Friday, May 10, 2013

Nota Kecil Untuk Memahami Kes Azmin Ali

Kerana saya letih untuk menulis dan ulas panjang maka saya catat nota kecil ini saja.
1. Seperti mana saya tidak percaya Mohamaed Azmin Ali akan umum keluar dari PKR bersama rakan-rakan, maka ia terjawab hari ini apabila Azmin menjelaskan yang beliau masih bersama PKR. Sidang akhbar khas Azmin bersama beberapa orang MP dan Adun Selangor yang sangat diminati ramai khasnya Umno, menjawab serba serbi. Yang paling pentingnya dia tidak keluar PKR dan berjanji tidak akan mengkhianati amanah rakyat terutamanya pengundi di Gombak dan Bukit Antarabangsa.
Azmin melambai tangan entah kepada siapa?

Azmin masih seperti Azmin belum menjadi seperti Ezam Mohd Noor.

2. Penjelasan itu menyebabkan harapan sesetengah orang yang suka lihat PKR hancur tidak kesampaian. UBN kenalah cari idea lain untuk terus 'menggodak' PKR supaya 'berkekah' dan berpecah. Sebenarnya untuk godak PKR supaya berpecah tidak begitu penting sebab pilihan raya sudah pun selesai, dan Umno Selangor kalah makin teruk. Khir Toyol saya percaya masih bergedik-gedik kaki seronok atas kekalahan Umno Selangor. Kenapa, sila tanya Mat Maslan?

3. Dengan apa disebut dan dijelas Azmin pada sidang akhbar itu, apa menyebabkan berlaku seperti kejutan semalam mengenainya yang dinanti-nanti ramai ialah, isu ketidak-puasan hatinya kepada kepimpinan PKR Selangor. Perkaranya ialah mengenai jawatan MB Selangor. Kini orang sudah tahu apa sebabnya.

Presiden parti Dr Wan Azizah Wan Ismail telah hantar nama Khalid Ibrahim kepada Sultan Selangor tanpa ada nama-nama lain. Nama Khalid tunggal saja. Silapnya di sini Azizah seperti dakwa Azmin tidak ajak pimpinan Selangor berbincang (mengambil konsensus) sebelum hantar nama Khalid. Itu sebabnya.

Tetapi kalau Azizah hantar nama Mohamed Azmin Ali kepada sultan tanpa nama lain dan tanpa diajak berunding dan berbincang dengan sesiapa pun, saya rasa tidak timbul kemarahan. Azmin tidak pun akan persoal mengenai himpunan raksasa di Kelana Jaya malam kelmarin dan dia juga pasti ada sama bertempik dan menyocok orang ramai agar bangkit protes SPR.

Namun kerana namanya tidak ada maka dia dan rakan-rakan lain prejudis kepada Himpunan Hitam itu. Menarik di sini kenapa Azizah sebagai presiden tidak berbincang dengan rakan-rakan dan terus hantar nama Khalid? Bolehkah dipercayai dengan sifat Azizah sedemikian, yang hanya dianggap sebagai presiden 'simbol-simbolan' dia berani berbuat demikian tanpa merujuk kepada sesiapa?

Di sini saya percaya Azizah mendapat wahyu lain untuk berbuat demikian. Mesti ada orang yang membisik di telinganya kemudian menghantar nama Khalid kepada Sultan. Jangan marahkan Azizah tanpa mencari 'jibrail' yang menyampaikan wahyu kepadanya. Terlalu 'hujan' sangat kalau hendak marahkan Azizah di sini. Azmin dan pimpinan lain yang memang suka kalau Azmin jadi MB, kena cari orang lain yang menjadi petunjuk dan pemberi wahyu kepada Azizah itu. Cari, tak jumpa tanya saya.

Dalam kemelut jiwa ini saya tidak nampak Anwar campur tangan, tetapi saya juga tidak nampak Anwar tidak campur tangan. Boleh jadi saja dalam kasus ini Anwar telah campur kaki. Bila campur kaki maka beliau sukar untuk menulis nama Azmin atau nama Khalid.

4. Kritikan Azmin kepada himpunan raksasa di Kelana Jaya itu bagi saya ia dituju direct kepada Anwar Ibrahim. Ketidaksetujuan Azmin bukan seperti mana ketidak-setujuan saya kepada majlis itu. Saya sudah katakan, Azmin tidak akan mengkritik dan sokong kalau semalam namanya sudah ada di tangan Sultan Selangor. Problemnya namanya tak masuk istana? Tetapi tidak mengapa, Azmin sudah berjanji akan hadir pada himpunan-himpunan sama yang lain.

Bagaimana pun saya bersetuju kalau Azmin kekal dengan bantahan itu sekiranya ia dibuat tanpa ada alasan peribadi lain. Saya sudah ulas himpunan itu dalam blog dan boleh dirujukkan. Himpunan untuk protes SPR itu terlalu awal dan dibuat tergesa-gesa seakan ia mahu mengejar sesuatu. Kita semua perlu ada kerehatan. Di dalam kaedah membaca al Quran selain waslah ada ada juga wakaf, berhent.

5. Kesimpulannya kenapa Azmin menunjuk ulah dan perangai sehingga boleh menyebabkan darah sesetengah ahli PKR dan penyokong Pakatan Rakyat semalam mendidih, ialah kerana disebabkan Azmin tidak diangkat menjadi MB. Itu saja, Azmin sendiri tidak boleh berdolak dalih dan menafikan hakikat ini.

Memang pun Azmin layak menjadi MB dan perlu dipertimbangkan. Khalid sudah lama diceritakan ada masalah kerana beliau dilihat menjadi MB tidak mempedulikan parti tetapi masalahnya dia disayangi oleh rakyat. Dua keadaan inilah menyebabkan maka timbul apa yang sedang timbul kini.

6. Satu pandangan untuk PKR, kalau mereka mahukan MB yang menjaga negeri dan rakyat dan tidak mempedulikan kepentingan orang parti, ambillah Khlalid jadi MB. Tetapi kalau mahukan MB yang menjaga orang parti, menjaga poket orang parti serta mahu mempamirkan seorang MB imej politik ambillah Azmin.

7. Sebelum saya tutup saya hendak berikan nota sedikit kepada ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin. Zuraida jangan lancang dan 'lancau' sangat kepada PAS dan DAP. Tidak jadi masalah kalau PAS dan DAP juga hendak bercakap mengenai kerusi MB. Walhal PKR harus sedarkan diri dalam soal ini. Mengikut bilangan kerusi PAS lebih berhak kerana mereka memilik kerusi lebih. PAS 15 sama sengan DAP, PKR hanya 14. Apakah hak Zuraida atau PKR untuk melarang orang lain mendiamkan diri. Ingat kemenangan itu adalah kemenangan bersama, kemenangan kerana kombinasi.

Jadi dengan cuba menutup mulut PAS bercakap isu MB dan merasakan PKR yang berhak, satu sikap huduh yang tidak patut ada pada seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat tambahan lagi pula ahli itu perempuan garik.

8. Mengenai siapa akan jadi MB Selangor tidak ada penentapan yang ianya milik PKR atau milik sapa. Jadi baik PAS atau DAP terbuka untuk menyebut dan membincangkannya. Ia juga terbuka untuk difikirkan oleh Sultan Selangor bagi diserahkan kepada sesiapa saja dari kalangan Adun Pakatan Rakyat di Selangor yang mendapat kepercayaan DUN dan diperkenankan oleh baginda Sultan.

Azmin sendiri juga tidak patut membuat 'mini ugutan' kerana cara saudara itu boleh menjejaskan sikap professional yang ada kepada anda selama ini. Jangan sakitkan hati orang dengan gimik-gimik begitu. Projek mini gimik itu sebahagian daripada 'demo' untuk menghadapi kongres nasional parti itu. Jangan risau yang pastinya MB Selangor bukan Hasan Akiah. [wm.kl.4:24 pm 10/05/13] - MSO

ISU MB SELANGOR - TS KHALID KEKAL, AZMIN KENA BELAJAR AMALKAN TEORINYA SENDIRI
from WFAUZDIN.BLOGSPOT.COM by WFAUZDIN NS
TAHNIAH, Pakatan Rakyat Selangor telah buat keputusan melantik bekas MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor. Keputusan ini adalah hasil tolak ansur dari rakan-rakan Pakatan Rakyat terutamanya dari PAS yang memiliki lebih Kerusi Dun di Selangor berbanding PKR tetapi bersetuju untuk meneruskan khidmat Tan Sri Khalid Ibrahim, begitu juga dengan DAP yang memiliki Kerusi terbanyak di Selangor.

Aku juga menghormati pendirian Azmin Ali tentang isu MB Selangor ini jika mengikut formula atau teorinya iaitu MB Selangor dari PKR mestilah melalui Pejabat PKR Negeri atau Majlis Pimpinan Negeri Selangor. Ertikata lain, tidak ada jalan lain untuk meletakkan calon MB dari PKR tanpa melalui saluran parti di negeri tersebut. Itu teorinya. Aku yakin nama Tan Sri Khalid Ibrahim tiada di dalam senarai calon MB Selangor yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat PKR Negeri Selangor. Calonnya aku percaya adalah Azmin Ali sendiri.

Retoriknya pula, bagaimana dengan banyak kes di serata negeri, senarai calon termasuk calon Dun ditentukan oleh JPRP (Jabatan Pilihanraya Pusat) yang diketuai oleh Azmin sendiri? Apa yang kita faham senarai calon Parlimen, JPRP boleh tentukan atau ada hak untuk memilih calon-calon yang mereka fikir layak, tetapi untuk calon Dun, sepatutnya kuasa menentukan calon lebih wajar diberikan kepada Pengerusi MPN atau Biro Politik Negeri untuk menentukannya. Malangnya, ada kes calon Dun pula 'datang dari belakang' tanpa melalui Ibu Pejabat Negeri sendiri. Ertikata lain, ada calon Dun menggunakan 'kabel' dari JPRP yang diketuai oleh Azmin dan beberapa orang kuncu-kuncunya.

Adakah formula Azmin yang dinyatakan di dalam Sidang Medianya pagi tadi (Jumaat) dipraktikkan oleh Azmin sendiri? Jika kuasa MPN dirampas oleh JPRP, mengapa perlu risau jika Presiden menggunakan kuasanya menentukan MB Selangor? Bukankah Tan Sri Khalid Ibrahim telah menunjukkan prestasi yang baik dan cemerlang sebagai MB Selangor, justeru itu rakyat memberikan sokongan berlipat kali ganda kepada PR di dalam PRU 13 baru-baru ini? Apatah lagi DAP dan PAS juga turut berkenan dan menyokong Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor. Sepatutnya kita sebagai ahli-ahli PKR amat gembira dengan sokongan DAP dan PAS kepada PKR biarpun kita memiliki Kerusi yang terendah di Selangor.

Sehubungan itu, Azmin Ali boleh lupakan teorinya buat sementara waktu sehingga beliau juga boleh beramal dengan teori atau formulanya sendiri.

Berikut adalah kenyataan penuh Datuk Saifudin:

Parti KEADILAN Rakyat memanjatkan rasa syukur kami ke hadrat Allah SWT di atas kejayaan Pakatan Rakyat mempertahankan negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum ke-13 baru-baru ini. Kami juga ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kami dan rakan-rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat terhadap para pengundi khususnya dan rakyat negeri Selangor amnya kerana telah memberikan kepercayaan mereka kepada Pakatan Rakyat untuk menerajui kerajaan negeri Selangor buat penggal yang kedua.

Bagi pihak KEADILAN, saya juga ingin merakamkan penghargaan kami kepada pimpinan Pakatan Rakyat negeri Selangor, juga kepada jentera ketiga-tiga Parti KEADILAN, PAS dan DAP yang telah bertungkus lumus dan penuh komited dalam amanah yang dipikul untuk memastikan kepercayaan rakyat Selangor terus diberi kepada Pakatan Rakyat.

Kejayaan ini juga disambut dengan penuh rasa tawaddhu’ dan rendah diri, terutama dalam proses untuk menamakan seorang Menteri Besar bagi memimpin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam pentadbiran negeri. KEADILAN sesungguhnya amat berbesar hati dan menghormati sokongan oleh PAS dan DAP yang telah bersetuju supaya jawatan Menteri Besar Selangor dinamakan dari Parti KEADILAN Rakyat.

Berteraskan kepada prinsip konsensus dan rundingan serta semangat kesetiakawanan dan kerjasama yang selama ini telah tersemai dalam Pakatan Rakyat, KEADILAN telah mengangkat dua (2) nama dari kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri KEADILAN yang berjaya memenangi kerusi mereka dalam pilihanraya umum Negeri Selangor baru-baru ini kepada pimpinan PAS dan DAP untuk dibincang secara bersama dengan KEADILAN bagi memilih salah seorang daripada mereka untuk dinamakan sebagai Menteri Besar Selangor.

PAS dan DAP, menerusi Presidennya Yang Berhormat Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agungnya Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng masing-masing telah bersetuju supaya Yang Berhormat Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim, Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang untuk diangkat sebagai Menteri Besar Selangor dan meneruskan khidmat cemerlang beliau menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor sebelum ini.

KEADILAN dengan ini menyeru supaya keseluruhan rakyat Negeri Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya untuk terus menggembeling semangat kerjasama dan setiakawan antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan warna kulit yang telah selama ini ditunjukkan, bagi terus memastikan agenda perubahan rakyat dapat diteruskan bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.

Sekian, terima kasih.
SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
SETIAUSAHA AGUNG
PARTI KEADILAN RAKYAT


Dapatkan Lebih Maklumat Di SINI dan SINI

Demo LoNie Al Baqarah [28] : Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Ia menghidupkan kamu; setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan)

"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Ia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)." (Ibrahim: Ayat 42)..

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular