Thursday, August 23, 2012

PENURUNAN HARGA KERETA: BARISAN NASIONAL TIDAK BOLEH BERMUKA-MUKA


Saya merujuk kepada laporan The Star bertarikh 21 Ogos 2012 bertajuk “Car Prices In Malaysia To Drop Gradually?”[1].

Laporan itu memetik sumber dalaman yang rapat dengan kerajaan berhubung cadangan rombakan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) untuk mengurangkan harga kereta.

Saya mengalu-alukan perkembangan ini kerana ia jelas mengesahkan pendirian KEADILAN selama ini bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat-peringkat adalah sesuatu yang mampu dilakukan. Ia juga membuktikan bahawa kajian KEADILAN mengenai kesan buruk harga kereta yang tinggi turut dipersetujui oleh pakar-pakar dan pegawai kerajaan. 

Pun begitu, ia membayangkan sikap bermuka-muka dan hipokrasi pimpinan Umno/Barisan Nasional yang secara berterusan mengkritik cadangan KEADILAN tersebut atas alasan ia akan memufliskan negara

Pemimpin seperti Saudara Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Yaakob telah membuat kenyataan rasmi menolak cadangan mengurangkan harga kereta seperti yang dibawa KEADILAN. 

Oleh kerana adanya pertembungan maklumat yang disampaikan oleh pimpinan Umno/Barisan Nasional setakat ini, saya menyeru supaya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mustapha Mohamad yang bertanggungjawab merombak Dasar Automotif Kebangsaan (NAP2012) supaya berterus terang kepada rakyat apakah sebenarnya dasar kerajaan Umno/Barisan Nasional berhubung penurunan harga kereta? 

Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan KEADILAN untuk mengurangkan cukai eksais secara berperingkat dan menurunkan harga kereta, beliau wajar memanggil kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengadakan rundingan meja bulat membincangkan pelaksanaan dasar ini kerana penurunan harga kereta adalah satu-satunya isu nasional yang mendapat konsensus di kedua-dua belah pihak (Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional). 

Saya juga menyeru supaya Saudara Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Nor Yaakob menarik balik kenyataan mereka sebelum ini mengkritik cadangan KEADILAN. Malah, saya mengalu-alukan Saudara Khairy untuk turut serta bersama-sama mempromosikan kempen turunkan harga kereta dengan menaiki kereta rasmi Cheapmobile ke tempat-tempat strategik di sekitar Kuala Lumpur dan mengedarkan pelekat kereta kempen. 

Saya masih yakin bahawa penurunan harga kereta melalui pengurangan cukai eksais secara berperingkat adalah langkah pertama untuk menyelesaikan pelbagai masalah berhubung ekonomi rakyat, pengangkutan, keselamatan dan pencemaran alam sekitar. 

KEADILAN percaya dengan harga kereta yang murah: 
1. Beban hutang isi rumah rakyat akan diringankan dan wang lebihan boleh digunakan untuk pelaburan lain yang lebih penting seperti rumah, pendidikan, kesihatan dan lain-lain; 

2. Liberalisasi pasaran kenderaan di Malaysia memaksa kerajaan meningkatkan kapasiti dan mutu pengangkutan awam di negara ini bagi mengimbangi risiko kesesakan jalan raya; 

3. Harga kereta yang lebih murah memungkinkan dasar tempoh umur kereta (car scrap policy) dilaksanakan untuk mengurangkan jumlah kenderaan persendirian yang telah mencecah 10 juta; 

4. Harga kereta yang lebih murah membolehkan rakyat memiliki kereta yang lebih berkualiti dan selamat, seterusnya mengurangkan kemalangan jalan raya; 

5. Kereta yang lebih berkualiti dan berteknologi hijau mampu dimiliki rakyat dan mengurangkan pencemaran alam sekitar; dan 

6. Lebih banyak kereta berteknologi hijau dan lebih berkualiti akan mengurangkan penggunaan petrol dan seterusnya mengurangkan beban subsidi bahan api negara. 

Oleh kerana dasar harga kereta yang lebih rendah ini mempunyai kesan yang besar kepada negara seperti yang dijelaskan di atas, KEADILAN akan bekerjasama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat untuk membawa kempen ini ke bawah tanpa mempedulikan tindakan Umno/Barisan Nasional yang seterusnya kerana saya yakin Umno/Barisan Nasional tidak ikhlas untuk menurunkan harga kereta. 

RAFIZI RAMLI 
PENGARAH STRATEGI KEADILAN

AP(Approved Permit). Harga kereta import naik sehingga 200%-300% dr harga asal. 
Untung untuk siapa??? UMNO & Kroni 
Beban untuk siapa??? Rakyat
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Berita

Artikel Popular Minggu ini (Top 10)

Paling Popular