana mereka mengambil keputusan untuk mempertahankan Madinah daripada diserang [29].
2. Musyawarah dalam peperangan Uhud
Musyawarah ini berlaku di mana Nabi S.A.W menyatakan persetujuan untuk bertahan di Madinah sedangkan sebahagian sahabat menyatakan persediaan untuk keluar daripada Madinah untuk berhadapan dengan musuh.

3. Musyawarah dalam menentukan ghanimah golongan Hawazin
Musyawarah ini berlaku di antara Nabi dan Para Sahabat di mana Baginda meminta pandangan daripada keseluruhan mereka yang terlibat dalam peperangan itu.

4.Musyawarah dalam menentukan hukuman terhadap tawanan Badar
Musyawarah ini berlaku di antara Nabi dan para sahabat. Di antaranya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Kesimpulannya pandangan dalam menentukan siapa dan apa yang akan dibincangkan adalah berbeza mengikut situasi dan keadaan. Ini adalah disebabkan beberapa faktor. Antara lain :

1. Nabi S.A.W bermusyawarah dengan sebahagian sahaja daripada sahabat disebabkan beberapa faktor di antaranya :
1.1]- Masalah ini tidak perlu untuk dibentangkan kepada keseluruhan kaum Muslimin.
1.2]- Masalah ini tidak perlu untuk dibentangkan kepada keseluruhan mereka yang terlibat dalam peperangan (tawanan Badar).
1.3]- Syura hanyalah berlaku dengan mereka yang mempunyai kepentingan dan keutamaan di sisi masyarakat sahaja.
2. Ahli syura dalam masalah untuk keluar berperang (Uhud) diambil daripada kebanyakan kaum Muslimin.
3. Ahli syura dalam masalah ghanimah golongan hawazin diambil daripada kesemua yang terlibat dalam peperangan tersebut.

Perlaksanaan Keputusan Syura
Keputusan pemerintah dalam melaksanakan tuntutan syura adalah suatu perkara yang pasti dan tidak lagi diragui lagi kewajipannya. Namun  terdapat  beberapa perkara yang menjadi perselisihan di kalangan ulama berhubung dengan keputusan syura. Ia berlaku sekiranya musyawarah dilaksanakan tetapi tidak mencapai permuafakatan dalam mengeluarkan keputusan di mana keputusan  majoriti ahli syura berbeza daripada keputusan yang hendak diputuskan oleh pemerintah (ketua negara).

Justeru, bagaimanakah keputusan yang bakal diputuskan?. Penjelasan daripada kitab-kitab yang dicatatkan ulamak menjelaskan ia adalah bergantung kepada dua keadaan :
1. Diputuskan mengikut keputusan yang dibuat oleh majoriti ahli syura dan menolak keputusan yang dibuat oleh pemerintah secara bersendirian (syura mulzimah).
2. Diputuskan mengikut kehendak pemerintah walaupun pendapatnya berbeza daripada kebanyakan pendapat ahli syura yang lain (syura mue'limah).

Pendirian Fuqaha' Dan Ulama

Golongan I
Sebahagian ulama menyatakan keputusan syura ditentukan atas dasar (mue'limah) dan menjadi hak pemerintah untuk menentukan pilihannya dalam sesuatu musyawarah walaupun keputusan itu bertentangan dengan keputusan jumhur ahli syura.

Golongan II
Sebahagian ulama menyatakan bahawa keputusan syura adalah bersifat (mulzimah). Pandangan ini disandarkan kepada jumhur fuqaha' dan kebanyakan ulama kontemporari. Pemerintah wajib mengikut keputusan dan suara majoriti ahli syura walaupun pandangan pemerintah yang diyakini akan kebenarannya menyanggahi jumhur ahli syura yang lain.

Huraian Pandangan I
Ulama dan Fuqaha' Salaf : Di kalangan ulamak yang menyatakan demikian adalah Imam Al Jashas [30] (Ahnaf), Ibn Atiah [31] (Malikiah), Ibn Taimiyyah [32] (Hanabilah) dan Imam Al Qurtubi.

Ulama dan Fuqaha' Muasirah : Di kalangan mereka termasuklah Imam Hassan Al Banna [33], Ibn Asyur [34], Ustaz Hassan Al Huwaidi, Dr Abd. Karim Zaidan, Ustaz Ahmad Muhammad Syakir dan Dr. Said Ramadhan Al Bouti [35].

Dalil Pendapat I
1. Berdasarkan Firman Allah surah Ali Imran ayat 159, bahawa dilalah ayat ini : Ayat ini jelas menunjukkan khitab ke atas Nabi S.A.W supaya memberi keampunan kepada ahli-ahli Uhud yang melanggari perintah Baginda. Justeru, tiadalah pula menjadi kewajipan ke atas Baginda untuk menerima pakai apa-apa pandangan di kalangan mereka yang berhajat untuk meminta keampunan di sisi Nabi. Ini disebabkan kedudukan Nabi sendiri adalah lebih tinggi daripada mereka yang berhajat kepada keampunannya.

Ayat seterusnya dalam surah ini juga disandarkan hanya kepada Nabi dalam meletakkan keazaman serta menentukan keputusan yang dibuat tanpa mengaitkannya dengan keputusan yang diambil oleh ahli syura. Begitu juga perintah tawakkal adalah ditujukan kepada Rasulullah dan bukannya keputusan terbanyak yang dibuat oleh ahli syura.

2. Berdasarkan Al Sunnah. Di mana jika Abu Bakar dan Umar bersepakat dalam sesuatu musyawarah maka tiadalah sesiapa pun yang akan menyanggahi  mereka. Justeru, pandangan mereka akan diterima pakai walaupun di kalangan jumhur sahabat lain berselisih dengan mereka [36].

Ini menunjukkan mereka menjadi rujukan kepada sahabat-sahabat lain. Mereka juga mempunyai kaedah tersendiri untuk menentukan pemikiran dan hala tuju dalam menangani sesuatu masalah. Mereka jualah yang dianggap sebagai wazir kepada Nabi SAW sebagaimana yang di riwayatkan di dalam Sunan al Tirmizi daripada Abu Said al Khudri, Sabda Nabi S.A.W,"Dua wazir-ku dari (penduduk) bumi ini adalah Abu Bakar dan Umar".

3. Berdasarkan Sunnah Fie’liah (al Sulhu Hudaibiyah). Nabi S.A.W telah memeterai perjanjian Hudaibiyah tanpa menuruti keputusan dan musyawarah bersama Para Sahabat yang lain. Baginda menetapkan perjanjian tanpa mengadakan perbincangan bersama para muslimin bahkan di kalangan mereka ada yang membantah.
Huraian Pandangan II
Pandangan yang menyatakan bahawa keputusan syura adalah bersifat mulzimah disandarkan kepada jumhur fuqaha' dan ulamak muasirah. Pemerintah wajib mengikut keputusan dan suara majoriti ahli syura walaupun suara terbanyak ini menyanggahi pandangan pemerintah yang diyakini akan kebenarannya.

Dikalangan para fuqaha' yang menyatakan demikian termasuklah Ustaz al Maududi [37], Syeikh Mahmud Syaltut [38], Dr.Abd Karim Zaidan [39], Dr.Abd Kadir Audah [40], Ustaz Muhammad Rashid Redha [41], Sheikh Muhammad Abduh, Dr.Muhammad Salim Al Awwa [42] dan Ustaz Zakaria al Barie [43].

Dalil Pendapat II
1. Mengambil petikan Firman Allah Taala daripada Surah Al Imran ayat 159, ayat ini menerangkan kewajipan dalam melaksanakan syura. Maka tidak dapat tidak kewajipan ini dilaksanakan dengan mengambil pandangan daripada setiap ahli syura. Keputusan seterusnya dipilih daripada pendapat yang mewakili kebanyakan suara ahli syura sebagaimana yang dilaksanakan oleh Nabi S.A.W.

Ayat yang menjelaskan tentang (azam) iaitu azam terhadap pendapat yang terbanyak seterusnya meletakkan tawakkal hanya kepada Allah Taala. Kata Ustaz Muhammad Rashid Redha dalam Tafsirnya al Manar, “Ayat itu menunjukkan apabila kamu telah berazam ke atas sesuatu perkara selepas melakukan musyawarah untuk melaksanakan apa yang diambil oleh musyawarah tersebut maka bertawakkallah kepada Allah. Hendaklah kamu yakin dengan bantuan dan pertolongan daripada Allah. Janganlah pula kamu hanya berserah kepada keadaan sekelilingmu dan dirimu sahaja. Hendaklah kamu ketahui bahawa di sebalik apa yang kamu putuskan itu adalah merupakan sesuatu kekuatan yang sempurna dan wajib kamu yakini padanya”.

Beliau menjelaskan lagi,"Sesungguhnya pandangan jumhur ahli syura adalah terlebih dekat kepada kebenaran daripada pandangan mana-mana individu. Logiknya menyerahkan urusan ummah kepada seseorang individu sahaja tanpa menilai kepada pandangan ahli syura yang lain adalah merupakan suatu perkara yang amat buruk dengan tidak meraikan suara umum".

Jelasnya apa yang diambil daripada peristiwa Uhud adalah mengikut suara majoriti ahli syura walaupun apa yang diputuskan oleh Baginda S.A.W adalah lebih tepat daripada pendapat Jumhur Sahabat.

2. Al-Sunnah. Sabda Nabi S.A.W daripada Saidina Ali bin Abi Talib, telah disebutkan dalam Sunan al Tirmidzi Bab Manaqib Abdullah b Mas'ud 5/673.  

3. Ibn Kathir meriwayatkan di dalam tafsirnya daripada Ibn Murdawiyah daripada Ali bin Abi Talib bahawa Nabi S.A.W ditanya tentang AL AZAM di dalam Firman Allah Taala, Surah Ali Imran ayat 159. Maka Baginda pun menjawab bahawa ia adalah mesyuarat yang dianggotai ahli pemikir dan para pengikutnya.
Dilalah Nas : Hadith secara jelas mentafsirkan AL AZAM sebagai menerima pendapat daripada majoriti ahli syura selepas musyawarah dilaksanakan [44].

4. Sunnah Fie’liah : Dalam musyawarah menentukan hukuman terhadap 70 orang tawanan Badar, Nabi S.A.W dan Para Sahabat mengadakan musyawarah disebabkan tiadanya hukum syar’ie yang diwahyukan kepada Baginda. Dalam musyawarah itu terdapat 3 pandangan utama yang diputuskan daripada Para Sahabat :
i . Hukuman harus diambil dengan membunuh mereka tanpa mengambil fidyah (Umar).
ii. Hukuman dijatuhkan dengan mengambil fidyah daripada mereka (Abu Bakar dan Jumhur Sahabat).
iii.Hukuman dijatuhkan dengan membakar para tawanan tersebut (Abdullah B. Rawahah).

5.  Al Athar : Kata Umar kepada seorang lelaki,“Sesiapa yang melantik amir tanpa mengadakan musyawarah maka baiah itu dianggap tidak sah. Begitu juga baiah daripada mereka yang melakukan baiah itu dianggap terbatal [45].

6. Dalil aqlie, menurut senarai berikut :
i.  Pandangan yang disuarakan oleh majoriti adalah lebih tepat dan sahih daripada pandangan yang dibuat secara bersendirian. Selain itu, pandangan daripada jamaah adalah merangkumi segenap kudrat akal manusiawi melalui kajian dan pengalaman seluruh ahli syura.
ii.  Seandainya diambil pandangan daripada individu sahaja maka tiadalah gunanya fungsi ahli halli wal aqdi ataupun ahli syura. Ini akan mengurangkan keyakinan ahli musyawarah terhadap apa yang diputuskan oleh pemerintah. Ia seolah-olah tiada suatu neraca timbangan terhadap apa yang disuarakan mereka di sisi pemerintah.
iii. Pendirian yang menyatakan syura adalah mulzimah telah merealisasikan suatu maslahah  ammah terhadap masyarakat.
iv.  Pendirian yang menolak pendapat ummah (majoriti) seolah-olah telah menyempitkan ruang lingkup ijma’ dan menolak kemaksuman ummah sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi S.A.W mafhumnya,"Hendaklah kamu bersama jamaah, sesungguhnya Allah bersama jamaah dan tidaklah umat itu bersatu atas kesesatan".
v.   Keputusan yang dibuat di atas dasar mue'limah akan membawa kepada istibdad al hukmi iaitu  hukum yang hanya diputuskan atas dasar persendirian. Ia seolah-olah mengiktiraf berlakunya pemusatan kuasa dalam menentukan sesuatu dasar dan keputusan (diktator).

Pendapat Terpilih
Melihat kepada pandangan dan dalil yang dikemukakan jelaslah bahawa qadhiah yang dibincangkan ini adalah berkisar di sekitar perkara ijtihadiah semata-mata. Ini disebabkan tiadanya nas secara qatie al dilalah dan qatie al thubut dalam menentukan ia adalah mulzimah atau mu’limah.

Jelasnya kedua-dua pandangan yang dinyatakan adalah di atas dasar ijtihad. Keikhlasan dalam mengeluarkan pandangan semestinya akan diberi ganjaran pahala di sisi Allah Taala. Mana-mana ijtihad yang benar akan mendapat dua ganjaran pahala manakala sebaliknya  mendapat satu ganjaran pahala.

Begitupun pandangan yang dianggap rajih oleh Dr.Abd Kadir Abu Faris berdasarkan ijtihadnya yang berpandukan nusus Al Quran dan bertepatan dengan Sunnah Baginda dan Khulafa’ al Rasyidin.

Ia juga adalah bertepatan dengan kaedah meraikan maslahah ammah di dalam bidang siasah syar’ieah. Sekiranya pemerintah mengendahkan pandangan majoriti ahli syura ia akan menimbulkan perselisihan di antara mereka. Ini akan membangkitkan perasaan takabbur dalam hati individu seterusnya mengikis keyakinan sesama mereka. Inilah yang akan menimbulkan perbalahan yang tidak sepatutnya berlaku. Rujuk surah Al Anfal ayat 46

Justeru, perlunya ahli syura untuk beriltizam  di atas apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam menentukan sesuatu keputusan. Baginda adalah contoh dan qudwah serta penunjuk jalan  kepada umatnya sepanjang zaman. Rujuk surah Al Ahzab ayat 21.

Beberapa Dhowabit dalam melaksanakan Syura.
1. Mestilah diletakkan suatu neraca timbangan (ahli syura) di antara baiah yang diberikan kepada pimpinan tertinggi dalam konsep dengar dan taat (as sam'u wa tho'ah) dan juga konsep memberi nasihat dan pandangan dalam permesyuaratan.
2. Perlu konsep at tasamuh (bertolak asnsur) dalam bermusyawarah.
3. Ahli syura mestilah mengelakkan diri daripada ta'asub kepada pandangan sendiri yang boleh membawa kepada fitnah yang mungkin membawa kepada hilangnya nilaian syura di sisi masyarakat.
4. Ahli syura hendaklah meletakkan pandangannya di antara kebenaran dan kebatilan. Mereka hendaklah bersedia untuk dikoreksi dan diperbetulkan kerana kaedah Islam adalah untuk mencari kebenaran sama ada Muslim itu memberi nasihat dan pandangan ataupun meminta nasihat dan pandangan.

Imam al-Syahid Hassan al-Banna rahimahullah menjelaskan beberapa tuntutan terhadap syakhsiah Muslim yang wajib untuk dilaksanakan oleh setiap individu [46].
1. Hendaklah berkata benar dan jangan sesekali berdusta.
2. Berpegang teguhlah kepada janji dan jangan sesekali menyalahi janji walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
3. Hendaklah berani dalam menyatakan pandangan dan setinggi-tinggi keberanian adalah keberanian menjaga rahsia, mengakui kesalahan, menginsafi kesilapan diri dan mengelakkan kemarahan.
4. Thabat dalam melaksanakan kebaikan yang berterusan.
5. Ketelitian dalam menerima kebaikan dan keburukan, merendah diri dan melihat insan yang lebih kurang daripada kita dalam kehidupan.
6. Hendaklah berlaku adil dalam melaksanakan hukuman walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Tegaskanlah dengan lidahmu kebenaran walaupun pada dirimu, sahabat karibmu sekalipun ianya amat perit dan pahit.

Penutup
Hukum melaksanakan syura di dalam sesebuah pemerintahan bukanlah merupakan perkara baru yang hendak dibincangkan. Perintah ini telah diwahyukan kepada Nabi S.A.W semenjak tertegaknya negara Islam Madinah yang didirikan oleh Baginda dan Para Sahabat.

Kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintah ini di dalam mana-mana institusi mahupun pentadbiran kerajaan perlulah diberi perhatian yang sewajarnya supaya penghayatan dalam melaksanakan tuntutan Ilahi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Allamah as Syahid Syed Qutb pernah menjelaskan bahawa,“Kita akan merasa sempit seandainya kita mengatakan bahawa perjuangan ini kitalah yang memulakan dan mengakhirkannya. Tetapi kita tidak akan merasa sempit apabila kita yakin dan percaya bahawa kita adalah penerus kepada satu-satu perjuangan”. 

Semoga dengan tertubuhnya sebuah negara Islam yang melaksanakan segala tuntutan yang diwahyukan oleh Allah SWT bakal kita realisasikan.

Nota Hujung 

1   Dr. Abd Razak al Sanhuri, Fiqh Al Khilafah, Cet, Maktabah Muassasah Ar Risalah Beirut. m.s. 187
2   Muhammad Abdullah Khatib , Syura fil Islam , m.s. 23
3   Sout al Azhar, Jumaat 17 Rabiul Akhir 1423,  28 jun 2002
4   Al  Sanhuri , Fiqh  Al Khilafah, ms 194
5   Ibid, Muhammad al Khatib m.s. 33
6   Dr.Muhammad Imarah.Hal  Islam huwa  al Hall
7   Muhammmad Abdullah Khatib, Al  Syura fil Islam, m.s. 40
8   Dr. Abd Kadir Abu Faris, Syura wa Qadhaya al Ijtihadiah,, Maktabah alMannar Zarqa, Jordan
9   Dr. Abd Kadir Abu Faris, Hukmu al Syura Fil Islam wanatijatuha, m.s  8
10  Ibn Munzir, Mukhtasar Shahih Muslim, m.s. 16, Sunan al Tirmidzi 209-289
11  Al Muharrar  al Wajiz fi Tafsir al Kitab al Aziz
12  Al Qurtubi , Jamie Ahkam al Quran, cet. Maktabah Darul Hadis Kaherah
13  Badaie’ alSalak
14  Sebahagian daripada fuqaha' al Syafieah menyatakan ianya adalah sunnah Nabi SAW
15  Badaie’ al Salak  fi Tobaie al Mulk
16  Al Tanwir wal Tahrir, jil 4 m.s. 150
17  Imam Hassan al Banna, Majma’ alRasail
18  Al Khilafah wal Mulk m.s. 41
19  Al Islam wal Aqidah wal Syariah m.s. 458-459
20  Tarikh Mazahib Islamiah Fil Siasah  wal Aqaid m.s.  93-94
21  Al Siasah Syar’ieah aw Nizom al Daulah m.s. 25-29
22  Al Islam wal Nizam al Qanun m.s. 87-89
23  Dr. Abd Razak Al Sanhuri, Fiqh al Khilafah
24  Sesetengan fuqaha' menyandarkan pandangan ini kepada Imam al Syafie berdasarkan 2 nas yang terdapat dalam kitab al-Um (lihat al-Um jil 6,ms20/ jil7m.s.95). Walaupun ianya bukanlah dinaskan secara jelas (sunat), namun ianya ditafsirkan seolah-olah Imam Syafie menyatakannya sebagai suatu perkara yang sunat dan bukannya wajib. Ini disebabkan fuqaha terdahulu tidak membezakan di antara hakim dan qadhi.
25  Ibn al Jauzi , Zaed al Maser fil Ilmu al Tafsir
26  Hukm Syura fil Islam Wanatijatuha, m.s. 84
27  Syed Qutb, Fi Zilal al Quran jil 4 m.s. 503
28  Dr. Abd Karim Zaidan, Al Mufassal Fi ahkam almar’ah wal bait  al Muslim jil 4 ms 329
29  Al Muqraizi, Imtaa’ al Isma’, Al jil 1 m.s. 73-75
30  Abu Bakr al Jashas, Ahkam al Quran al jil2 m.s. 40
31  Al Muharrar al wajiz fi tafsir kitab al Aziz jil 3 m.s. 339
32  Ibn Taimiyyah, Siasah sl Syarieah fi Islahie al raie wa alroieah
33  Imam Hassan al Banna, Mauqif fi al Dakwah wal tarbiah, Abbas al Sisi m.s. 156
34  Hasyiah Umdah al Tafsir
35  Dr. Said Ramadhan al Bouti, Feqh al Sirah
36  Fathul Baari 13/340, cetakan maktabah al Salafiah
37  Kajian terhadap kitab kitab karangan al Maududi mendapati ada kalanya beliau menyatakan syura adalah mue’limah bagi pemerintah  dan ada kalanya mulzimah. Pun begitu pandangannya yang terakhir dalam kitabnya alKhilafah wal mulk beliau menegaskan ianya adalah mulzimah dan mesti mengikut pandangan majoriti ahli syura. Lihat Hukm Islam fil Syura m.s. 143
38  Dr. Abdul Halim Mahmud, Al Islam Akidatun wa Syariatun ms 462-463
39  Al fard wal Daulah  fi Syariah Islamiah m.s.47
40  Dr. Abdul Kadir Audah, Tasyrie al Janaie ms  39
41  Muhammad Rashid Redha,Tafsir al Mannar jil 4 m.s.199
42  Fi Nizom al Siasi lil Daulah Islamiah
43  Mabda al Syura fil Islam
44  Dr. Abdul Kadir Abu Faris, Hukm Syura Fil Islam.  m.s.156
45  Musnad Imam Ahmad jil 1 m.s. 323-327
46  Imam Hassan Al Banna, Majma’ al Rasail

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular