Monday, June 6, 2011

BENARKAH HARUS MENUNJUKKAN GAMBAR TIDAK BERTUDUNG KEPADA LELAKI?



Soalan; salam,,,ustaz apa hukum seorang perempuan berchating secara webcam tidak menutup kepala dan tidak menampakkan auratnya yang lain kecuali rambut sahaja. saya ada mendengar hukum menunjukkan gambar tidak menutup kepala kepada orang lelaki tidak dikira berdosa kecuali mendatangkan syahwat.. saya ingin mendapatkan kepastian sebab saya adlah pelajar jurusan pengajian Islam.

Jawapan;


Terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan as-Sunnah ke atas wanita beriman agar menutup aurat iaitu seluruh badan kecuali muka dan dua tangan sahaja yang harus didedahkan. Lihat surah an-Nur, ayat 31. 

Antara yang disuruh Allah agar ditutup ialah bahagian kepala. Firman Allah (bermaksud); "Dan hendaklah mereka (yakni wanita-wanita mukmin) melabuhkan tudung-tudung kepala mereka hingga menutupi belahan leher baju mereka" (Surah an-Nur, ayat 31). 

Menurut ulamak tafsir; ayat ini bermaksud supaya wanita-wanita beriman menutup kepala mereka, leher serta dada mereka dengan kain-kain tudung (Lihat; Tafsir al-Jalalain).
Tutup+Aurat+Yg+Betul_1
Diriwayatkan dari Aisyah -radhiyallahu 'anhu- yang menceritakan; Asmak binti Abu Bakar suatu hari telah masuk bertemu Rasulullah -shallallahu 'alaihi wasallam- dengan memakai pakaian yang nipis, lantas baginda berpaling dari melihatnya sambil bersabda; "Wahai Asmak, sesungguhnya seorang wanita apabila telah kedatangan haid (yakni sampai umur), tidak harus dilihat badannya melainkan ini dan ini sahaja" sambil baginda menunjuk ke muka dan dua tangannya" (HR Imam Abu Daud dari Aisyah). 


Maksud dari arahan menutup aurat ialah tidak mendedahkannya untuk tontonan orang lain yang tidak diizinkan Allah melihatnya, iaitulah lelaki-lelaki yang bukan mahram. 

Apabila seorang wanita mengambil gambar dirinya ketika ia tidak menutup aurat, kemudian ia menunjukkan gambar itu kepada lelaki yang bukan mahramnya, apakah itu tidak dinamakan mendedahkan auratnya kepada orang yang tidak diizin Allah. Jawapannya tidak lain adalah "Ya". 

Jadi tidak syak lagi bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang. Kewajipan wanita Islam menutup aurat bukan atas alasan timbul syahwat orang atau tidak (jika ia mendedah aurat), tetapi kerana menyahut arahan Allah dalam al-Quran dan hadis tadi. 
Menjaga dari timbulnya syahwat hanyalah hikmah dari arahan menutup aurat, bukan illah (sebab) kepada menutup aurat kerana illahnya ialah arahan Allah. 

Contoh lain; sekalipun tiada kebimbangan berlaku zina, haram seorang wanita berduaan dengan lelaki yang bukan mahramnya kerana berduaan itu dilarang oleh Nabi. Tidak harus seorang wanita berkata; "Tidak mengapa saya berduaan dengannya kerana saya yakin dapat menjaga diri dari zina".

Selain arahan supaya menutup aurat, terdapat juga arahan supaya menjaga pandangan mata. Firman Allah (bermaksud); "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki mukmin; hendaklah mereka menahan pandangan-pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 30). "Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman; hendaklah mereka menjaga pandangan mata mereka" (Surah an-Nur, ayat 31).  Sabda Nabi (bermaksud); "Apabila seorang lelaki muslim menahan pandangannya tatkala terlihat wanita cantik, Allah akan gantikan untuknya (bagi mujahadahnya menahan pandangan itu) dengan kemanisan beribadah" (HR Imam Ahmad dari Abi Umamah). 

Persoalan; apabila seorang lelaki melihat gambar wanita yang tidak menutup aurat (seperti mendedahkan rambutnya), apakah ia dianggap menjaga pandangannya? Jawapannya sudah tentu "Tidak". Oleh demikian, anggapan bahawa gambar dikecualikan dari ayat yang menyuruh menutup aurat dan ayat yang menyuruh menjaga pandangan, anggapan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Ia bukan sahaja bertentangan dengan kehendak ayat, malah membuka jalan kepada perbuatan dosa yang lebih besar lagi iaitu melihat gambar lucah dan menonton video lucah dengan alasan ia bukan sebenar tetapi hanya foto atau rakaman

Dalam kaedah (prinsip) Fiqh ada dinyatakan "Ma Adda Ila al-Haram Fahuwa Haramun" (Sesuatu yang mendorong kepada yang haram, ia turut diharamkan"


Wallahu a'lam. 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular