Tuesday, June 7, 2011

MIC : Guna Interlok di sekolah satu kesilapan


Presiden MIC Datuk G. Palanivel berkata keputusan untuk menggunakan Interlok yang kontroversial sebagai buku teks sastera di sekolah adalah satu kesilapan.

Bagaimanapun katanya, perkara tersebut kini sudah dibetulkan dan “kami biarkan perkara setakat itu (dengan keputusan membetulkannya).”

Cadangan panel khas membawa kepada pindaan ke atas lebih 100 perkataan dan istilah, dan ia kini dalam proses pembetulan.

Ketika muncul pada ruang sembang-sembang NST Live hari ini, Palanivel berkata, banyak kumpulan dan orang perseorangan terlibat dalam memperjuangkan isu novel Interlok, membetulkan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, dengan sesetengah pihak ada agenda sendiri.

“Dan, perkara paling penting ialah dalam demokrasi, perkara ini adalah biasa.

“Mereka ada pandangan mereka sendiri. Sebagai sebuah parti, MIC sentiasa bawa perjuangan dan mengetengahkan isu-isu mengenai komuniti India dan mengenai isu Interlok, kami telah menyatakan satu pendirian tegas mengenainya,” katanya.

Kata beliau, dalam hal ini situasi menang-menang adalah baik.

“Saya secara peribadi berhubung dengan perdana menteri dan timbalan perdana menteri dalam beberapa majlis, timbalan saya ada menemani saya,” katanya.

Palanivel berkata pihaknya telah melahirkan pandangan sangat jelas dan MIC tidak kompromi.

“Tetapi pada akhirnya Perdana Menteri mengatakan beliau bersetuju untuk mengeluarkan kesemua perkataan yang sensitif.

“Kami membentuk satu panel, banyak masalah ketika sesi pertemuan panel dan akhirnya apabila saya menghadiri pertemuan terakhir di Parlimen dengan timbalan perdana menteri, saya telah menjelaskan bahawa peribahasa Bahasa Melayu yang boleh diterima oleh kaum Melayu, mungkin tidak boleh diterima kamu India,” katanya.

Kata Palanivel, beliau setuju dengan penggantian buku teks sastera itu.

“Dan, buku baru tidak akan ada perkataan-perkataan yang menyinggung komuniti India.

“Pembetulan dibuat untuk membetulkan yang salah,” katanya.

Timbalan menteri ini berkata masyarakat India ada banyak masalah dan “kita tidak boleh ada masalah dan perjuangan atas masalah yang sama.

“Kami bukan sahaja menyelesaikan masalah tetapi juga melihat gambaran yang lebih besar. Biar kita ke depan,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan Dewan Bahasa dan Pustaka sedang menguruskan pindaan dan cetakan buku baru.

Mengenai hubungan dengan timbalannya Datuk Dr S. Subramaniam, Palanivel berkata, beliau tiada masalah dengan sesiapa termasuk “timbalan saya.”

“Tetapi orang cuba mencetuskan masalah. Kami terlalu sibuk dengan kerja kami dan tiada masa untuk mencetuskan masalah,” katanya lagi.

“Beberapa individu cuba untuk mewujudkan masalah tetapi saya pasti mereka akan gagal,” katanya yang mengetuai MIC sejak Disember lalu. -TMI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular